Kembara ke era Joseon dan dunia futuristik Seoul. Makanan halal pun semakin banyak tak perlu risau lagi

A
A
A

KEMBARA ke era Joseon dan dunia futuristik Seoul. Makanan halal pun semakin banyak, tak perlu risau lagi.

Ya, nilai pekerti yang tinggi dan masih memartabatkan budaya meski dilingkungi dengan teknologi yang 'menggila', membuatkan Korea Selatan memang tersendiri.

Terletak di tengah-tengah Seoul, Istana Gyeongbokgung yang merupakan istana diraja pertama dibina dan terbesar semasa pemerintahan Dinasti Joseon pada tahun 1395, misalnya masih utuh berdiri.

Menjejakkan kaki ke sana, aura zaman silam begitu terasa apabila hampir segenap pengunjung memakai pakaian tradisional Korea, hanbok. Busana itu boleh disewa di beberapa kedai berdekatan dengan sewaan sekitar RM35 sejam.

Difahamkan, pemerintah di negara itu telah banyak melabur dalam memperbaiki dan memulih semula mahligai berkenaan demi untuk tatapan generasi akan datang.

Masih di kawasan sama, beberapa istana lain seperti Istana Changdeokgung, Istana Changgyeonggung, Istana Deoksugung Palace dan Istana Gyeonghuigung turut tersergam indah.

Migrasi penduduk dari Siberia dan Manchuria, China nampaknya telah mempengaruhi seni arkitektur setiap istana dengan cerminan ciri-ciri neoklasik, simetri dua hala, penekanan kepada feng shui dan kesederhanaan, namun ditandai unsur dramatik pada tiang serta dinding yang cukup gah.

BACA LAGI: SK magic bakal jadikan Malaysia sebagai hub serantau di Asia Tenggara menjelang 5 tahun lagi

BACA LAGI: Dari Seoul ke Kuala Lumpur : Ryzal teruja berpuasa dan berhari raya bersama Maryam di negara sendiri

Jadi, tidak hairanlah pembikinan naskhah ulung yang berlatar belakang zaman silam seperti Legend Of The Blue Sea, Goblin dan Kingdom menggunakan tapak sejarah berkenaan.

Penulis bersama dengan rombongan media dan tim SK magic Malaysia juga cukup bertuah apabila menjadi antara pelancong dunia terawal dapat memasuki bekas Istana Presiden Korea Selatan, Rumah Biru yang dibuka pada Mei lalu.

Bayangkan selepas 74 tahun, Presiden Korea baharu, Yoon Suk-yeol bersetuju meninggalkan premis tersebut dan menubuhkan pejabatnya di Kementerian Pertahanan di Yongsan.

Pada setiap hari, destinasi itu boleh menerima 39,000 pengunjung. Bayangkan, ketika kami sampai sekitar pukul 10 pagi, penduduk tempatan termasuk warga emas dan kanak-kanak sedang beratur panjang dengan perasaan teruja.

Menyelak sedikit historiografi Rumah Biru, ia telah merentas beberapa transisi termasuk pernah dijadikan tapak untuk taman diraja.

Semasa pemerintahan Jepun di negara itu, mereka menjadikan lokasi tersebut sebagai kediaman rasmi Gabenor Jeneralnya. Selepas bebas dari jajahan, komander tentera Amerika Syarikat pula mendiami Rumah Biru sebelum dijadikan kediaman rasmi Presiden Korea Selatan sejak tahun 1948.

Meskipun tidak berpeluang meninjau dekorasi dan isi dalamnya, menyaksikannya Rumah Biru dari luar dari jarak dekat sudah bikin merinding.

Tidak hanya menjejak tapak sejarah, penulis melangkah ke masa depan dan meneroka teknologi maklumat dan komunikasi dengan mengunjungi SK Telecom ICT Experience Centre TuM. di Gwanak-ro, Gwanak-gu, Seoul.

Untuk rekod, SK Telekom merupakan salah satu subsidiari kepada SK Group selain SK magic dan lain-lain.

Muzium berteknologi tinggi itu antara lain menampilkan realiti tambahan (AR), realiti maya (VR), kecerdasan buatan (AI), teknologi hologram, 5G dan dibina Zon Sekarang dan Zon Masa Depan.

Ketika berada di Zon Masa depan, penulis menjalani ekspedisi dengan melawat bandar berteknologi tinggi, Hi-Land yang ditetapkan pada tahun 2052. Di sana, terdapat bilik Hyperloop, Pusat Kawalan Angkasa, Persidangan Hologram, Bilik Teleport dan Flight Shuttle.

Kami ditugaskan menggunakan teknologi dalam menyelamatkan bumi dengan menggunakan platform Internet of Things (IoT), dron dan AR.

Tidak berkesempatan berada di Zon Sekarang, namun di sini pelawat dapat membeli-belah secara VR, perkhidmatan rumah pintar, kereta pandu sendiri dan dapat merasai inovasi terkini SK Telecom.

Dunia futuristik yang dibawa pihak SK nampaknya menunjukkan kepada kita bahawa teknologi sememangnya memiliki 'kuasa ajaib' membantu kerumitan hidup manusia.

 

REKREASI PILIHAN

JIKA pembaca SinarPlus mengandaikan bahawa sukar untuk mendapatkan makanan halal di Seoul, Korea Selatan, persepsi itu harus dimatikan.

Selama hampir seminggu berada di sana, kami dibawa ke beberapa restoran halal yang menyajikan makanan yang enak dan mungkin sebahagian tidak didapati di Malaysia.

Berikut disenaraikan destinasi-destinasi yang membuatkan anda ingin datang berkali-kali selepas suapan pertama:

Nama restoran: Yang Good Beef BBQ

Alamat: 15, Nonhyeon-ro 95-gil, Gangnam-gu Pyeonghwa Bldg 1F, Seoul 06131 South Korea

Menu signatur: Kambing premium dari Australia

Instagram: @yanggood

Nama restoran: Korea Ginseng Chicken Soup (restoran bertaraf Michelin)

Alamat: 1, Seosomun-ro 11-gil, Jung-gu 3f, Seoul 04516, Korea Selatan

Menu signatur: Sup ayam ginseng

Nama restoran: The Halal Guys

Alamat: 2nd Floor 187 Itaewon-ro Itaewon-Dong, Yongsan-Gu, Seoul 04350 Korea Selatan

Menu signatur: Sandwich ayam, Beef Gyro Platter, Beef Gyro Sandwich dan Falafel Sandwinch

Laman web: thehalalguys.com

Instagram: @thehalalguyskorea

Nama restoran: Woojunok Ganjang Gejang

Alamat: 94, Pajangcheon-ro, Jangan-gu, Suwon-si, Gyeonggi-do, Seoul, Korea Selatan

Menu signatur: Kkotgetang (ketam pedas) dan Ganjang Gaejang (nasi yang dimakan bersama sup merah ketam)

Laman web: https://woojunok.modoo.at

Nama restoran: Hongdae Seabooung

Alamat: 28-6 Wausan-ro 21-gil, Mapo-gu, Seoul, Korea Selatan

Menu signatur: Tteokbokki makanan laut

Instagram: @seabooung

BACA LAGI: Tak payah susah payah, mesin pencuci pinggan mangkuk SK magic bakal mudahkan kerja di dapur

BACA LAGI: SK magic, Samsung Malaysia perkenal penghawa dingin WindFree Samsung berteknologi tinggi serendah RM79 sebulan

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca