‘Kencing atas badan abang…’ – Adik luah rasa terkilan dengan tindakan anak-anak jiran dari ‘neraka’

No Image Caption
A
A
A

MEMPUNYAI adik beradik dari golongan orang kurang upaya adalah tanggungjawab yang berat untuk dipikul.

Kepada siapa lagi mereka harapkan bantuan selain daripada keluarga sendiri.

Namun, tidak semua orang faham situasi yang berlaku.

Melalui perkongsian seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Nor Zaihan, abang sulungnya didiagnosis dengan penyakit schizophrenia sejak berumur 6 tahun. Sekarang dah hampir 40 tahun umurnya.

Ikutkan hati, beliau tidak mahu berkongsi cerita tentang masalah mental abangnya kepada orang lain tetapi keadaan memaksa.

Sudahlah terasa ‘berat’ menjaga abang yang kadang-kdang tantrum dan mengamuk. Kini. Ditambah pula dengan masalah anak-anak jiran yang suka ganggu abangnya pula.

“Saya tak suka mengajak kawan-kawan datang ke rumah kerana saya risau Bang Pit mengamuk kalau bunyi bising. Jadi saya dan keluarga kami dipandang sebagai ‘kera sumbang’, pelik, berlagak dan banyak lagi sebab kami amat sukar menerima tetamu.

“Puas kami terangkan keadaan Bang Pit yang tak dapat diagak kestabilan emosinya, namun ramai yang memilih untuk tidak faham. Kerana hakikatnya lebih mudah untuk mengumpat dan menghina orang berbanding memahami tindakan mereka.

“20 tahun lepas, penyakit schizophrenia Bang Pit ini menyebabkan ayah saya membangkang sekeras- kerasnya tindakan pihak tertentu yang pada waktu itu bertindak membina struktur perumahan haram betul-betul di tanah rizab di hadapan pintu pagar rumah kami.

"Kedudukan rumah ayah sekarang ini amat sesuai dengan keadaan abang” katanya.

Apa yang dirisaukan menjadi kenyataan apabila ada keluarga dengan anak-anak kecil tinggal di rumah itu. Penghuni rumah tersebut bersilih ganti tetapi kali ini, benar-benar menguji kesabarannya sekeluarga.

Baju yang disidai di pagar seolah-olah ada kesan dicucuh pemetik api dan seluar yang ditoreh pisau. Pada mulanya, wanita itu menyangka abangnya yang melakukan perbuatan itu tetapi anggapannya meleset sama sekali.

Walaupun Bang Pit selalu berada di luar rumah tetapi pisau dan barang merbahaya dikunci di dalam laci. Tambahan pula, rumah mereka dalam kawasan berpagar. Akhirnya, beliau mencari bukti melalui rakaman kamera litar tertutup yang dipasang dirumahnya.

Ada rakaman dua orang kanak-kanak rapat-rapat ke baju di pagar rumah kami. Ada juga rakaman mereka membaling mercun ke dalam rumah kami. Di hari lain, ada rakaman mereka membuka pagar yang telah ditutup. Ada juga memanjat pagar yang telah dikunci.

Malah, beliau pernah nampak di hadapannya sendiri, kanak-kanak tersebut membaling mercun ke arah abangnya. Terbaharu, ibunya memberitahu, kanak-kanak tersebut kencing atas badan abang.

“Saya yang adik ni menangis marah sebab geram. Tak dapat saya bayangkan perasaan emak saya yang nampak anaknya, yang dibela hampir 40 tahun lamanya diperlakukan sebegitu hina atas alasan ‘biasalah budak-budak’.

"Ayah kanak-kanak itu kemudiannya keluar menarik anaknya masuk ke rumah apabila mendengar emak saya marah-marah. Tiada sebarang perkataan maaf diucapkan” ucap Nor Zaihan menerangkan kenapa beliau terpaksa memuat naik status cerita ini.

Berikutan itu, mereka sekeluarga tekad membuat laporan polis di Balai Polis Kubur Panjang berkaitan serangan fizikal yang dilakukan.

Selain itu, mereka juga telah mendokumentasikan semua bukti kacau ganggu yang berlaku dan memfailkan aduan ke bahagian penguatkuasaan Majlis Daerah Pendang.

Semoga ada keadilan buat Bang Pit.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang