Kerap kencing pada waktu malam, ini sebab-sebab penting yang perlu kita tahu

June 30, 2021
Oleh Farah Eliani

LAZIMNYA, masalah sukar tidur pada waktu malam, ia dikaitkan dengan gejala insomnia.

Namun, jika waktu tidur terganggu disebabkan oleh kekerapan bangun untuk kencing, anda mungkin mengalami nocturia atau kerap kencing malam.

Mengulas lebih lanjut mengenai masalah itu, SinarPlus berkongsi pandangan daripada Pengamal Perubatan Am, Dr Zubaidi Ahmad.

Tulisnya di Facebook baru-baru ini, ketika kita tidur, air kencing yang dihasilkan lebih sedikit, tetapi lebih pekat.

“Ini bermaksud mereka yang normal selalunya tidak perlu kerap bangun tidur untuk membuang air kencing sehingga mengganggu tidur mereka.

“Namun demikian, orang ramai perlu tahu, selain mengganggu tidur, gejala itu juga boleh disebabkan beberapa penyakit kronik lain,” ujarnya.

Jika diamati, kata Dr Zubaidi, kencing yang kerap boleh menjadi gejala kepada banyak masalah yang berbeza-beza daripada penyakit buah pinggang sehinggalah masalah hanya minum terlalu banyak cecair.

“Apabila kencing kerap disertai dengan demam, desakan untuk membuang air kecil, rasa sakit atau ketidakselesaan di dalam perut, anda mungkin mengalami jangkitan pada saluran kencing,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, terdapat sebab-sebab lain yang boleh menyebabkan kencing kerap termasuklah:

i) Diabetes.

Iklan
  • Kencing yang kerap dengan isipadu air kencing yang sangat banyak merupakan gejala awal kedua-dua jenis diabetes 1 dan 2.
  • Pada masa itu, keadaan badan akan cuba untuk membersihkan dirinya daripada glukosa yang tidak digunakan melalui air kencing.

ii) Kehamilan.

  • Dari awal minggu kehamilan lagi, rahim akan semakin mengembang lalu menempatkan tekanan pada pundi kencing dan boleh menyebabkan anda kerap kencing.

iii) Masalah prostat.

  • Prostat yang membesar boleh menekan terhadap uretra (tiub yang membawa air kencing keluar badan) dan menghalang aliran air kencing.
  • Ini menyebabkan dinding pundi kencing diganggu sehingga mula memberi tekanan dan akan menyebabkan seseorang kerap membuang air kecil.
Artikel berkaitan: 3 langkah elakkan kanser prostat

iv) Cystitis interstisial.

Iklan
  • Keadaan itu disebabkan oleh kesakitan yang tidak diketahui di kawasan pundi kencing dan pelvis.
  • Selalunya, gejala tersebut akan mendesak untuk kerap membuang air kecil.

v) Penggunaan diuretik.

  • Ubat-ubat yang digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi atau kerja pembentukan cecair di dalam buah pinggang dan mengalirkan cecair berlebihan daripada badan juga menjadi penyebab masalah kerap membuang air kecil.

vi) Strok atau penyakit saraf lain.

  • Kerosakan kepada saraf yang membekalkan pundi kencing boleh menyebabkan masalah dengan pundi kencing termasuk kerap dan desakan untuk membuang air kencing.

vii) Minum air secara berlebihan.

  • Mereka yang mengambil air secara berlebihan (termasuk pengambilan kafein) selalunya akan mengalami kencing yang banyak juga.

Pegawai perubatan itu menambah, dignosis melibatkan beberapa jenis ujian boleh dilakukan untuk mengetahui punca kepada perkara tersebut.

“Ujian tersebut adalah pemeriksaan gula dalam darah, pemeriksaan air kencing dan ultrasound scan.

“Jika kencing kerap tersebut disebabkan pengambilan ubat-ubatan, dinasihatkan anda untuk berjumpa doktor supaya ubat tersebut boleh ditukarkan ataupun diberhentikan penggunaannya,” pesannya.

Baca juga: Awas jangan tak ambil kisah! Warna air kencing tanda tidak normal

Jadi, kepada semua pembaca SinarPlus yang mungkin mengalami masalah kerap bangun malam untuk kencing, segeralah dapatkan pemeriksaan lanjut.

Semoga perkongsian di atas memberi manfaat dan maklumat baharu kepada anda.