'Hari ini crush kita buat homework.' Konten pemandu bas undang kerisauan, menteri arah siasat

No Image Caption
A
A
A

[DIKEMAS KINI] AKAUN laman sosial TikTok seorang pempengaruh menjadi tular selepas tindakannya memuat naik kanak-kanak perempuan sebagai kandungan.

Pengguna laman X mezahirkan kegusaran terhadap kandungan pemilik akaun bernama 'Abang Bas' ekoran memuat naik video gelagat murid perempuan sekolah rendah ketika dalam kenderaan tersebut.

Menerusi hantarannya, @JatIkhwan mempersoalkan tindakan serta tajuk kapsyen yang digunakan lelaki itu di laman media sosial berkenaan.

“Kapsyen (yang ditulis) tidak sesuai. Kamu tidak boleh siarkan (video) anak perempuan seseorang yang masih sekolah rendah dengan kapsyen 'hari ini crush kita buat homework'.

“Sudah ramai yang bercakap tentang akaun TikTok mencurigakan ini, yang mempunyai lebih 600,000 pengikut,” ujarnya.

Perkara itu telah menarik perhatian Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau dalam ciapan menerusi X berkata, telah mengarahkan pegawainya dari Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) mengambil tindakan tegas itu kepada individu tersebut.

"Kami bersedia bekerjasama dengan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) negeri Johor bagi membantu siasatan.

"Perilaku tersebut tidak boleh diterima dan tidak seharusnya dinormalisasikan.

No Image Caption

"Berkongsi gambar atau video kanak-kanak tanpa kebenaran ibu bapa adalah satu pelanggaran hak dan privasi kanak-kanak, selaras dengan Akta Kanak-Kanak 2001," ujar beliau.

Terdahulu, tular beberapa video yang memaparkan seorang pemandu bas yang mempunyai lebih 600,000 pengikut di TikTok, merakam beberapa murid sekolah perempuan yang dianggap pemandu bas tersebut sebagai 'crush' atau seseorang yang diminati atau disukai secara romantik.

Kesemua video yang dirakam sambil memandu itu memaparkan wajah murid-murid tersebut dengan jelas.

Setakat artikel ini ditulis, video-video berkenaan dilihat meraih sehingga 10.5 juta tanda suka.

No Image Caption

Kandungan media sosial pemandu bas berkenaan turut mendapat perhatian pakar motivasi terkenal, Akhi Fairuz Al-Jengkawi. Ujarnya, beliau menerima kiriman mesej berkenaan akaun Tiktok pemandu berkenaan.

Ujarnya, tindakan lelaki berkenaan menjadikan kanak-kanak sebagai 'content' membimbangkan di samping kapsyen menyebut 'crush' kepada kanak-kanak bawah umur perlu diambil perhatian.

"Saya risaukan dua perkara iaitu dia menggunakan budak sekolah sebagai konten. Adakah mendapat kebenaran daripada ibu bapa untuk jadikan anak mereka dalam konten tu? Banyak pula kuantitinya.

"Yang lebih saya bimbangkan adalah apabila dalam video fokuskan kepada budak sampai letak caption 'crush'. Budak sekolah rendah tu bang? Banyak video dia 'ushar' budak-budak yang berbeza," katanya.

Dalam pada itu, Fairuz turut mencadangkan ibu bapa mengambil tindakan menegur atau menasihatkan pemandu bas berkenaan.

"Apabila pekerjaan melibatkan budak-budak bawah umur, kena tahu apa yang boleh dan apa yang tidak. Tak kiralah sebagai pengawal keselamatan, pengasuh, pengusaha tadika, cikgu, tukang kebun sekolah atau pemandu bas.

"Jika tuan puan kenal pengusaha bas ini dan kebetulan anak tuan puan diambil dan dihantar olehnya setiap hari, tolonglah tegur dan nasihat. Atau paling senang terus jumpa orang atasan dia maklumkan.

No Image Caption

"Buat Abang Bas, ubahlah konten kamu. Pekerjaan ini berpahala kerana asbab kamu budak-budak dapat tuntut ilmu di sekolah dan membuatkan mak bapak lega sebab tidak perlu ulang alik ambil anak," katanya.

"Update:Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sudah respon isu ini di X pada jam 7.42 malam tadi. Beliau siap petik bahagian D11 IPK Johor lagi. Beringatlah dalam penghasilan konten," katanya.

'ABANG BAS' SUDAH DITAHAN

Dalam perkembangan terbaharu, pemandu bas terbabit dilaporkan telah ditahan awal pagi ini susulan pihak polis menerima laporan mengenai isu terbabit.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, lelaki berkenaan yang berusia 24 tahun itu ditahan pada pukul 2.57 pagi di kawasan Simpang Renggam, Kluang.

“Sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang yang membuat tangkapan itu merampas telefon bimbit yang digunakan untuk memuat naik hantaran tersebut.

“Pihak polis bertindak selepas menerima laporan kejadian berkenaan dan menjalankan siasatan penularan rakaman video memaparkan kanak-kanak dalam bas dipandu seorang lelaki.

“Video berkenaan dimuat naik pemilik dan pengendali akaun TikTok Abang Bas. Hantaran tersebut masih wujud dan boleh diakses.”

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seskyen 15 (a)(iii) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seskyen 15(2) Akta Kanak 2001.

Jelasnya lagi, polis mengalu-alukan kerjasama daripada ibu bapa kanak-kanak yang berada dalam rakaman video terbabit supaya tampil membantu siasatan.

Sumber: X, Astro Awani, Akhi Fairuz Al-Jengkawi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang