'Terima kasih atas semua kasih sayang.' Keluarga kongsi gambar dengan Jia Hui, berikut kronologi kehilangannya

No Image Caption
A
A
A

KELUARGA Albertine Leo Jia Hui berkongsi momen gembira selepas kanak-kanak perempuan itu ditemui semula pada Isnin lalu selepas empat hari hilang.

Menerusi satu hantaran, wanita yang dipercayai mempunyai hubungan persaudaraan dengan mangsa menitipkan ucapan terima kasih atas keprihatinan orang ramai yang membantu berkongsikan pencarian kanak-kanak itu sebelum ini.

Menurutnya lagi, mangsa yang mesra disapa Jia Hui kini selamat di pangkuan keluarga dan memerlukan rehat secukupnya

"Keluarganya juga mahu saya menyampaikan mesej kepada orang ramai untuk mengucapkan terima kasih atas semua kasih sayang dan keprihatinan mereka, serta membantu dalam berkongsi siaran yang menyebabkan dia ditemui.

Ibu mangsa, Leo Qieo Xin, 37 dilihat mengangkat ibu jari sebagai isyarat tanda baik atas penemuan anak ketiga dari empat adik beradik.

Berikut adalah kronologinya kes kehilangan Jia Hui sehinggalah ditemukan semula pihak berkuasa:

20 Julai 2024

Jia Hui yang berusia enam tahun dilaporkan hilang ketika bermain di sebuah pusat perniagaan di Iskandar Puteri, Johor.

Kehilangan itu disedari oleh bapanya kira-kira jam 8.30 malam pada hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan mengesahkan kehilangan itu dengan mengerahkan pasukan mencari bagi mengesan mangsa.

Kehilangan itu telah mendapat perhatian orang ramai sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi berhubung kes.

21 Julai 2024

Susulan spekulasi yang menular, ibu mangsa, Leo Qieo Xin, 37 yang turut berada di tempat kejadian meminta orang ramai menghentikan maklumat kurang tepat sehingga boleh menjejaskan siasatan polis.

Polis turut menggunakan khidmat unit anjing pengesan(K9) dalam usaha mencari Jia Hui.

22 Julai 2024

Selepas tiga hari aktiviti mencari tidak membuahkan hasil, sebuah pemilik kafe menawarkan ganjaran RM10,000 kepada sesiapa yang berjaya mengesan kanak-kanak berkenaan.

Bukan itu sahaja, sebuah syarikat konsultan turut menawarkan wang tunai sehingga RM50,000 bagi mengiatkan operasi mencari Jia Hui.

Pada jam 1.30 tiga suspek telah ditahan polis di Gelang Patah, Iskandar Puteri, manakala seorang lagi suspek wanita berumur 40-an ditahan pada sebelah malam.

23 Julai 2024

Tuah menyebelahi keluarga mangsa apabila polis berjaya menemukan mangsa dalam keadaan selamat di satu lokasi di Batang Kali, Selangor.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata,Jia Hui dijumpai di sebuah hotel murah bersama seorang suspek lelaki pada 4.45 pagi dekat Batang Kali, Selangor.

Polis mengklasifikasikan kehilangan Jia Hui sebagai kes culik.

Pada hari yang sama, empat individu termasuk dua wanita direman empat hari bagi membantu siasatan.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Suhaili Sapun selepas membenarkan permohonan dibuat pihak polis terhadap keempat-empat suspek berusia 28 hingga 55 tahun.

Mereka ditahan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya dengan cara yang salah.

Setakat ini lima tangkapan dibuat melibatkan tiga lelaki dan dua wanita tempatan.

Baca juga: Jia Hui 'disorok' di hotel bajet ditemui selamat, 4 suspek kini ditahan polis

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang