12 tahun akhirnya kematian Dirang terbela, pembunuh ke tali gantung. Berikut kronologi tragedi tragis perkosa, bunuh & bakar
PEMBUNUHAN kanak-kanak perempuan, Dirang pada tahun 2012 heboh diperkatakan. Masakan tidak, kematian tragis kanak-kanak berusia empat tahun sembilan bulan itu cukup kejam dan menyayat hati.
Hanya selepas 12 tahun, pada 9 Julai 2024 Mahkamah Persekutuan akhirnya mengekalkan hukuman mati ke atas pembunuhnya iaitu bekas buruh kontrak, Muidin Maidin.
Tragedi menimpa Nurul Nadirah Abdullah atau digelar Dirang itu bermula apabila si kecil itu keluar dari rumah untuk pergi ke kedai runcit berhampiran rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, Plentong, Johor.
1 MAC 2012 Pada
Pada 1 Mac 2012 kira-kira jam 11 pagi, berbekalkan wang sebanyak RM4 dan sekeping nota bertulis 'Mi segera dua bungkus dan telur RM2' ke kedai runcit selepas mengadu kelaparan selepas bangun daripada tidur.
Namun begitu, setengah jam berlalu, kanak-kanak ini masih tidak muncul di rumah membuatkan ibunya mula risau.
Bapanya, Lima Medeng yang kemudian bergegas ke kedai runcit tersebut untuk mencari Dirang namun pulang dengan hampa apabila pemilik kedai memberitahu kanak-kanak itu telah pun pulang selepas membeli mi segera dan telur.
Tidak berputus asa, pasangan itu itu terus berusaha mencari Dirang di kawasan pangsapuri tempat tinggal mereka bersama penduduk dan membuat laporan polis bagi mendapatkan bantuan pihak berkuasa.
Pihak polis juga turut membuat pemeriksaan di 20 lokasi sekitar daerah tersebut untuk mengesan Dirang namun masih tak tak dapat menemui kanak-kanak berkenaan.
Pada hari yang sama, selepas pihak polis menerima laporan mengenai kehilangan kanak-kanak ini, tiga individu termasuk seorang wanita telah diberkas.
Ia susulan tindakan penduduk yang memaklumkan pihak polis tentang kecurigaan mereka ke atas tiga suspek yang baru berpindah ke rumah kosong berhampiran rumah keluarga Dirang pada Disember 2011.
Difahamkan, selepas ketiga-tiga individu itu berpindah ke sana, terdapat banyak kes kecurian berlaku. Tak hanya itu, nenek Dirang, Milnah Jul juga pernah bergaduh dengan salah seorang suspek yang ditahan kerana menegur tentang kecurian kabel.
8 MAC 2012 Selepas seminggu kehilangan Dirang, polis menemui serpihan rangka manusia yang rentung di Ladang Kelapa Sawit Nusa Damai.
Turut ditemui sebelah selipar milik kanak-kanak kira-kira jarak 200 meter dari lokasi rumah manakala sebelah lagi berada pada jarak 500 meter di kawasan ladang kelapa sawit.
Lebih memilukan, pihak polis turut menemui mi segera dan telur yang sudah pecah serta gula-gula yang dipercayai dibeli oleh Dirang pada hari kehilangannya.
12 MAC 2012 Hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dibuat ke atas serpihan mayat berkenaan, polis mengesahkan rangka berkenaan adalah milik Dirang selepas ia menunjukkan padanan dengan DNA ibunya. Ia sekali gus menamatkan misteri kehilangan Nurul Nadirah.
Tidak kuat menerima berita yang tragis, ibu Dirang, Roselyn dilaporkan pengsan selepas menangis lebih sejam ketika dihubungi oleh pihak polis bagi mengesahkan mengenai hasil ujian DNA.
Ibu bapa kanak-kanak malang itu enggan ditemu bual pemberita kerana terlalu sedih dan terkejut dengan perkembangan berkenaan.
Masakan tidak, siapa pun tidak dapat menerima keadaan Dirang ketika menemui ajalnya. Difahamkan, kanak-kanak ini telah dibunuh kejam dan dibakar tanpa belas kasihan. Tak cukup dengan itu, jasad anak kecil tersebut telah disumbat ke dalam lubang sedalam 0.36 sentimeter dan ditutup dengan papan lapis. Pihak forensik juga turut menemui tengkorak bersaiz kecil, serpihan kulit kepala, sedikit rambut dengan wajah mangsa dalam keadaan mendongak!
Lebih menyayat hati, kaki si kecil itu juga bercerai dari badan. Siasatan juga mendapati terdapat ruang terbuka pada dada manakala abdomennya turut terkoyak disebabkan kepanasan haba yang dahsyat. Susulan perubahan ketara pada jasad, proses pengecaman awal sukar dibuat hinggakan polis menyangka mayat yang ditemui milik orang dewasa.
23 MAC 2012
Perintah tahanan reman terhadap tiga suspek berusia 30 hingga 40 tahun itu dilanjutkan lagi seminggu.
Ketiga-tiga mereka juga didapati positif dadah selain dua daripada mereka turut mempunyai rekod jenayah atas kesalahan dadah dan curi.
BAPA DIARAH PULANG
Dalam siasatan awal, pihak polis mengesyaki bapa Dirang adalah dalang pembunuhan namun ternyata mereka silap. Bapa mangsa bagaimanapun telah diarah untuk pulang ke Filipina selepas pihak polis mendapati lelaki itu tidak memiliki dokumen yang sah untuk berada di Malaysia.
Hasil siasatan polis mendapati kes berkenaan bermotifkan dendam kerana neneknya pernah memarahi suspek dan memberi amaran kepada keluarga tersebut untuk tidak campur dengan urusan mereka.
DIRANG DIBUNGKUS DALAM KAIN BATIK
Siasatan juga mendapati Dirang telah dibungkus dengan kain batik sebelum dibawa keluar dari rumah suspek yang terletak berhadapan dengan kediaman.
Malah, menurut saksi mereka telah melihat jari tangan kanak-kanak terkeluar daripada bungkusan kain berkenaan ketika suspek yang merupakan pasangan suami isteri sedang menunggang motosikal untuk keluar dari kawasan perumahan tersebut.
Penduduk yang melihatnya cuba untuk mengejar mereka namun gagal.
28 JUN 2013
Buruh kontrak, Muidin Maidin dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Baharu hari ini setelah didapati bersalah menyebabkan kematian Dirang.
Hakim Datuk Abdul Halim Aman mengatakan bahawa pihak pendakwa raya telah berjaya membuktikan kes tersebut melampaui keraguan yang munasabah dan pembelaan tertuduh mengatakan yang dia tidak menyimpan dendam ke atas keluarga mangsa hanyalah satu penafian yang tidak berasas.
Selepas menjatuhkan hukuman tersebut, hakim telah mengutuk perbuatan Muidin dan memanggil lelaki ini sebagai penjenayah yang kejam, tidak berhati perut dan tak berperikemanusiaan kerana telah melakukan jenayah ke atas kanak-kanak.
DNA yang ditemui di bahagian sulit dan dubur kanak-kanak itu serta cebisan kain pelikatnya yang ditemui pada mangsa menjadi antara bukti terpenting. Selain itu, padanan tanah yang diambil dari motosikal suspek di tempat kejadian serta testimoni kesemua saksi menunjukkan dia sebagai pelaku kes pembunuhan ini.
Selepas mendengar keputusan perbicaraan, Muidin yang sebelum ini kelihatan tenang telah duduk dan mula menangis. Tiga saudara perempuannya yang ada sekali kat mahkamah tu pun turut menangis.
“Ke tepi, ke tepi,” jerit Muidin dalam tangisan sambil cuba menendang jurugambar akhbar yang mengambil gambarnya masa dia diiringi polis ke lokap mahkamah.
15 DISEMBER 2014
Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman sama diikuti Mahkamah Persekutuan pada 28 Mei 2015 yang turut mengekalkan hukuman gantung sampai mati selepas menolak rayuan akhir Muidin selaku perayu ketika itu.
9 JULAI 2024
Keputusan Mahkamah Persekutuan menetapkan Muidin kekal ke tali gantung. Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat selepas menolak permohonan Muidin Maidin, 37, selaku pemohon bagi semakan mengetepikan hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya.
Tengku Maimun berkata, keputusan mengekalkan hukuman gantung itu dibuat selepas mahkamah mengambil kira secara keseluruhan kejadian yang berlaku.
"Mengambil kira keadaan kes ini, permohonan pemohon (Mudin) ditolak, hukuman mati dikekalkan," katanya.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nordin Hassan.
Sementara itu, peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud yang mewakili pemohon, memohon mahkamah membenarkan semakan dengan mengetepikan hukuman gantung itu.
Kata peguam itu, sejak berada di dalam penjara pada 2012, anak guamnya banyak mendekatkan diri dengan aktiviti keagamaan dan sudah insaf.
"Sepanjang 12 tahun dipenjara pemohon banyak menyertai aktiviti keagamaan dan motivasi yang dianjurkan penjara. Pemohon menerima sekiranya mahkamah menggantikan hukuman mati kepada penjara maksimum 40 tahun," katanya.
Mendengar hujah peguam itu, Mohd Amril membantah dengan mengatakan meskipun Muidin insaf, tapi itu tidak mencukupi untuk menebus perbuatan kejam dengan apa yang dilakukan terhadap adik Dirang.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang