40 tahun jurubahasa isyarat, otai Tan Lee Bee dikurnia Bintang Ahli Mangku Negara. 'Saya belajar kerana adik OKU...'
SIAPA tidak kenal sosok wanita ini yang sering menghiasi sudut kaca televisyen bagi program berita dengan mimik muka yang ekspresif.
Selepas lebih empat dekad mencurahkan bakti sebagai jurubahasa isyarat, Tan Lee Bee, akhirnya mendapat pengiktirafan apabila tersenarai sebagai penerima Bintang Ahli Mangku Negara (AMN) daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Tan, 64, menyifatkan pengurniaan itu sebagai satu pengiktirafan besar baginya dalam perjuangan 'senyap' menyampaikan suara golongan yang 'tidak bersuara.'
"Saya rasa gembira, terharu, ingin menangis juga ... saya rasa amat bersyukur," luahnya kepada Bernama.
Walaupun anugerah berkenaan diraikan dalam suasana penuh istiadat, bagi jurubahasa isyarat veteran itu, ia hadir bersama memori panjang dan liku-liku hidup dalam kerjaya yang kurang mendapat perhatian orang ramai.

"Pengiktirafan ini bukan hanya untuk saya seorang, tetapi juga simbolik penghormatan kepada setiap jurubahasa yang bekerja dalam senyap demi keterangkuman yang lebih adil di Malaysia," katanya sebak.
Mengimbas kembali 40 tahun yang lalu, perjalanan Tan sebagai jurubahasa isyarat bermula bukan kerana cita-cita, tetapi kerana kasih dan empati terhadap insan yang paling dekat di hati, iaitu adiknya yang mengalami masalah pendengaran.
"Saya mempunyai seorang adik kurang upaya pekak .... Saya belajar bahasa isyarat kerana adik saya.
Seterusnya saya mula bertugas sebagai seorang guru untuk orang pekak.
"Saya menjadi guru selama 17 tahun. Semasa menjadi guru, saya juga berkhidmat sebagai jurubahasa dengan Mahkamah Persekutuan Malaysia," katanya yang juga jurubahasa isyarat mahkamah pertama di Malaysia pada 1994.
Sumbangan anak jati Segamat, Johor itu dalam dunia penyiaran bermula lebih awal daripada jangkaan ramai, iaitu kira-kira 1985 apabila muncul di kaca televisyen menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia.

Bermula sejak itu, wajah dan aksi bahasa isyarat Tan menjadi antara visual penting dalam siaran berita RTM mahupun dalam video komunikasi rasmi, iklan dan pelbagai medium penyiaran yang berperanan penting untuk menyampaikan maklumat kepada golongan istimewa.
Selain RTM, Tan juga mencurahkan khidmatnya kepada syarikat korporat yang mempunyai pekerja kurang upaya bagi tujuan penerangan, mesyuarat dan taklimat.
Sekadar info, Tan merupakan antara 16 individu menerima Bintang AMN pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Dalam istiadat yang sama, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dikurniakan Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri. -BERNAMA
Sumber: Bernama
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
