6 beranak nyaris lemas kereta terbabas dalam parit elak monyet. Tangisan anak undang pilu. 'Terima kasih orang baik'

No Image Caption
A
A
A

TULAR video yang memaparkan situasi cemas dilalui enam sekeluarga apabila kereta yang dinaiki terbabas dan tenggelam ke dalam sebuah parit yang dalam.

Menerusi video berdurasi 35 saat itu, tiga wanita termasuk seorang remaja berpaut pada kereta Proton Iriz berwarna sambil meminta tolong. Tangisan bayi dan kanak-kanak menambahkan suasana pilu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Juna Yusoff berkata, kesemua mangsa dalam perjalanan dari Selama menuju ke Bagan Serai.

Juna berkata, dalam kejadian kira-kira 3.45 petang itu, kereta jenis Proton Iriz hitam yang dipandu wanita terbabit membawa lima penumpang termasuk empat kanak-kanak berusia setahun hingga 13 tahun.

Menurutnya, kemalangan berlaku berpunca daripada cubaan untuk mengelak sekumpulan monyet sebelum terbabas.

"Kereta berkenaan melanggar sebatang tiang elektrik dan terjatuh dalam parit di kanan jalan.

"Kesemua mangsa diselamatkan oleh orang awam yang berada di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Beliau menjelaskan bahawa kesemua mangsa dibenarkan pulang pada hari sama selepas pemeriksaan kerana tiada sebarang kecederaan serius.

Tambahnya, kes juga disiasat di bawah Kaedah 10, Peraturan 6(1) Kaedah-Kaedah Lalu lintas 166/59.

Sebelum ini tular sebuah video di Facebook memaparkan tindakan seorang wanita berusaha menyelamatkan anaknya daripada tenggelam dan lemas dengan bantuan orang awam.

'TERIMA KASIH ORANG BAIK' - SAKSI

Video tular berkenaan dimuat naik penjawat awam, Kamal Ramli, 36, yang turut menggunakan jalan raya berkenaan.

"Saya memandu di belakang kereta berkenaan. Selepas selekoh, pada mulanya saya lihat beberapa tiang lampu tumbang kemudian kereta berkenaan meluncur ke dalam parit.

"Ketika itu kereta itu hanya nampak bahagian bumbung sahaja.

"Selepas membelok saya terus memberhentikan kenderaan dan turun untuk membantu," katanya.

Beliau yang dalam perjalanan dari Alor Setar ke Kuala Terengganu berkata kawasan kejadian yang berhampiran ladang kelapa sawit dan plaza tol Alor Pongsu itu agak jauh daripada jalan raya. Malah suasana juga sunyi.

Dakwanya yang berada di tempat kejadian, wanita berkenaan pada awal panik dan bertindak menutup tingkap kereta yang mula tenggelam.

Namun orang ramai memintanya membuka tingkap menyelamatkan keadaan. Ibu berkenaan berkenaan menjerit meminta tolong agar orang di sekitar membantu mengeluarkan anak-anaknya.

No Image Caption

"Malah anak lelakinya tidak berhenti meraung meminta bantuan. Dua penunggang motosikal dipercayai orang kampung bertindak pantas terjun ke dalam parit untuk menyelamatkan mangsa," katanya.

Menurut Kamal, seramai empat lelaki bergadai nyawa menyelamatkan mangsa kerana dimaklumkan permukaan dasar parit berkenaan adalah pasir jerlus.

Malah air parit berkenaan agak dalam memandangkan ia baharu sahaja dikorek.

"Tidak hanya pasir jerlus, keadaan juga agak berbahaya susulan risiko arus elektrik kerana beberapa tiang lampu tumbang dan wayarnya putus,"kata Kamal dihubungi SinarPlus.

Kamal yang berada di tempat kejadian tersentuh melihat keadaan si ibu selepas diselamatkan.

"Mangsa dewasa diselamatkan dan dibawa naik ke atas tebing berhampiran jalan raya manakala mangsa kanak-anak dibantu orang ramai dan berada di tebing seberang.

"Sedih melihat keadaan ibu berkenaan tidak henti-henti mengira jumlah anak, mungkin kerana bimbang jika ada yang tertinggal di dalam kereta," katanya.

Video berkenaan yang dimuat naik Kamal pada Ahad menerima pelbagai reaksi. Rata-rata tersentuh menyaksikan situasi cemas keluarga berkenaan dan berterima kasih kepada orang ramai yang membantu.

Ujar mereka:

"Syukur cepat keluar, kereta sudah hampir tenggelam."

"Ya ALLAH berdebar tengok. Hati-hati yang lalu jalan ini. Bahaya, kerap berlaku kereta dan motosikal terbabas ke dalam parit. Selekoh di situ bahaya."

"Abang-abang yang tolong ini semoga mendapat balasan yang terbaik di dunia dan akhirat. Terima kasih membantu."

"Moga yang membantu diberi ganjaran daripada kerajaan. Anda wira negara membantu menyelamatkan nyawa termasuk wanita dan kanak-kanak."

"Allahhuakbar. Suara tangisan anak-anak meruntun hati dan jiwa aku. Pandai anak lelaki tu minta tolong. Harap keluarga ini tidak trauma.

"Allahu, mujur ada orang nampak, nampak dalam juga airnya. Terima kasih orang baik."

TIP KERETA DITENGGELAM AIR

No Image Caption

1. Jangan panik

Bertenang dan jangan panik. Usah membuka pintu kereta kerana anda memang tidak akan mampu membukanya kerana tekanan air dan angin yang terlalu kuat.

Cuba telefon atau menghubungi sesiapa untuk menyelamatkan diri.

2. Lari ke tempat duduk belakang

Memandangkan enjin kereta berat, maka bahagian hadapan kereta akan dipenuhi air terlebih dahulu.Untuk mengelakkan diri daripada lemas, lari ke tempat duduk berlakang kerana bahagian belakang kereta mengambil masa untuk dipenuhi air.Anda akan ada lebih masa untuk menyelamatkan diri.

3. Pecahkan cermin kereta menggunakan ‘headrest’

Pecahkan tingkap kereta dengan menggunakan dua besi pada headrest. Hentakkan besi tersebut pada cermin tingkap dan ia akan pecah dengan mudah sekali. Elakkan memecah cermin depan atau belakang kerana ia memang direka untuk sukar dipecahkan.

4. Keluar melalui tingkap kereta

Apabila cermin kereta berjaya dipecahkan, cepat-cepat keluar melalui tingkap dengan berhati-hati. Tarik nafas dan cuba berenang keluar ke arah buih-buih yang ada pada tasik atau sungai tersebut dengan selamat.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang