Kediaman dilanggar treler, dua beradik pergi selamanya, Sultan Pahang cemar duli ziarah. 'Sebulan minta tidur bersama rupanya petanda...'

No Image Caption
A
A
A

BARU-baru ini negara dikejutkan dengan tragedi tragis treler terbabas yang merempuh sebuah rumah yang mengakibatkan dua beradik meninggal dunia.

Dalam kejadian yang berlaku di Kampung Ketapang Hilir, Pekan awal pagi Sabtu lalu, Nurnazatul Fasiha Nasruddin, 32, meninggal dunia di lokasi dihempap runtuhan dinding rumah yang runtuh sementara adiknya, Mohd Waldon Faris, 21, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pekan.

Dalam kejadian rempuhan pada kira-kira jam 4.15 pagi itu, ibu bapa mereka, Norrulaini Mohd Hassan, 54, dan Nasruddin Othman, 60, serta rakan Mohd Waldon Faris, Muhammad Gabriel Miqhael Muhammad Faidzal,19, yang turut berada dalam rumah berkenaan mengalami kecederaan.

Berikut info kejadian tragis berkenaan yang dikongsikan Polis Diraja Malaysia dan media tempatan:

No Image Caption

1-Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, siasatan awal mendapati, treler membawa muatan siling kapur dipandu seorang lelaki dari arah Johor Bahru menghala ke Kuantan telah hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh sebuah rumah yang berada di sebelah kanan jalan.

3-Kesan dari rempuhan itu, mangsa wanita Nurnazatul Fasiha disahkan meninggal dunia manakala empat lagi penghuni lain telah dibawa ke Hospital Pekan untuk menerima rawatan.

4-Seorang lagi mangsa, Mohd Waldon Faris disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pekan pada jam 1.30 petang hari yang sama.

5-Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu lori yang cuai dan hilang kawalan sehingga menyebabkan kemalangan berlaku.

No Image Caption

6-Pemandu treler berkenaan didapati positif dadah jenis metahmphetamine atau amphetamine selepas ujian saringan awal dijalankan oleh pihak Hospital Pekan.

7-Pemandu lori berusia 40 tahun ityu yang mengalami cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Pekan.

8-Kata Mohd Zaidi, penahanan suspek dibuat sebaik sahaja selesai rawatan dan kini direman selama empat hari sehingga Rabu.

9-Mohd Zaidi juga memaklumkan, kes disiasat dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

10-Dalam perkembangan terbaru, polis membuka dua kertas siasatan terhadap pemandu treler terbabit.

11-Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata dua siasatan itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

12-Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tindakan paling tegas dikenakan ke atas pemandu dan pemilik syarikat yang terbabit dalam kemalangan maut, terutama membabitkan pemandu yang dipengaruhi dadah.

No Image Caption

13-Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban itu berkata, tindakan penggantungan dan penarikan lesen terhadap syarikat juga akan diambil.

14-Difahamkan, Allahyarham Nurnazatul Fasiha baru berpindah ke JKM Pahang empat bulan lalu dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, namun kehilangannya sangat dirasai.

15-Pengarah JKM Pahang, Khairul Amri Ahmad berkata, berkata, sebelum ini arwah pernah bertugas di Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom (RKKSHK), Kuantan secara kontrak selama empat tahun.

16-Khairul Amri berkara, JKM sedia membantu dari segi khidmat nasihat dan keperluan lain dalam memastikan sebarang masalah keluarga dihadapi berkenaan dapat diselesaikan.

Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah berkenan mencemar duli berangkat ke Kampung Ketapang Hilir, Pekan bagi menziarah keluarga dua mangsa yang terkorban akibat kemalangan sebuah treler terbabas yang merempuh sebuah rumah di Jalan Pekan-Rompin awal pagi Sabtu lalu.

Menerusi video dimuat naik Malaysia Gazette, baginda turut sempat bertitah bertanya khabar ahli keluarga dan menzahirkan ucapan takziah.

MINTA TIDUR BERSAMA PETANDA ANAK PERGI SELAMANYA

No Image Caption

Ibu dua mangsa yang maut, Norrulaini Mohd Hassan, 54 berkata, tidak tertanggung ujian dihadapi apabila insiden itu meragut nyawa dua anaknya.

"Saya tidak boleh nak cakap, tidak tertanggung kehilangan mereka, rasa hati saya ALLAH sahaja yang tahu," katanya

Kata Norrulaini, Allahyarham Nurnazatul Fasiha sering meminta untuk tidur bersama dengannya sejak sebulan lalu.

Ibu berkenaan tidak menyangka permintaan tersebut petanda anak kedua daripada empat beradik itu mahu pergi selama-lamanya.

"Sebulan dia (Nurnazatul Fasiha) hendak tidur dengan saya dan tidak mahu tidur di tempat lain. Ini adalah petanda rupanya ALLAH hendak jemput dia," katanya dengan nada sebak.

Sementara itu, abang sulung, Mohd Fakrul Hafiz, 35, mengakui masih terkejut dengan kejadian yang menimpa keluarga.

"Saya tidak sangka, walaupun mak dan ayah terselamat, tapi saya kehilangan dua adik," katanya.

Jenazah Allahyarham Nurnazatul Fasiha dan Mohd Waldon Faris dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ketapang pada Sabtu.

Sumber: Malaysia Gazette, Sinar Harian

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang