Air mata di penghujung Ramadan. Fatimah The Family UK sekali lagi diuji. ‘Wajahnya pucat, ada benjolan baharu lebih besar daripada sebelumnya…’

No Image Caption
A
A
A

DALAM kesibukan membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang semakin hampir, luahan hati ibu kepada personaliti cilik, Fatimah Omar Mukhlis, benar-benar menyentuh perasaan orang ramai yang mengikuti kisah keluarga kecil ini di perantauan.

Menerusi perkongsian di TikTok, Nor Ashila Mahamed Ismail dengan berat hati berkongsi keadaan terkini anaknya, Fatimah, yang sekali lagi diuji apabila ketulan baharu muncul, bahkan kali ini lebih besar berbanding sebelumnya.

"Malam tadi, saya sedang mengaji Al-Quran bersama Mr Dad dan @Mukhtar Omar Mukhlis apabila Fatimah tiba-tiba datang kepada saya dengan wajah penuh kegelisahan.

"Wajahnya pucat, dan dia hampir menangis ketika perlahan-lahan menunjukkan sesuatu kepada saya iaitu satu lagi ketulan baharu! Dan ketulan kedua ini jauh lebih besar daripada yang pertama.

Namun, sebagai ibu bapa yang tidak mahu melihat puteri kesayangan mereka bersedih, mereka terpaksa mengawal ekspresi wajah supaya Fatimah tetap tenang dan kuat menghadapi ujian ini.

Artikel Berkaitan:

"Dalam sekelip mata, saya cuba menenangkan diri dan sedaya upaya mengawal ekspresi wajah supaya dia tidak bertambah cemas.

"Saya memberitahunya supaya jangan risau dan mengingatkannya bahawa kami pernah melalui perkara ini sebelum ini. Insya-ALLAH, kali ini kita dapat menguruskannya dengan lebih baik daripada sebelum ini,” tulisnya.

Bagaimanapun dari sisi lain, Nor Ashila dan suami, Omar Mukhlis Azizan tidak dapat menahan sebak apabila terpaksa menerima hakikat kemunculan benjolan baharu yang tidak disangka-sangka.

"Kemudian, saya dan Mr Dad duduk berhadapan, saling memandang tanpa sepatah kata pun. Saya melihat air mata bertakung di matanya. Dan saya tahu, dia juga melihat air mata di mata saya. Tapi kami tetap diam tidak ada kata-kata yang mampu diungkapkan.

"Dan akhirnya, kesunyian itu pecah apabila air mata mengalir di wajah kami berdua. Kami menangis, menangis dan menangis,” ujarnya.

Dalam keberkatan sepuluh malam terakhir Ramadan, ibu kepada tiga cahaya mata itu dengan penuh harapan merayu doa daripada orang ramai agar segala urusan keluarganya dipermudahkan sambil mempercayai bahawa setiap ujian yang menimpa pasti terselit hikmah di sebaliknya.

Dalam masa yang sama, beliau turut berharap dapat menghabiskan penghujung bulan mulia ini dan menyambut Hari Raya bersama keluarga tercinta di kediamannya, dalam suasana yang lebih tenang dan bermakna.

Tambahnya, mereka sekeluarga masih belum pulih sepenuhnya daripada pengalaman traumatik, apatah lagi apabila episod hitam itu kembali menghantui selepas genap setahun berlalu.

"Sekarang, dengan sepuluh hari terakhir Ramadan semakin menghampiri dan Syawal pula kian menjelang, kami tidak dapat mengelak daripada berasa cemas dan takut.

"Keluarga kami masih belum benar-benar pulih daripada pengalaman traumatik yang terpaksa kami lalui tahun lalu... dan kini, tepat setahun kemudian, kitaran yang sama berulang kembali.

"Kami berharap dan berdoa agar kami dapat menghabiskan Ramadan dan menyambut Aidilfitri bersama di rumah tahun ini, bukannya di hospital," luahnya.

Terdahulu, Fatimah pernah dimasukkan ke hospital sejak Mac 2024 dan pernah mengikuti prosedur pembedahan biopsi.

Fatimah, anak kedua daripada tiga beradik, pernah tular dan meraih perhatian di media sosial sejak kecil kerana fasih bertutur dalam dialek Kelantan, meskipun membesar di perantauan.

Fatimah juga pernah menerima pengiktirafan apabila dianugerahkan Anugerah Bintang Popular bagi kategori Personaliti Media Sosial Popular pada tahun 2018.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang