'Melawat awal pagi, naik Uber untuk sarapan bersama.' Sentiasa ada di sisi, sikap penyayang abang Fatimah dipuji. Ibu dedah tidak hidap kanser
KESIHATAN kanak-kanak cilik, Fatimah Omar Mukhlis menjadi tumpuan ramai semenjak Mac tahun lalu.
Si kecil ini bertuah abangnya, Omar Mukhtar dan adiknya Ali sangat mengambil berat biarpun ketika beliau dirawat di hospital.
Menerusi hantaran di Instagram, keluarganya sempat berkongsi pengorbanan Omar Mukhtar demi adik perempuan tersayang.
Ketika terlantar dan menjalani pelbagai prosedur sejak Mac 2024, si abang yang matang daripada usianya itu dan tahu memainkan peranan untuk menghargai dan berada di samping Fatimah pada saat-saat sukar.
"Sekadar gambaran kecil tentang sistem sokongan Fatimah. Foto ini diambil pada hari pertama persekolahan pada bulan September.
"Fatimah berasa sedih kerana Lalajee (panggilan untuk Omar Mukhtar) dan Ali sedang bersiap sedia untuk memulakan tahun persekolahan baharu tetapi dia masih 'terperangkap' di dalam wad.
"Ia sepatutnya hari pertama Fatimah sepatutnya menjadi hari pertamanya di Tahun Enam dan dia tidak menghadiri lebih separuh tahun pengajian Tahun Lima.
"Fatimah hanya menghadiri sekolah hospital di mana seorang guru akan datang ke katilnya setiap hari. Dia jelas merindui rakan, guru dan suasana sekolah.
"Tanpa pengetahuan Fatimah, Lalajeenya datang melawat di wad pada awal pagi. Dia menaiki Uber dari rumah ke hospital hanya untuk mengejutkan Fatimah dengan pakaian seragam pengawas baharunya dan duduk untuk bersarapan bersama.
"Ia mungkin kelihatan kecil bagi sesetengah orang, tetapi kasih sayang yang dicurahkan dan ikatan persaudaraan itu secara automatik membuatkan Fatimah tersenyum lebar. Fatimah sangat bertuah!" kongsinya.
Tidak hanya itu, menurut keluarga, Lalajee melawat Fatimah dan menjaga kanak-kanak itu setiap hari, bermain, menyanyi dan bermain piano, membaca buku. Banyak perkara-perkara kecil telah membantu dalam menjadikan perjalanannya sepanjang di hospital lebih baik.
"Kami mengucapkan terima kasih buat kepada Omar Mukhtar atas dedikasi yang ditunjukkannya untuk membawa keceriaan dalam kehidupan Fatimah. Dia komited untuk menjadi sistem sokongan si adik sejak Fatimah dilahirkan hingga sekarang.
"Kami tidak mungkin melaluinya tanpa dia! Semoga ALLAH memberi ganjaran kepada beliau kerana menjadi suri teladan.
Baru-baru ini, ibu adik-beradik itu, Nor Ashila Mahamed Ismail berkata, Fatimah kini dalam keadaan yang lebih baik berbanding sebelumnya dan dibenarkan discaj daripada hospital sejak Oktober 2024.
Kongsi Nor Ashila, Fatimah bagaimanapun masih perlu berulang-alik ke hospital setiap minggu bagi memantau simptom serta perkara lain seperti semakan ujian darah dan fisioterapi.
Jauh di sudut hati wanita berusia 44 tahun itu sukar untuk digambarkan mengenai apa yang berlaku sepanjang keluarganya membuat keputusan mendiamkan diri daripada media sosial selama beberapa bulan.
Beliau mengakui ketika itu keadaan anaknya bertambah buruk dan hanya terlantar di hospital.
Namun berkat doa orang ramai, Fatimah kini menunjukkan peningkatan dan perkembangan positif berbanding sebelumnya.
"Syukur Alhamdulillah, Fatimah sudah boleh bercakap, makan dan minum. Cuma keadaannya tidak menentu. Perkembangannya lebih baik berbanding sebelum ini.
"Jika orang tanya apa penyakitnya, kami sendiri belum tahu.
"Sebelum ini disyaki menghidap kanser tetapi sehingga kini, semua biopsinya gagal membuktikan sebarang kanser, walaupun dia positif untuk banyak penyakit jarang lain termasuk penyakit autoimun," katanya.
Menurut ibu, Fatimah sedang menjalani rawatan untuk mengawal imun badan agar tidak agresif dan mereka sekeluarga masih dalam peringkat menyesuaikan diri untuk hidup semula bersama dengan norma baharu.
Katanya lagi, doktor masih melakukan banyak penyelidikan mengenai penyakit Fatimah dan mendapatkan pendapat kedua daripada hospital lain di UK.
Tidak sekadar itu, sampel darah anaknya turut dihantar ke Amerika Syarikat (AS) untuk diuji.
Tambahnya, kes Fatimah turut dibincangkan di peringkat antarabangsa bagi mendapatkan lebih banyak pendapat daripada profesional perubatan lain di seluruh dunia.
"Doktor menjalankan ujian genetik bagi mengesan kaitan faktor keturunan untuk penyakit kanser. Semua keputusan genetik adalah negatif.
"Faktor kesihatan Fatimah mungkin disebabkan oleh genetik Fatimah sendiri sejak lahir," kata Nor Ashila.
Untuk rekod, Fatimah dimasukkan ke hospital sejak Mac 2024 dan keluarga memohon maaf kerana belum bersedia berkongsi dengan umum secara terperinci.
Fatimah, anak kedua daripada tiga beradik terdahulu tular dan meraih populariti di laman sosial Instagram.
Beliau pernah menerima Anugerah Bintang Popular bagi kategori Personaliti Media Sosial Popular pada tahun 2018.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang