'ALLAH pilih Ardell, bukan saya'– Nadzmi reda isteri terpilih sertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla
PASANGAN selebriti Nadzmi Adhwa dan Ardell Aryana memang sinonim dengan kerja kebajikan dan misi kemanusiaan.
Sejak sebelum mendirikan rumah tangga lagi, kedua-duanya aktif menyertai misi ke luar negara termasuk ke Syria dan Lubnan.
Baru-baru ini, ramai tertanya-tanya mengapa Nadzmi tidak menggantikan isterinya dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla. Menjawab persoalan itu, Nadzmi menjelaskan bahawa dia sendiri turut menghantar permohonan, namun tidak terpilih.
“ALLAH sebaik-baik perancang. Saya tak terpilih, tapi Ardell pula yang Dia pilih. Saya reda dengan keputusan itu,” katanya ketika ditemu bual Era FM.
Menurut bapa kepada dua cahaya mata itu, apa yang mengejutkan adalah jadual keberangkatan Ardell yang berubah secara mendadak.
“Sepatutnya minggu depan baru nak fly, tapi tiba-tiba esok kena berangkat. Malam itu juga terus beli tiket. Memang terkejut,” ujarnya.

Walaupun berat hati, lelaki berusia 32 tahun itu tetap memberi restu kerana tahu penglibatan isterinya bukan untuk berperang, sebaliknya menghantar bantuan kemanusiaan termasuk bekalan susu untuk kanak-kanak.
“Kalau dia pergi bawa senjata nak berperang, saya akan halang. Tapi sebab misi ini untuk bantu orang, saya izinkan. Tempat itu memang kawasan perang, tapi niat dia ikhlas nak menyalurkan bantuan,” katanya.
Malah, pemilik nama sebenar Nadzmi Adhwa Nor Adzmi turut mendedahkan bahawa pada awalnya mereka suami isteri sama-sama menghantar permohonan, namun pemilihan dibuat berdasarkan pengalaman dan rekod penyertaan terdahulu.
“Apa pun, kalau ALLAH sudah tentukan, itulah yang berlaku. Saya tak terpilih, Ardell yang Dia pilih. Saya terima dengan reda,” kongsinya lagi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
