Allahyarham Zulfarhan alami 80 peratus kelecuran, doktor ini kongsi formula anggaran luas permukaan tubuh manusia
Setelah tujuh tahun penantian, akhirnya pemergian Pegawai Kadet Laut, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain terbela apabila enam orang yang terlibat dalam kes ini dikenakan hukuman gantung.
Ibu bapa mangsa, Hawa Osman dan Zulkarnain Idros sujud syukur sejurus keluar daripada dewan mahkamah selepas mendengar keputusan hakim.
Mengikut perkembangan semasa, seorang doktor kesihatan dan perubatan yang aktif berkongsi di laman Facebooknya, Kamarul Ariffin Nor Sadan berkongsi ilmu tentang formula anggaran luas permukaan tubuh manusia memandangkan kelecuran yang dialami Kadet Zulfarhan sebanyak 80% akibat ditekap seterika wap panas.
Dalam perkongsian tersebut, formula yang digunakan adalah Rule of 9 dan Rule of palm. Jom ikuti perkongsiannya.
Tahu tak bagaimana doktor anggar luas permukaan tubuh manusia?
Dalam bidang perubatan, untuk menganggar jumlah permukaan kelecuran, antara formula yang petugas perubatan gunakan adalah "The Rule of 9" dan "Rule of Palm".
Rule of 9
Konsepnya adalah: luas permukaan anggota tubuh dibahagikan kepada peratusan berikut: *rujuk gambar untuk mudah faham.
Kepala = 9% (4.5% depan + 4.5% belakang)
Badan depan = 18% (dada 9% + perut 9%)
Badan belakang = 18% (atas 9% + bawah 9%)
Tangan = 9% (4.5% depan + 4.5% belakang)
Kaki = 18% (9% depan + 9% belakang)
Kelengkang (termasuk kemaluan) = 1%
Rule of Palm
Konsepnya adalah: luas permukaan tapak tangan (termasuk bahagian jari) adalah 1% dari permukaan keseluruhan tubuh.
Luas tapak tangan manusia berbeza-beza, jadi luas tapak tangan pesakit itu sendiri yang perlu digunakan untuk ukur saiz kelecuran pada tubuhnya.
Di akhir perkongsiannya, Dr Kamarul juga mengakui, tindakan yang dilakukan oleh pesalah adalah kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Malah, beliau juga menyifatkan bahawa keputusan mahkamah pada Selasa itu sebagai amaran dan peringatan kepada orang ramai.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan menjatuhi hukuman gantung terhadap enam bekas penuntut UPNM kerana membunuh Zulfarhan Osman.
Mereka dikenakan hukuman terbabit selepas panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail, sebulat suara menghidupkan semula pertuduhan asal iaitu Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Suspek yang kini berusia 28 tahun itu ialah, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang