Angkat budaya Melayu ke pentas dunia Hyrox, Kapten Raeiz buktikan penampilan dan kekuatan fizikal perlu seiring

DALAM ribuan peserta acara kecergasan ekstrem Hyrox di Hong Kong baru-baru ini, satu figura mencuri tumpuan ramai. Tidak hanya pada kekuatan fizikalnya, tetapi keberanian tampil berbeza dari peserta lain.
TUDM (Bersara), Kapten Raeiz Hamed tampil mengenakan pakaian silat lengkap, menjadikan beliau bukan sahaja wakil Malaysia dalam sukan tersebut tetapi duta budaya di mata dunia.
“Ini kali keempat saya berpakaian begini dalam acara sukan berprestij. Saya buat keputusan untuk berpakaian begini demi agama, bangsa dan negara. Saya mahu perkenalkan budaya Malaysia di pentas dunia dan buktikan bahawa negara kita juga ada atlet hebat dalam sukan Hyrox,” katanya dengan penuh semangat.
Berusia 39 tahun dan bapa kepada lima orang cahaya mata itu bukanlah nama asing dalam arena kecergasan.
Bekas pegawai tentera udara tersebut kini aktif sebagai jurulatih kecergasan dan juga Hyrox, selain merupakan peserta aktif pelbagai acara larian dan sukan lasak.
“Saya mula serius dalam bidang kejurulatihan kecergasan sejak tahun 2019. Sejak itu, sukan dan gaya hidup aktif menjadi sebahagian besar dalam kehidupan saya,” jelasnya.
Setakat ini, beliau telah menyertai pelbagai kategori dalam empat acara Hyrox di Singapura, Hong Kong, Arab Saudi dan Thailand. Seterusnya bulan Ogos ini di Yokohoma, Jepun dalam kategori Men's Pro dan Mixed Relay.

Sekadar makluman, Hyrox merupakan acara kecergasan bertaraf dunia yang menggabungkan larian dan cabaran fizikal berintensiti tinggi.
Semestinya ia bukanlah sesuatu yang mudah. Namun, bagi Raeiz, penyertaan dalam acara seperti ini adalah satu bentuk latihan dan motivasi terbaik.
“Bersukan atau menyertai acara sebegini adalah alasan paling baik untuk kita terus berlatih dan kekal sihat. Kita ada tujuan dan itu menjadikan disiplin lebih mudah,” katanya.
Tambahnya lagi, cabaran bukan sekadar fizikal. Isu penampilan dan imej negara juga menjadi tanggungjawab besar apabila berada di pentas antarabangsa.
“Apabila kita ke luar negara membawa nama Malaysia, jangan sekadar hadir untuk bertanding. Kita juga bertanggungjawab membawa budaya, identiti dan martabat negara.
“Sebab itu, saya sangat menitikberatkan penampilan kerana ia mencerminkan budaya, bangsa dan martabat negara Malaysia,” ujarnya lagi.
Beliau yang pernah mendapat tempat ketiga dalam acara Spartan Race Honor Series 2024, menyeru anak muda agar berani keluar dari zon selesa dan mencabar diri melalui penyertaan dalam acara kecergasan seperti ini.
Kisah Kapten Raeiz bukan sahaja mencerminkan semangat kesukanan tetapi juga memperlihatkan bagaimana budaya dan jati diri boleh diangkat melalui sukan.
Lelaki tersebut membuktikan, menjadi atlet bukan sekadar soal fizikal tetapi juga tentang membawa nama baik negara ke mana sahaja kaki melangkah.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang