'Anugerah terindah 20 tahun sahaja, pinjaman paling cantik.' Anak tunggal pergi dalam tidur hari Jumaat, rintihan ibu runtun hati

No Image Caption
A
A
A

KEMATIAN cahaya mata ujian berat buat ibu bapa. Bukan mudah anak yang dikandung sembilan bulan, dilahirkan dan dibesarkan tiada sekelip mata.

Demikian ujian yang perlu dihadapi pasangan suami isteri, Naemah dan suami, Che Lokman yang kehilangan permata hati tunggal, Iman Balqis Che Lokman yang merupakan pelajar Kolej Profesional MARA, Bandar Penawar (KPMBP), Johor.

Pemergian Iman pada Jumaat, 9 Mei dalam tidur terus diingati. Baharu dihantar untuk pulang kampus pada Ahad, lima hari kemudian mereka terpaksa akuranak kesayangan dijemput kembali oleh Maha Pencipta tanpa sebarang petanda.

"Ibu akan belajar ikhlas pulangkan pinjaman yang paling cantik, paling baik dan paling sempurna ini kepada Maha Pemberi.

No Image Caption

"9 Mei 2025, saat dan ketika ibu dan ayah takkan lupakan sampai bila-bila. Ibu di pejabat terima panggilan maklumkan Iman tidak bangun-bangun.

"Ibu rasa dunia berhenti berputar, detik nafas ibu kosong. Ayah kuat, boleh pandu kereta dari Putrajaya balik Bangi terus ke Johor. Ibu tak sangka ayah sekuat itu. Lama dik untuk sampai berjumpa bidadari syurga kami yang cantik.

"Bila sampai di hospital baru rasa longlai, tapi ibu kuatkan diri. Ibu nak jalan cepat-cepat untuk jumpa Iman. Kami peluk Iman.

"Titik terendah dalam hidup ibu apabila nampak sekujur tubuh anak tidak bernyawa menyambut ketibaan kami. Ibu ayah peluk dan usap kepala, gosok tangan Iman. Tetapi pelukan kami tidak berbalas.

Artikel Berkaitan:

"Ibu maafkan segala dosa Iman dan halalkan setiap titisan susu Ibu. Iman tunggu ibu.

No Image Caption

"Dulu selepas Iman dilahirkan pertama kali ibu mandikanmu dengan gembira, untuk terakhir ini ibu mandikan Iman dengan air mata berjuraian.

"Putihnya anak ibu. Kulit putih bersih seperti sedang tidur.

"ALLAH tunjukkan kebesarannya. Meninggal dalam tidur pada hari Jumaat. Tiada sakit apa-apa dan sebelum tidur riang gembira bersama kawan-kawan.

"Semoga bidadari syurga ibu ayah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Semoga syurga tempatmu anak tunggal kesayanganku," kongsinya.

No Image Caption

Sebuah video tular memaparkan pasangan itu kembali ke KPTM untuk mengambil barangan milik anak tunggal mereka.

Melangkah masuk ke bilik kediaman arwah, si ibu tidak mampu menahan sebak mengingatkan itulah tempat terakhir anaknya sebelum 'pulang' ke alam abadi.

Bayangkan betapa luluhnya hati seorang ibu dan ayah yang memegang bantal tempat anaknya tidur buat kali terakhir.

"Sudah banyak hari ibu tak dapat mesej pemakluman anak ibu keluar kolej sebab setiap kali Iman nak keluar kena touch kad Iman dekat guard. Terus dapat mesej kat ibu. Allahu ibu sangat rindu!

"Ibu rasa ibu sudah kuat tetapi tak mampu juga nak menapak masuk kolej, lebih-lebih lagi ke bilik Iman.

"Dua tahun Iman kat KPMBP, laluan setiap hari Iman di sini. Bilik inilah tempat terakhir kali Iman di dunia ini, ketika Iman dijemput pulang kepada Nya...

"Ibu nampak Iman tengah tidur atas katil tu. Tenang, selesa dan nyenyak sangat.Bukan tidak reda tetapi sangat rindu!" titip Naemah pada video yang menerima 11,000 reaksi dan lebih 1,000 perkongsian.

No Image Caption

Dalam hantaran terbaharu, Naemah menyampaikan ucapan terima kasih buat warga maya yang mendoakan permata hatinya. Berharap akan terus kuat, kemas kini terkini laman sosialnya terus meruntun hati.

"Ramainya yang mendoakanmu anakku. Ramainya orang baik yang berkongsi rasa dan menitip doa buat ibu dan ayah.

"Tidak mampu kami nak balas segala kebaikan kalian semua. Semoga ibu bertahan kuat," kongsinya.

Insan-insan yang mengenai arwah dan warganet tidak dapat menahan rasa sayu terus menitipkan kata-kata semangat dan doa.

"Sungguh arwah bukan anak kami tetapi pemergiannya juga mmberi kesan pada kami pengusaha kafe kolej. Manakan tidak, keletah arwah dan rakan-rakan sentiasa ramah dan ceria tidak akan pernah kami lupa. Sungguh puan dan suami sudah beri didikan sempurna buat arwah Iman. Salam takziah dari kami pengusaha-pengusaha kafe KPMBP, al-Fatihah."

"Biasanya arwah akan sama-sama dengan anak saya pergi dan balik kolej. Booking bas dan booking seat selalu Iman yang handle."

"Sampai hari ni masih sebak. Terkesan sangat, semoga ibu ayah kuat dan semangat teruskan kehidupan."

"Moga ALLAH titipkan kekuatan buat keduanya menghadapi hari yg mendatang selepas kehilangan buah hati tercinta. Arwah Iman sangat beruntung mendapat doa dari kedua ibubapa yg sangat menyayanginya."

"Beruntung arwah meninggalkan dunia kala ibu ayah masih hidup lagi. Kematian yang dicerumbui. Kasih ibu ayah yang membawa ke syurga. Insya-ALLAH."

"Tidak layak untuk saya katakan sabar, cukup untuk saya mendoakan agar ibu dan ayah ini kuat. Berbahagialah puan dan suami mempunyai anak yang ALLAH redai."

Bertuahnya Allahyarham kerana meninggal dunia pada hari Jumaat yang dikatakan pengakhiran yang baik.

Terdapat tanda-tanda lain bagi kematian yang baik (husnul khatimah) terbahagi kepada dari sudut masa, tempat dan keadaan.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, antara tanda husnul khatimah ialah seperti berikut:

1-Mati pada hari atau malam Jumaat.

2-Mengucap dua kalimah syahadah sebelum menghembuskan nafas yang terakhir.

3-Meninggal dunia dalam keadaan berpeluh di dahinya.

4- Dia diberikan taufiq dan hidayah oleh ALLAH SWT beramal soleh sebelum dia meninggal dunia.

5-Dia berasa gembira dan senang hati untuk bertemu dengan ALLAH.

6-Meninggal dunia dalam keadaan mati lemas, jatuh bangunan dan syahid di jalan ALLAH

7-Meninggal dunia dalam keadaan melahirkan anak.

8-Meninggal dunia kerana mempertahankan harta dan maruah dirinya.

9-Meninggal dunia dalam keadaan melaksanakan amalan soleh.

Marilah sama-sama kita berdoa supaya dimatikan dalam keadaan husnul khatimah dan ditempatkan di sisi Rasulullah SAW serta dalam kalangan orang yang soleh.

اللَهُمَّ اخْتِمْ لنا بِحُسْنِ الْخَاتِمَة وَلاَ تَخْتِمْ عَلَيْنَا يَا الله بِسُوءِ الخَاتِمَة

Maksudnya: Ya ALLAH, matikanlah kami dalam keadaan husnul khatimah dan janganlah kamu matikan kami dalam keadaan su’ul khatimah.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang