'Arwah sering pandang wajah, patut hantar anak daftar kolej.' Luahan isteri Firos Mohamed undang sayu

DALAM dunia sukan tanah air, nama Firos Mohamed bukan asing bagi peminat bola sepak tempatan, khususnya di Pulau Pinang.
Namun, peminat sukan negara dikejutkan dengan pemergian mengejut bekas penjaga gol legenda itu yang rebah ketika beraksi dalam perlawanan empat penjuru Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru ‘Legend All Star’ di Stadium Majlis Perbandaran Manjung di sini pada Sabtu di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak, malam tadi.

Tidak mempunyai sebarang penyakit termasuk berkaitan jantung, bekas pemain Pulau Pinang yang berusia 53 tahun itu memang seorang yang aktif dan menjadi jurulatih bagi penjaga gol untuk Akademi Bola Sepak Pulau Pinang sehingga kini.
Pergi tanpa sebarang petanda, isteri Allahyarham, Fildaanis Mat, 51, berkata beliau dan arwah mengikut perancangan sepatutnya bersama-sama menghantar anak bongsu Mohamad Fairiel Danish ke Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) di Bangi, Selangor bagi menyambung pengajian dalam bidang pengurusan sukan.

"Saya dan anak-anak (tiga anak lelaki berusia 18 hingga 29 tahun) bersama arwah ke kejohanan itu sebab hendak tengok dia bermain di stadium.
"Mengikut perancangan sepatutnya hari ini kami nak terus hantar anak bongsu, Mohamad Fairiel Danish ke Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) di Bangi, Selangor bagi menyambung pengajian dalam bidang pengurusan sukan," kongsinya kepada Bernama.
Fildaanis mengakui suaminya tiada masalah kesihatan. Mereka sekeluarga masih terkejut dengan kehilangan Allahyarham khususnya anak bongsu, Mohamad Fairiel Danish yang meluru ke kawasan padang apabila melihat bapanya rebah.
Malah Mohamad Fairiel Danish juga pengsan selepas mendapati ayahnya tidak sedarkan diri!
"Semalam sebelum perlawanan arwah tak tunjuk apa-apa kelainan cuma nampak bersemangat bermain macam orang muda terutama setelah ketinggalan 0-1 dengan pasukan Ex-Kedah, dan dua minit sebelum perlawanan tamat arwah tiba-tiba rebah," ujarnya.
Lebih memilukan, sebelum pergi buat selama-lamanya, Fildaanis berkata, Allahyarham Firos kerap memandang wajahnya sejak beberapa hari yang lalu.

"Arwah memang tidak pernah mengadu sakit dan tiada penyakit serius. Cuma saya terkesan apabila arwah sering memandang muka saya sejak beberapa hari lepas dan kali terakhir bertemunya ketika bersama-sama dalam bas dari hotel di Manjung ke stadium untuk kejohanan tersebut," katanya lagi.
Sementara itu, putera bongsu Mohamad Fairiel Danish pula berkata, walaupun sangat sedih kehilangan ayahnya, Kini, dia perlu kuat untuk menyambung pelajaran demi mengejar cita-cita menjadi guru sukan.
"Ayah memang sangat gembira apabila tahu saya akan menyambung pelajaran dalam bidang sukan kerana saya dan adik-beradik lain dari kecil memang telah dibawa ke padang untuk melihat arwah bermain bola sepak," katanya.

Dalam pada itu, pengurus pasukan Ex-Penang Mohd Azmi Ali, 57, berkata, beliau dan Allahyarham rapat sejak 20 tahun lepas kerana bersama-sama dalam pasukan Piala Presiden dan pasukan Pulau Pinang.
"Arwah adalah antara penjaga gol terbaik Pulau Pinang dan pernah terpilih antara enam pemain negeri mewakili Malaysia untuk program latihan Kelab Bola Sepak Barcelona pada 80-an selain menjadi penjaga gol Malaysia pada tahun 90-an," katanya.
Dalam pada itu, jurulatih pasukan Ex-Penang yang juga Presiden Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Pulau Pinang Radzuan Putah, 60, berkata pemergian Firos satu kehilangan besar kepada industri bola sepak Pulau Pinang dan negara.
Terdahulu, beberapa video tular di media sosial memaparkan Firos rebah ketika beraksi menentang pasukan legenda dari Kedah sebelum Ketua Polis Daerah Manjung ACP Hasbullah Abd Rahman mengesahkan bahawa Firos meninggal dunia akibat serangan jantung.
Beliau sebelum ini dilaporkan dibawa mendapatkan rawatan di Hospital KPJ Manjung sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 10.15 malam tadi.
Sekadar info, jenazah Allahyarham Firos dimandi dan dikafankan sebelum disolatkan di Surau Kampung Melayu, Air Itam, Pulau Pinang dam dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ridwaniah, Sungai Batu, Pulau Pinang.
Kira-kira lebih 100 orang terdiri daripada rakan-rakan serta ahli keluarga menghadiri pengebumian tersebut yang selesai sepenuhnya pada 4.30 petang.
Firos Mohammed dikenali sebagai antara penjaga gol terbaik negara dan Pulau Pinang di era 90-an.
Sumber: BERNAMA, Sinar Harian
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang