Bayi maut nahas plaza tol hasil rawatan IVF, bapa luah rasa terkilan- '10 tahun saya dan isteri cuba dapatkan zuriat...'
KEMALANGAN maut melibatkan seorang bayi di Plaza Tol Bukit Kajang pada Sabtu meruntun hati warganet. Masakan tidak, bayi berusia 12 bulan berkenaan dikatakan meninggal dunia di tempat kehadiran manakala lapan yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan itu.
Memetik Sinar Harian, bapa, Amirul Ridzuan Abu Bakar terkilan bayi yang ditunggu selama 10 tahun lpergi selamanya dalam kemalangan terbabit.
Beliau yang berada di Kedah ketika kejadian itu atas tuntutan kerja sebagai pensyarah di Perlis menceritakan kejadian itu, Amirul berkata, isterinya, Nurul Husna Khairuddin, 38, bersama anak mereka, Amir Husayn dan Amir Hasan dengan bapa dan ibu mentuanya keluar untuk bersarapan di sebuah restoran di TTDI Grove dengan menaiki sebuah Honda City.

Amirul berkata, beliau dimaklumkan anaknya, Amir Husayn meninggal dunia akibat pendarahan dalaman selepas tercampak keluar dari kereta.
"Kembarnya, Amir Hasan yang menerima rawatan di hospital sama sudah dibenarkan keluar dari hospital malam tadi dan akan dipantau keadaan kesihatannya dari semasa ke semasa," katanya.

Amirul turut mendedahkan kembar seiras itu dilahirkan pada 20 Mei tahun lalu selang 15 saat.
"Apabila dikenang kembali, kira-kira 10 tahun saya dan isteri cuba dapatkan zuriat sejak kami berkahwin pada 2013.
"Akhirnya, kami dikurniakan anak kembar lelaki yang dilahirkan pada 20 Mei tahun lalu.
"Amir Husayn adalah adik yang lahir 15 saat selepas abangnya, Amir Hasan," katanya yang memaklumkan jenazah Amir Husain dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan masalah brek sebuah lori dipercayai menjadi punca kemalangan membabitkan empat kenderaan di plaza tol berkenaan kira-kira jam 10.50 pagi.
Akibat pelanggaran itu katanya, seorang bayi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala tujuh mangsa lain cedera dan kini dirawat di Hospital Kajang, Hospital Serdang dan KPJ Kajang.
Sumber: Sinar Harian
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

