Betty Rahmad syukur dapat tebus masa dengan ibu. 'Tak pernah salahkan mak, tapi selalu rasa kosong...' 

No Image Caption
A
A
A

BARU-baru ini, pelakon dan usahawan Betty Rahmad berkongsi kisah zaman kanak-kanaknya dengan mendedahkan bahawa beliau hanya sempat tinggal bersama ibunya sehingga usia sembilan tahun.

Selepas itu, tugas menjaga mereka adik-beradik diambil alih oleh kakak sulungnya, yang juga penerbit dan pengarah, Erma Fatima, kerana ibu dan arwah bapa mereka terlalu sibuk bekerja menyara enam orang anak.

“Hari ini saya temankan anak bermain... dan di sebelah saya, mak saya.

“Dulu masa kecil saya cuma tinggal dengan mak sampai umur sembilan tahun. Lepas itu, Kak Erma yang jaga saya sebab mak dan arwah bapak selalu sibuk bekerja untuk kami enam orang adik-beradik. Dari bayi hingga umur sembilan tahun, banyak masa saya bersama pembantu,” katanya menerusi hantaran di TikTok.

No Image Caption



Namun, masa yang telah berlalu tidak membuatkan Betty atau nama penuhnya Norsha Rahmad Ali menyimpan rasa sepi. Sebaliknya, beliau menganggap semuanya sebagai aturan terindah daripada ALLAH SWT.

“Saya tak pernah salahkan mak. Tapi saya selalu rasa kosong. Rindu momen yang saya tak sempat lalui dengan dia.

“Hari ini, umur mak dah 78 tahun. Rambut dah penuh uban. Jalan pun dah perlahan. Tapi ALLAH itu Maha Baik. Dia tak beri saya kasih sayang mak waktu kecil... tapi Dia gantikan dengan peluang untuk temani mak di usia senja.

“Saya sangat bersyukur bila duduk sebelah dia. Pegang tangan dia. Dengar dia bercerita. Sebab itu saya selalu buat video dengan mak. Bukan sebab nak kejar tontonan, tapi sebab saya nak simpan kenangan.

“Saya nak rakam setiap detik yang indah, supaya suatu hari nanti... bila mak dah tiada, saya boleh tengok balik. Atau sebaliknya,” katanya lagi.

No Image Caption



Betty mengakhiri perkongsian itu dengan lafaz syukur atas peluang dan ruang yang diberikan Tuhan untuk menebus masa silam yang pernah tertinggal.

“Dan pada usia sekarang ini, ALLAH beri saya rezeki untuk komersialkan produk mak saya, Biskut Kelapa Che Semah. Sesuatu yang dia boleh banggakan.

“Sesuatu yang dalam diam... adalah hadiah kecil daripada saya. Sebagai seorang anak... yang sedang belajar berbakti semampu mungkin.

“Syukur Ya ALLAH. Untuk masa ini, untuk peluang yang saya tak pernah dapat waktu kecil... tapi KAU gantikan dengan waktu yang lebih mendalam, lebih bermakna, di hujung usia mak saya,” ujar beliau.



Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang