Bukan sawan tapi bunuh! Kes kadet Palapes Syamsul Haris disiasat Bukit Aman. 'Perjuangan ibu tak sia-sia...'
KEMATIAN kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, yang penuh kontroversi benar-benar menyayat hati.
Kematian berdarah yang dahulunya diklasifikasi sebagai mati mengejut telah diambil sepenuhnya oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, susulan arahan terbaharu Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengklasifikasikan semula kes berkenaan daripada mati mengejut kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Menurutnya, keputusan itu dilihat selari dengan kenyataan yang dikeluarkan Pengarah JSJ Bukit Aman semalam.
"Peguam Negara telah mengarahkan siasatan ini daripada mati mengejut kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana mati dibunuh.
"Siasatan ini dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman dan telah diambil alih sepenuhnya oleh pasukan tersebut, bukan lagi disiasat oleh Kontinjen Johor.
"Mengenai proses siasatan dan langkah seterusnya, saya tidak dapat memberikan butiran lengkap kerana ia berada di bawah bidang kuasa Bukit Aman,” katanya kepada pemberita pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan kes itu setelah menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di sini, pada Rabu.
Terdahulu, AGC mengarahkan kes kematian pemuda berusia 22 tahun itu disiasat semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan setelah meneliti laporan siasatan yang dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam hantaran di TikTok, keluarga Allahyarham menitipkan syukur perjuangan ibu, Ummu Haiman Bee Daulatgun membuahkan hasil.

"Semoga ada keadilan buat kematian Syamsul Haris. Empat bulan ibu dan kami keluarga arwah berjuang. Akhirnya ALLAH angkat doa-doa kami.
"Alhamdulillah, Syukur Ya ALLAH. Pengorbanan seorang ibu demi anak tercinta tak sia-sia.
"Semoga ada keadilan buat Syamsul Haris," titipnya menerusi sebuah video.
Imbas kembali 28 Julai lalu, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.
Bagaimanapun, pada 27 Ogos, USJT, Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5) JSJ Bukit Aman mengambil alih sepenuhnya siasatan susulan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membenarkan permohonan notis usul keluarga si mati untuk penggalian semula (exhumation) dan bedah siasat kali kedua.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak pembelaan menggesa mana-mana individu yang bersubahat menyembunyikan maklumat berkaitan kematian Syamsul Haris didakwa di mahkamah.
Sumber: Sinar Harian
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

