'Terima kasih atas sokongan dan motivasi…’ – Ummu Haiman reda lihat kubur Syamsul Haris digali semula
SEORANG ibu sanggup berkorban segalanya demi anak, tetapi ada ketika takdir menuntut kekuatan luar biasa. Itulah yang sedang dipikul Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45 tahun, apabila dirinya perlu melalui detik paling berat apabila menyaksikan pusara anak sulungnya, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, digali semula pada Jumaat, 29 Ogos 2025 di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu.
Perintah itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi menetapkan agar bedah siasat kedua dijalankan dalam tempoh 14 hari.
Dalam kesayuan yang sukar diterjemahkan, Ummu Haiman memilih untuk terus tabah. Menerusi perkongsian status WhatsApp terbaharunya, beliau menulis ringkas tetapi sarat dengan makna:
“Mohon hadir ramai-ramai.
"Terima kasih atas sokongan dan motivasi.” Ungkapan itu bukan sekadar jemputan, tetapi doa seorang ibu yang mahu kekuatan hadir daripada sokongan orang sekeliling.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet dalam keputusannya menegaskan proses penggalian semula akan dipantau rapi oleh Ketua Polis Negara (KPN) sebagai responden pertama.
Turut hadir ialah pakar forensik bertauliah untuk memastikan prosedur berjalan lancar dan berintegriti. Seorang pakar patologi dari Hospital Kuala Lumpur akan mengetuai bedah siasat tersebut, dibantu oleh pakar forensik berpengalaman, Datuk Seri Dr. Bhupinder Singh.
Sejak awal, Ummu Haiman pernah meluahkan kegusaran kerana masih belum menerima tarikh rasmi walaupun mahkamah telah mengeluarkan arahan.

Kini, setelah tarikh dimuktamadkan, yang tertinggal hanyalah doa, kekuatan jiwa dan harapan agar kebenaran akhirnya tersingkap.
Seorang ibu mungkin mampu memaafkan banyak perkara, tetapi apabila melibatkan nyawa anak, hatinya menuntut jawapan. Ummu Haiman tidak menafikan kepiluan yang bersarang, namun beliau memilih untuk berdiri di sisi perjuangan mencari keadilan.
Pemergian seorang anak adalah kehilangan yang tidak pernah diganti. Dan apabila kubur perlu digali semula, luka lama itu seolah-olah dikoyak kembali.
Namun, di sebalik kepedihan, ada sinar kekuatan yang lahir daripada kasih seorang ibu.

Setiap langkah menuju Jumaat nanti adalah ujian. Ujian untuk melihat sejauh mana doa, sokongan, dan ketabahan boleh mengubat rasa.
Ummu Haiman, dalam kelembutan jiwa seorang ibu, terus meyakini bahawa Allah sentiasa bersama mereka yang mencari kebenaran.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

