Dari kucing bernama Matahari, tercetus haruman jiwa- Kisah gadis ini bela 40 ekor si bulus menyentuh hati
SETIAP orang memiliki cinta dan minat tersendiri. Bagi gadis manis berkulit putih ini, cintanya datang dengan bulu-bulu lembut, mata bundar, dan suara manja yang mengiau setiap kali lapar atau rindu.
Siti Fatimah Muhammad, gadis berusia 26 tahun ini, sudah menyayangi kucing sejak kecil lagi. Minatnya bukan sekadar hobi, tapi berkembang jadi misi hidup.
Hari ini, lebih 40 ekor kucing berada di bawah jagaannya. Ada yang tidur dengan ibunya, ada yang melekat manja dengan dirinya, dan ramai juga yang tinggal di ruang khas yang dibina seperti boarding kecil di halaman rumah.
“Saya jaga mereka macam keluarga sendiri. Dari yang ditinggal ibu, yang sakit, yang kurus kering dekat tepi jalan... semua saya ambil dan peluk masuk dalam hidup saya,” luah Emma perlahan.
Di sebalik senyuman lembutnya, tersimpan kisah-kisah kehilangan yang menyayat hati.
Salah satu kucing kesayangannya, diberi nama Matahari, pernah menghidap kanser hidung. Emma, yang ketika itu bekerja sebagai pembantu veterinar, terpaksa membuat keputusan berat, menidurkan kucing itu demi mengurangkan penderitaan.
“Dia kucing yang sangat rapat dengan saya. Saya sendiri yang pegang dia masa doktor suntik. Sampai hari ni, setiap kali tengok gambar dia, saya masih sebak,” ceritanya yang bakal muncul menerusi Karnival Aroma Hati, Debob Event Space, PERDA, Pulau Pinang 30- 31 Ogos ini bersama lebih 14 pengusaha minyak wangi tempatan. Antaranya, Sugarbomb, Tres Parfum, Beauboss, Keeff &Nish dan banyak banyak lagi.
PERSONALITI KUCING JALANAN
Kehidupan Emma berubah sedikit demi sedikit apabila dia mula terfikir, bagaimana jika karakter kucing yang dijaga itu diabadikan dalam bentuk haruman?
Idea itu muncul bukan semata-mata mahu jadi usahawan. Tapi sebagai usaha meneruskan legasi setiap bulus yang pernah singgah dalam hidupnya.
Lalu terciptalah Sorae, jenama wangian tempatan yang diinspirasi sepenuhnya daripada personaliti kucing jalanan.
Setiap bau ada cerita. Jika kucing itu ceria dan aktif, haruman berbau citrus. Jika manja dan lembut, bau fruity dan sedikit floral. Jika kucing itu pernah hidup penuh cabaran, wangian woody dan deep menjadi pilihannya. Semua disesuaikan sebaik mungkin dengan karakter haiwan yang menginspirasikannya.
“Saya tak reka bau ikut trend. Tapi ikut cerita. Bau itu mewakili mereka. Bila orang pakai, saya nak mereka rasa ‘dekat’ dengan emosi dan perjalanan si kucing,” jelas Emma.
Menariknya, setiap pembelian perfume juga disertakan dengan kad kecil yang memaparkan gambar si kucing, nama, dan kisah di sebalik inspirasinya. Bukan sekadar produk. Tapi lebih kepada penghargaan dan tribute kepada makhluk bernyawa yang pernah dilupakan dunia.
MENCIPTA HARUMAN
Pada mulanya, Emma tidak yakin dengan idea perfume berinspirasikan kucing. Takut diketawakan. Takut dikecam. Tapi semua itu berubah apabila dia menyertai Fragrance Festival Malaysia 1.0.
Rupanya, konsep unik Sorae menarik perhatian ramai. Ramai yang kagum dengan keberaniannya mencipta haruman yang bukan hanya wangi, tetapi berjiwa.
“Ramai sangka saya jual perfume untuk kucing.
“Tapi lepas mereka tahu maksud sebenar, ramai pula yang tertarik,” ujarnya sambil ketawa.
Apa yang membezakan Sorae dengan jenama lain adalah misinya. Emma tak hanya mahu menjual haruman. Tapi mahu gunakan platform ini untuk bantu lebih banyak haiwan jalanan.
Sebahagian hasil jualan akan disalurkan kepada inisiatif kebajikan haiwan, dan tiga wangian baharu yang bakal dilancarkan akan menyumbang RM10 setiap botol kepada dana tersebut.
Walaupun sibuk dengan perniagaan sepenuh masa, Emma tetap terlibat secara langsung dalam pembuatan produk, dibantu ahli keluarga terutama abangnya. Semua formula datang daripada R&D Emma sendiri. Bukan copy-paste dari pasaran luar.
Setakat ini, Sorae memiliki 10 jenis wangian aktif (dengan tiga lagi akan menyusul). Namun apa yang lebih besar adalah harapan Emma untuk melihat jenamanya melepasi sempadan Malaysia, terutama ke Eropah.
Menyimpan jiwa
Bagi Emma, setiap titisan perfume Sorae bukan sekadar bau yang memikat. Tapi titisan kenangan, air mata, dan kasih yang tidak pernah putus terhadap makhluk Tuhan yang tidak bersuara.
“Ada orang tanya, kenapa sampai sanggup buat semua ni? Saya cuma jawab, sebab mereka layak. Mereka layak disayangi. Layak untuk hidup bahagia. Dan layak untuk dikenang... dalam bentuk apa sekalipun. Saya pilih untuk abadikan mereka dalam haruman, ungkap anak bongsu daripada dua beradik itu.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
