DEMI: Projek amal satukan komuniti dan bawa harapan baharu untuk pesakit dialisis

No Image Caption
A
A
A

KADANG-kadang kita terlupa, di sebalik hiruk-pikuk kehidupan, ada insan yang setiap hari berjuang demi meneruskan hidup. 

Bayangkan perlu ulang-alik ke pusat dialisis beberapa kali seminggu dengan tubuh yang lemah, dalam masa sama poket pun semakin tipis kerana kos perjalanan.

Itulah realiti ramai pesakit dialisis kurang berkemampuan di Pusat Dialisis MAIS Taman Melawati. 

Ramai antara mereka datang daripada golongan asnaf, bahkan ada yang langsung tidak mempunyai kenderaan sendiri untuk ke pusat rawatan.

Di sinilah bermulanya kisah Beacon of Hope bersama rakan kolaborasi — Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), Hospital Pakar KPJ Kajang dan pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), UKM-GSB, yang melancarkan Dialysis Education & Mobility Initiative (DEMI). 

No Image Caption

Projek itu mula digerakkan sejak Jun 2025 dengan misi jelas, iaitu meringankan beban pesakit dialisis di samping meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya menjaga kesihatan buah pinggang.

Bagi menjayakan misi itu, pelbagai aktiviti komuniti dianjurkan. Antara yang paling menarik perhatian ialah DEMI Virtual Charity Run yang berlangsung sepanjang Jun hingga Ogos 2025. 

KENDERAAN KHAS PESAKIT DIALISIS

Dengan hanya RM50, setiap peserta bukan sahaja menerima baju eksklusif dan sijil digital, tetapi secara tidak langsung turut membantu mengisi tabung pembelian kenderaan khas untuk pesakit dialisis. 

Sambutan yang diterima cukup hangat, malah ia berjaya menggalakkan lebih ramai orang untuk sama-sama menyumbang.

Selain itu, projek ini turut mengadakan DEMI Health Screening di Taman Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi. Bayangkan hanya dengan RM15, orang ramai berpeluang menjalani pemeriksaan asas glukosa dan kolesterol. 

Apa yang lebih menarik, kesemua hasil kutipan disalurkan sepenuhnya ke Tabung DEMI. Cara ini bukan sahaja memberi kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan, malah membuka ruang masyarakat beramal sambil menjaga tubuh badan sendiri.

Tidak berhenti di situ, satu program DEMI Health Talks juga dianjurkan pada 9 Ogos 2025 di Kompleks Ostia, Kajang. Program ini menampilkan dua penceramah jemputan, iaitu pakar pemakanan, Puan Baidurah Bazid yang berkongsi ilmu tentang diet sihat untuk mencegah penyakit buah pinggang kronik.

Sementara pakar nefrologi, Dr. Heng Yik Shan pula  yang membincangkan pencegahan penyakit buah pinggang kronik secara lebih mendalam. 

No Image Caption

SINAR HARAPAN

Ramai peserta pulang dengan ilmu baharu, malah lebih peka terhadap tanda-tanda awal yang sering dipandang ringan sebelum ini.

Kemuncak Projek DEMI hadir pada 5 September 2025 apabila sebuah Proton Saga 1.3 Auto Standard bernilai RM38,800 diserahkan kepada YIDE dan Pusat Dialisis MAIS Taman Melawati. 

Penyerahan itu dilakukan oleh penyelia projek, Dr. Ummu Ajirah Abdul Rauf. Kenderaan ini pastinya memberi sinar baharu buat pesakit dialisis yang selama ini terpaksa bergantung pada ihsan orang sekeliling untuk ke pusat rawatan.

“Setiap inisiatif kecil mampu membawa perubahan besar kepada komuniti. Projek DEMI bukan sekadar menyebarkan kesedaran tentang penyakit buah pinggang kronik, malah ia memberi manfaat nyata kepada pesakit dialisis yang memerlukan,” kata Dr. Ummu Ajirah Abdul Rauf.

Lebih bermakna, Projek DEMI turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dengan memberi fokus kepada Kesihatan dan Kesejahteraan (SDG 3), Pendidikan Berkualiti (SDG 4), Tenaga Berpatutan dan Bersih (SDG 7), Mengurangkan Ketidaksamaan (SDG 10), Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab (SDG 12), serta Kerjasama Demi Matlamat (SDG 17).

No Image Caption

Gabungan usaha tersebut jelas membuktikan, projek kebajikan bukan sekadar menghulurkan bantuan, tetapi juga membawa mesej bahawa kesihatan, pendidikan dan kebajikan masyarakat harus diraikan bersama.

Nyata sekali, bagi pesakit dialisis yang saban hari berdepan cabaran hidup, Projek DEMI benar-benar menjadi sinar harapan yang tidak ternilai.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang