Dibaling botol & motosikal disorok, Dr Asyraf Wajdi tak bagi muka kes buli OKU di Giat Mara

No Image Caption
A
A
A

DIBALING botol dan motosikal miliknya disorok.

Demikian antara perbuatan buli yang didakwa didedahkan berlaku GiatMARA Alor Gajah melibatkan seorang pelatih yang merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU).

Menerusi sebuah video tular yang dikongsikan penyanyi Caprice, individu mendedahkan seorang pelatih OKU GiatMARA Alor Gajah dipercayai kurang upaya pembelajaran menjadi mangsa buli di GiatMARA Alor Gajah.

Pemuda yang merupakan pengguna TikTok @masdo21 mendakwa terkejut apabila pelajar OKU terbabit, yang baru dikenalinya di gelanggang badminton, menceritakan kejadian itu kepadanya.

Menerusi video berkenaan, mangsa yang sedang baring di atas lantai kelihatan terkejut apabila satu objek berwarna putih dipercayai botol plastik dilempar ke arahnya.

Tidak hanya itu, ketika sedang belajar, motosikal didakwa milik pemuda berkenaan diangkat dan dibawa dalam sebuah bilik dan dikunci pintu.

"Saya mahu video ini viral dan pihak GiatMARA mengambil tindakan. Sementelah dia tidak sihat, ada kad OKU.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

"Dia pun tidak mencari fasal dan banyak cakap. Kepada orang yang membuli, kalian semua pengecut kerana membuli apatah lagi dia OKU.

"Jika tiada tindakan, saya sendiri akan turun untuk menyelesaikan kes ini. Hentikan buli," kata individu yang melaporkan kes berkenaan menerusi video.

Warganet mahu keadilan buat pemuda berkenaan dan rata-rata mengecam perbuatan tidak berperikemanusian itu.

Caprice yang turut menyebut Instagram Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki terus mendapat perhatian tokoh itu.

No Image Caption

Berikut adalah penerangan dikongsikan Asyraf Wajdi menerusi laman sosial Instagram:

1-Siasatan awal mendapati kejadian tersebut merupakan gurauan kasar sesama pelatih sewaktu latihan di GiatMara Alor Gajah dahulu dan kini kesemuanya sedang menjalani Latihan Industri (LI) dalam bidang Teknologi Kimpalan dan Fabrikasi Logam.

2-Menurut Asyraf Wajdi, pihaknya telah menghubungi dan meminta ketua pegawai eksekutif GiatMara untuk mengambil tindakan segera berhubung kejadian tidak berperikemanusiaan itu.

3-Pengurusan GiatMara Melaka akan panggil dan berjumpa dengan kesemua individu dalam video pada Isnin termasuk pelatih yang menjadi mangsa untuk siasatan terperinci mengikut prosedur pengurusan pelatih sedia ada.

4-Asyraf Wajdi menjelaskan tiada maaf bagi pembuli apatah lagi buli OKU. Apa jua alasan termasuk gurauan tidak boleh diterima dan tindakan tegas pasti diambil.

5-Konsisten menegaskan, tiada kompromi terhadap individu yang melakukan perbuatan membuli dalam apa jua bentuk sama ada fizikal mahupun mental di mana-mana institusi di bawah seliaan Mara.

6-Beliau menjelaskan pihak pengurusan Mara di semua peringkat dan Institusi Pendidikan Mara (IPMA) amat memahami prinsipnya dan tindakan paling tegas pasti akan diambil oleh pihak pengurusan jika didapati wujud salah laku dan jenayah buli tersebut.

6 JENIS BULI, ADAKAH ANDA MANGSA?

Buli adalah perbuatan tingkah laku agresif yang berulang bertujuan untuk menyakiti individu lain, dari segi fizikal, mental atau emosi.

Sebenarnya, setiap pembuli mempunyai gaya dan taktik yang berbeza untuk menakutkan ‘mangsa’ mereka. Apabila berbicara mengenai buli, ramai yang beranggapan aksi seperti menumbuk, menendang, membelasah dan sebagainya. Sesungguhnya, buli tidak hanya terbatas dengan pergerakan yang melibatkan fizikal sahaja malah para penyelidik mengenal pasti terdapat enam jenis buli.

1-Buli secara fizikal

Buli secara fizikal ini lebih mudah dikenal pasti dan secara semula jadi mendapat perhatian umum kerana melibatkan aksi agresif di mana yang kuat atau lebih besar cenderung menjadikan individu yang lemah dan bersaiz kecil sebagai mangsa. Ia melibatkan serangan fizikal seperti menendang, menampar dan menampar.

2-Buli lisan (percakapan)

Buli lisan adalah sebarang bentuk tindakan seperti mengusik atau menghina, menyebarkan khabar angin atau fitnah, mengancam, dan mengejek orang lain. Ini adalah jenis buli yang paling biasa berlaku dan tidak kira tempat seperti di sekolah, kawasan awam, di rumah, di tempat kerja dan lain-lain lagi.

3-Pencerobohan relasi

Pencerobohan relasi adalah istilah yang digunakan untuk menggambarkan tingkah laku seseorang yang mencipta gosip, menimbulkan atau menceritakan khabar angin tentang orang lain. Pencerobohan hubungan biasanya mengenai cemburu sederhana. Membangunkan strategi untuk menangani komen-komen tersebut adalah langkah pertama untuk mengabaikan mereka. Ia juga dikaitkan dengan satu bentuk penghinaan untuk menjatuhkan harga diri seseorang.

4-Buli siber

Perbuatan buli siber ini merupakan perbuatan berulang dengan tujuan untuk menakutkan, mendatangkan kemarahan dan memalukan seseorang menggunakan kemudahan komunikasi teknologi seperti teks, ‘ ‘chatting’, emel, laman web sosial, telefon bimbit dan permainan internet.

Gejala buli siber ini mempunyai kesan segera dan meluas memandangkan serangan pembuli boleh berlaku selama 24 jam sehari dengan kapasiti yang luas. Hal ini berbeza dengan buli secara tradisional yang dilakukan secara bersemuka. Buli siber juga menyebabkan kebimbangan yang unik kerana ia berterusan, kekal dan sukar untuk dikenal pasti. Antara kesannya termasuklah depresi, kemurungan, perbuatan melukakan dan mencederakan diri sendiri sehingga akhirnya jika tidak dibendung akan mengakibatkan bunuh diri.

5-Gangguan seksual

Buli seksual terdiri daripada tindakan berulang, berbahaya serta memalukan yang mensasarkan seseorang secara seksual. Misalnya menggunakan nama panggilan yang berbentuk seksual, komen kasar, gerak isyarat kasar, sentuhan tidak diingini, bahan rujukan seksual, dan bahan lucah. Sebagai contoh, seorang pembuli boleh membuat komen kasar tentang penampilan, daya tarikan, perkembangan seksual atau aktiviti seksual seorang gadis. Dalam kes-kes yang teruk, buli seksual membuka pintu kepada serangan seksual.Gadis seringkali menjadi sasaran pembulian seksual oleh lelaki dan perempuan lain.

6-Buli prasangka

Kebanyakan apabila orang dibuli kerana kepercayaan, pendapat, pemikiran atau nilai mereka, ini jatuh ke dalam buli berasaskan prasangka. Selain daripada sikap tidak percaya terhadap pendapat dan kepercayaan orang lain, pembuli ini juga mungkin menyerang seseorang untuk kepercayaan agama dan pendapat politiknya.

Biasanya, pembuli berasaskan prasangka didorong oleh ketakutan dan kekurangan pemahaman. Akibatnya, jika anda ingin melawan buli ini, anda perlu meringankan ketakutan dan membantu memupuk pemahaman. Pada kebanyakan masa, ini bermula dengan pendidikan. Apabila orang memahami mengapa perbezaan wujud, mereka lebih cenderung untuk menjadi hormat dan toleran sebagai tindak balas. Selalunya buli prasangka ini wujud atas sifat prejudis ke atas kaum dan agama yang berlainan.

Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam mengatasi permasalah ini. Masalah ini perlu dibasmi kerana buli memberi kesan kesan jangka Panjang yang buruk terhadap individu yang terlibat.

Buli boleh menyebabkan kesan yang serius dan menyebabkan kematian. Lebih kurang 85 peratus daripada mangsa buli menderitai kesan psikologi jangka panjang dan mengalami penyakit berkaitan dengan tekanan dalam kehidupan di masa akan datang.

Sekiranya perkara ini dititikberatkan nescaya perbuatan buli dapat diatasi dan negara dapat membentuk satu masyarakat yang berkarisma serta berdisiplin.

Sumber: Instagram, MKN

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang