Diejek gila, bekas pesakit skizofrenia raih anugerah Kasih Wanita Cekal! 'Buktikan pesakit mental pun boleh berubah'

No Image Caption
A
A
A

PERNAH digelar orang gila, siapa sangka bekas pesakit skizofrenia ini telah menerima Anugerah Kasih Wanita Cekal yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 di Pusat Dagangan Kuala Lumpur pada 8 Mac lalu.

‘Dak Nor’ atau nama sebenarnya Nor Kamariah Mohd Khalid Lourdes Lio juga beberapa kali 'ditangkap' polis selepas ada yang kurang senang dengan kehadirannya yang dianggap kurang siuman.

Namun, segala keperitan itu akhirnya terubat apabila beliau menerima anugerah tersebut. Malah, dirinya kini jauh berubah berbanding dahulu, hasil sokongan dan dorongan masyarakat khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Nor Kamariah yang menerima anugerah tersebut meluahkan tekadnya untuk tidak mensia-siakan kepercayaan serta harapan keluarga, rakan-rakan dan penduduk Duyong yang ingin melihat dia sihat dan berdikari seperti manusia normal.

"Dengan menerima anugerah ini, semua orang dah pandang Nor sebagai wanita cekal. Jadi, Nor kena buktikan bahawa pesakit mental pun boleh berubah, boleh jadi baik kalau ada sokongan serta dukungan daripada orang sekitar.

"Dalam proses nak sihat semula, ramai orang sekeliling bantu Nor terutama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem kerana beliau antara orang yang banyak beri semangat dan bantuan untuk bangkit ketika hidup Nor dalam kegelapan dan tanpa arah tujuan,” katanya.

No Image Caption

Menerusi perkongsian ADUN Duyong, Mohd Noor Helmy di TikTok, Nor Kamariah asalnya merupakan seorang individu yang datang dari latar belakang susah, namun berusaha dan bekerja sehingga dia memiliki pendapatan yang tinggi.

Namun semuanya berubah selepas dia bercinta dan mula membuat pelbagai pinjaman demi memenuhi ‘keperluan cintanya’ hingga menyebabkan dia berhutang keliling pinggang.

Dak Nor yang masih mendapatkan rawatan berkala di Hospital Melaka berkata, anugerah yang diterimanya itu bukanlah sesuatu untuk dimegahkan, tetapi membuktikan bahawa sokongan masyarakat amat penting dalam membantu pesakit mental menjadi lebih positif.

No Image Caption

“Tidak kira apa pun penyakit yang dihidapi, apabila mendapat sokongan, kita boleh berubah sedikit demi sedikit dan belajar reda menerima ujian ALLAH SWT.

“Saya berharap pesakit mental yang lain terus diberikan semangat. Jangan lemparkan kata-kata negatif kepada mereka, sebaliknya doakan yang baik-baik,” katanya lagi.

Tambah bekas asnaf itu, beliau juga ingin membantu golongan yang memerlukan, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ini.

Menurutnya, beliau kini menjalankan perniagaan dengan menjual pelbagai jenis makanan termasuk biskut raya di Bazar Aidilfitri dan turut menggunakan platform TikTok untuk melariskan jualan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang