Dikecam mulut senget, Ina Naim tak simpan dendam, balas kecaman netizen. 'Biarlah asalkan sentiasa berzikir, ingat Tuhan'
MULUT tempayan boleh ditutup, tapi mulut manusia? Sukar dikawal, apatah lagi jika hatinya tidak dijaga. Ada sahaja yang mahu dititirkan dari bibirnya memperkatakan tentang orang lain.
Kini, tidak perlu berjumpa secara berdepan untuk mengata buruk tentang orang lain. Cukup sekadar menaip di media sosial pada individu yang mereka hendak hakimi, sudah mampu memuaskan hati mereka meluahkan rasa.
Itulah yang dihadapi oleh penyanyi, Ina Naim baru-baru ini apabila menjadi sasaran kecaman seorang warganet yang menyentuh soal fizikalnya.
Tidak berdiam diri, pemilik nama Nordiana Mohd Naim, menerusi sesi siaran langsung di media sosial, tampil mempertahankan dirinya dengan penuh tenang dan memberikan jawapan yang sarat makna.
Menurut Ina, beliau bersyukur dengan setiap pemberian Illahi walaupun mungkin tidak kelihatan sempurna di mata sesetengah orang.
“Memang mulut saya senget, kenapa, ada masalah? Biarlah mulut senget tak mengapa asalkan sentiasa berzikir ingat Tuhan.
“Mulut saya senget bukan sebab saya pergi cucuk, ini ALLAH yang bagi.
“Yang penting mulut senget inilah saya harapkan ALLAH terima segala amalan-amalan yang baik.
“Kalaulah saya sempurna, kemungkinan saya akan menjadi sombong. Sebab itu ALLAH jadikan kita ada kelemahan," kata beliau.

Balu kepada penyanyi nasyid terkenal, Allahyarham Suhaimi Saad itu juga tidak menyimpan dendam, sebaliknya memilih untuk memaafkan individu terbabit. Beliau turut menitipkan pesan agar tidak mempersendakan ciptaan Tuhan.
“Saya maafkan dia, tapi nak bagi sedikit nasihat kepadanya.
“Terimalah apa yang ALLAH bagi. Nanti di sana (syurga) mintalah segala kecantikan.
“Dekat dunia jangan hina orang, bersyukur dengan apa yang ALLAH bagi. Lainlah kalau dia mengubah kejadian Tuhan," tambahnya.
Rata-rata warganet memuji reaksi Ina yang disifatkan cukup matang dan berhemah. Malah, ramai yang turut terkenang kepada arwah suaminya yang juga sering menerima kecaman suatu ketika dahulu.
"Cara Ina menangkis bidasan orang sama dengan arwah SS dulu. Puas hati akak mendengarnya. Alhamdulillah… arwah meninggalkan amalan berterusan..."
"Setuju sangat Kak Ina... Mulut kurniaan ALLAH sebaiknya digunakan untuk berzikir, banyak pahala daripada mulut yang cantik digunakan untuk menghina ciptaan ALLAH."
"Setuju. Kadang saya pun terfikir, ALLAH bagi saya tak cantik sebab kalau saya cantik agaknya saya tayang semuanya di khalayak. Nauzubillah. Syukurlah saya tak cantik."
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
