Dua darjat dan kuasa media sosial: Mengapa kes orang biasa hanya serius bila viral?
ISU dua darjat bukan perkara baharu dalam masyarakat kita. Sejak dulu lagi, ramai yang membincangkan perbezaan layanan orang biasa dan individu berprofil tinggi.
Baru-baru ini, isu tersebut kembali panas apabila kes melibatkan Allahyarham Zara Qairina mendapat perhatian seluruh negara.
Kes berkenaan dilihat mula menuai perhatian selepas wujudnya gerakan #JusticeForZara yang membanjiri ruang media sosial sehingga tular ke luar negara.

Dalam beberapa hari sahaja, tanda pagar tersebut mula sohor di Malaysia dan menarik perhatian pengguna di beberapa negara jiran, termasuk Indonesia dan Singapura.
Jangan main-main dengan suara rakyat, bila bergabung tanpa mengira bangsa dan agama, bersatu demi keadilan, menyebabkan kes tersebut mula berubah corak.
Namun apa yang menyedihkan, sebelum gerakan itu meledak, kes berkenaan seolah-olah dipandang sepi tanpa tindakan sewajarnya. Situasi tersebut menimbulkan tanda tanya besar: adakah sesuatu isu hanya akan dipandang serius bila sudah menjadi bualan ramai?
Adil itu pangkal kepercayaan, oleh yang demikian, apabila keadilan berat sebelah, keyakinan rakyat terhadap sesebuah institusi pun tergugat.
Fenomena tersebut bukan sekadar andaian kosong. Kajian Merdeka Center pada 2021 mendapati, majoriti rakyat Malaysia percaya penguatkuasaan undang-undang tidak sama rata antara rakyat biasa dan individu berprofil tinggi. Contohnya, rakyat biasa yang melanggar SOP Covid-19 dikompaun sehingga RM10,000, sementara ada kenamaan atau selebriti hanya diberi amaran. Situasi ini jelas menunjukkan wujudnya layanan 'pilih kasih'.
Ledakan suara rakyat biasa itu bukti dalam era digital kini, perhatian institusi boleh berubah dengan cepat. Cuma persoalan timbul, kenapa kalian perlu menunggu isu jadi tular baru tindakan nak diambil?
Usah cakap tentang isu buli atau kes bunuh semata. Banyak kes lain yang membabitkan rakyat biasa, seperti keganasan rumah tangga, penderaan, kemalangan jalan raya atau saman mahkamah, mengambil masa lama untuk disiasat atau diselesaikan.
Lantaran itu, ada yang sudah berputus asa dan tidak sanggup turun naik mahkamah atau meneruskan kes. Mereka yang terbabit bukanlah datang daripada keluarga senang, ada yang terpaksa bergolok gadai, namun hasilnya cukup mengecewakan. Berbeza pula apabila kes membabitkan individu berprofil tinggi. Segera ada tindakan diambil, bahkan liputan media meluas hampir sekelip mata.

Rakyat jadi tertanya-tanya, kenapa layanan perlu berbeza bila pangkat atau siapa keluarga seseorang menjadi faktor? Sepatutnya tindakan perlu diambil tanpa mengira darjat, bukan menunggu tekanan awam.
Jika diteliti dari sudut sosial, fenomena berkenaan boleh dijelaskan melalui teori stratifikasi sosial. Artikel akademik Universiti Malaya menjelaskan bahawa kuasa, kedudukan dan status mempengaruhi bagaimana seseorang diperlakukan oleh institusi dan media.
SUARA RAKYAT
Media pula berperanan sebagai ‘pengimbang’, apabila isu menjadi tular, perhatian awam memaksa pihak berkuasa bertindak.
Kes Zara membuka mata masyarakat bahawa suara rakyat mampu mengubah keadaan. Ia juga menjadi cerminan kepada pihak berkuasa, institusi dan media untuk menilai semula keutamaan mereka.
Jangan tunggu sehingga sohor tanda pagar baru nak bertindak. Keadilan perlu berlaku secara konsisten, bukan bergantung pada populariti isu.
Justeru, pihak berwajib perlu bersikap adil dan saksama, jangan biarkan stigma dua darjat membentuk jurang yang memisahkan pihak atasan dengan rakyat.

Undang-undang yang dilaksanakan secara adil kepada semua lapisan masyarakat akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.
Jika orang biasa diberi layanan setara dengan orang kenamaan, barulah sistem undang-undang Malaysia benar-benar dihormati dan dipercayai.
Namun sejauh mana ia benar-benar dilaksanakan, tepuk dada tanya iman masing-masing!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
