Dua rakan maut pulang beraya lewat pagi, ibu rebah menanti jenazah. 'Arwah satu-satunya anak lelaki...'

HANCUR luluh hati seorang ibu apabila anak bongsu daripada empat beradik yang menjadi penyejuk mata dan penghibur hati pergi menghadap Ilahi selepas terlibat dalam kemalangan tragis di Jalan Salleh-Bukit Pasir, Muar pada Khamis.
Lebih memilukan, Jamilah Diran, 56, berkongsi bahawa arwah, Amar Jazli Yusof merupakan satu-satunya anak lelaki yang masih ada selepas pemergian anak sulungnya empat tahun lalu akibat jangkitan Covid-19.
Menurut Jamilah, kesedihan akibat kehilangan Mohd Khairudddin pada 2021 lalu itu masih belum sembuh namun telah diuji lagi dengan ketiadaan penguat hati keluarga.
"Empat tahun lalu, saya kehilangan Mohd Khairuddin, kali ini Amar Jazli pula. Arwah adalah satu-satunya anak lelaki yang saya ada ketika ini namun dia pun 'ikut' abangnya.
"Itulah yang membuatkan saya sedih, cuba menyejukkan hati berdepan kesedihan empat tahun lalu, kali ini kesedihan itu kembali menjelma,"katanya.
Lebih terasa peritnya kehilangan apabila arwah merupakan satu-satunya anak yang masih tinggal bersama kerana belum mendirikan rumah tangga, manakala dua kakaknya sudah berkeluarga.
"Amar pergi dalam keadaan tragis (kemalangan), sekarang tinggallah saya dan suami, Yusof Abu Bakar, 59, di rumah. Kami tiada lagi peneman di rumah, dua anak perempuan, Noraziemah, 32, dan Noratierah, 30, sudah mendirikan rumah tangga," luahnya.
Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, berita pemergian Amar disampaikan kepadanya selepas menerima panggilan daripada rakan sekerja anak lelakinya sekitar jam 9 pagi.
"Pada jam 12.50 tengah malam tadi, saya mesej dan hubungi arwah untuk bertanya di mana dia sekarang. Arwah beritahu dia bersama Nur Aiman dalam perjalanan pulang.
"Pada jam 7 hingga 8 pagi tadi, dia tidak muncul-muncul di rumah, ketika itu saya tidak syak apa-apa berlaku terhadapnya sehingga dimaklumkan berita menyedihkan," kongsinya.
Insiden tragis itu berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang beraya dari Melaka, kira-kira jam 6 pagi.
Allahyarham, yang sepatutnya memulakan kerja pada pagi hari kejadian, menemui ajal bersama rakan karibnya, Nur Aiman Azharry, setelah kenderaan yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas kilang.
Mangsa yang masing-masing berusia 21 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah sebelum dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HSPF) untuk dibedah siasat.
Sumber: Harian Metro
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang