Elfira Loy kongsi persediaan tunai haji, rindu momen di Tanah Suci. 'Bersihkan hati & diri, menangislah. Minta ampun kepada ALLAH'
KESEMPATAN menunaikan haji pada usia yang masih muda impian ramai. Menerima jemputan haji dari Kementerian Media Arab Saudi bagi musim haji 1445H, pemilik nama Nurul Elfira Loy binti Ahmad Sabri bergelar hajah pada usia 30 tahun.
Elfira menerusi Instagram menyifatkan pengalaman 11 hari itu sebagai momen sangat bermakna.
Ibu kepada dua cahaya mata itu sempat berkongsi tip dan panduan setelah menerima mesej daripada warga maya berkenaan pengalamannya bergelar Duyufurrahman.

"Selepas setahun, saya share sedikit pengalaman dan penempatan saya di haji last year.
"Maaf jika mesej anda belum saya balas.
"Apa yang saya perlukan sebenarnya sedikit sahaja. Bawa pun apa yang ada dan betul-betul perlu, sebab itu saya tidak kongsi sangat.
"Apa yang awak perlu mungkin benda yang tidak perlu, jadi ikut diri je.

"Contohnya, saya sejak di Kuala Lumpur memang tidak menggunakan kipas mudah alih (hand fan), jadi di sana pun Alhamdulillah saya tidak perlukannya. Saya cuma memerlukan bekas air tahan sejuk 24 jam untuk mengisi air kopi.
"Saya di sana selama 11 hari. Empat hari di Jeddah dan enam hari di Makkah for untuk haji manakala sehari di Madinah (atas jemputan kerajaan Arab Saudi). Tiada bayaran yang dikenakan," kongsi Elfira.
Isteri kepada Farish Khairol Anuar itu turut mengimbas kembali keperluan yang dibawanya ke Tanah Suci sebagai panduan buat jemaah lain.
Antaranya termasuk vitamin, makanan tambahan, alat pengecas, beg untuk mengisi keperluan diri sekurang-kurangnya untuk satu malam, seterika kembara, alat sugi dan bantal leher.
Tidak ketinggalan makanan sedia dimakan seperti sambal dan lauk-pauk yang siap dipek.

Kata Elfira lagi, sangat mustahak untuk memastikan segala barangan penting dalam jangkauan terutama ketika menempuh perjalanan jauh.
Persediaan hari Arafah
Sementara itu, untuk menempuh hari Arafah, Elfira sempat menitipkan pesanan penting termasuk pengurusan diri dan masa.
"Rehat dan tidur sebelum Zuhur dan cari masa untuk mandi dan menggunakan tandas sepuasnya jika ada hajat kerana secara tidak sedar selepas Zuhur matahari sangat terik.
"Kepala akan menjadi berat dan mengantuk. Jangan terkejut jika ada yang ramai tertidur sedangkan ia waktu penting," titipnya.

Dalam pada itu, beliau juga sempat berkongsi tentang perkara yang disusun untuk hari tersebut.
"Selepas membacakan doa untuk keluarga dan rakan-rakan yang telah saya tulis, saya akan ulang. Saya juga baca doa-doa dikirim menerusi DM.
"Jangan risau kerana hari Arafah sangat panjang, ambil masa untuk berinteraksi dengan ALLAH.

"Lakukan refleksi diri, bersihkan hati dan diri. Jika tidak pernah atau menangis, menangislah meminta ampun kepada ALLAH. Kemudian mulakan berdoa," coretnya.
Muzdalifah dan Makkah
Usai urusan Arafah, beliau berkongsi pula perjalanannya ke Muzdalifah.
"Selepas Maghrib kami ke Muzdalifah dan perjalanan mengambil masa selama dua jam.
"Di sana kita hanya perlu mabit sehingga tengah malam dan selepas itu ada yang bergerak ke Makkah semula untuk tawaf dan saie haji atau ke khemah Mina dahulu kemudian berjalan kaki semula ke Makkah.

"Atau ada yang tidur sahaja di situ kerana penat tetapi tidak disediakan tempat tidur. Kena tidur atas jalan," kongsinya.
Dalam pada itu, Elfira juga tidak lupa menitipkan kenangan bertawaf dan bersaie kemudian bertahalul yang dilakukan pada tahun lalu.
"Selepas pukul 12 tengah malam kami ke Masjidil Haram untuk tawaf, saie dan tahalul.
"Semua kena siap dalam masa dua jam setengah.
"Sangat ramai orang. Kalau lambat, jalan akan ditutup dan kita perlu berjalan ke Mina," titipnya.

Mengakui teringatkan perjalanan hajinya, pelakon Damping Malam dan Tentang Bulan The Series itu juga menasihatkan jemaah untuk tidak melepaskan peluang untuk merakam memori indah dalam bentuk foto sebagai kenangan.
"Sangat rindukan momen haji ni. Nanti ambil sahaja okay momen (gambar) haji sebab kita tidak tahu sampai bila perlu boleh ulang.
"Selamat menunaikan ibadah haji, wahai para Duyufurrahman. Semoga setiap langkah di tanah suci dipenuhi sabar dan syukur, diiringi rahmat dan perlindungan ALLAH.

"Apapun yang terjadi di sana, yakinlah itulah takdir terbaik daripada-NYA, penuh hikmah dan ganjaran yang menanti, insya-ALLAH.
"Masya-ALLAH tabarakallah. Terpilih menjadi tetamu ALLAH adalah anugerah terindah, panggilan yang hanya diberikan kepada hati-hati terpilih.
"Nikmatilah setiap detik perjalanan suci ini, kerana panggilan-NYA adalah kurnia yang tiada tandingan," kongsi Elfira.
Sekadar info, Elfira sangat bertuah kerana ibunya, Filzah Yusoff juga sama-sama menunaikan haji di Makkah pada musm yang lalu. Mereka malah sempat bertemu di sana biarpun kedua duanya berangkat secara berasingan,
Elfira menunaikan haji selepas menerima jemputan daripada Kementerian Media Arab Saudi manakala ibunya pula sebagai jemaah di bawah Tabung Haji.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
