Enggan pindah ke PPS makan diri, ibu tersedar dari tidur temui anak kecil terapung dalam air banjir
AJAL dan maut di tangan ALLAH, namun kengganan keluarga berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sebaliknya hanya berlindung di tingkat atas kediaman menjadi asbab bayi berusia setahun kehilangan nyawa.
Banjir di Kelantan menerima khabar duka lagi di Kampung Cherang Melintang, Chabang Empat, Tumpat pada Khamis.
Difahamkan, ibu mangsa yang berusia 41 tahun mendapati anaknya tiada ada di sisi selepas tersedar daripada tidur sekitar jam 10.30 malam.
Ibu bayi berkenaan telah mencari anaknya di bilik namun tiada sebelum melihat anaknya dalam keadaan terapung dalam air banjir di tingkat bawah rumah mereka.
Cemas melihat keadaan itu, si ibu meminta jiran membawa anaknya menggunakan perahu ke hospital berhampiran sebelum disahkan telah meninggal dunia.
“Rumah mangsa adalah dua tingkat dan sebaik air sudah memasuki kawasan dalam rumah, keluarga berkenaan tidak berpindah sebaliknya hanya berlindung di tingkat atas.
“Ini yang saya tekankan supaya terus berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mengelak kejadian buruk berlaku.
“Disebabkan kedegilan ibu bapa, bayi berusia setahun jadi mangsa. Kematian bayi ini adalah mangsa banjir ketiga di Kelantan selepas di Pasir Puteh dan Machang,” kata Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Dalam pada itu, Mohd Yusoff menasihatkan orang ramai agar terus berpindah sekiranya air mula naik di halaman rumah dan jangan menunggu ketika air sudah di tahap bahaya.
Takziah buat keluarga, al-Fatihah.
Ketika artikel ini ditulis, jalan negeri dekat Taman Sri Bayu di Tumpat yang menghubungkan Bandar Tumpat ke Pengkalan Kubor terputus manakala bandar Kota Bharu sudah dinaiki air sedalam kira-kira dua meter berikutan air Sungai Kelantan di Tambatan D'Raja yang melimpah sejak 12 tengah malam tadi dan menunjukkan trend menaik.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan melaporkan jumlah mangsa banjir menunjukkan peningkatan. Difahamkan 91,784 mangsa dipindahkan sehingga jam 4 petang tadi.
Sumber: Harian Metro
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang