Gara-gara aduan wanita asnaf dapat salah lampin pakai buang & bantuan lambat, MAIWP tampil beri penjelasan

No Image Caption
A
A
A

BARU-baru ini tular sepotong video yang memaparkan seorang wanita yang merupakan waris kepada penerima bantuan mengkritik sistem agihan bantuan pihak zakat.

Dalam video yang dimuat naik di laman sosial itu, dia meluahkan tentang kelewatan menerima bantuan susu buat anak-anaknya serta kesilapan pihak MAIWP (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan) membekalkan lampin jenis yang salah.

Ibu kepada enam anak itu dikatakan memohon pampers jenis seluar, namun yang diterima adalah jenis pelekat.

“Dah bertahun-tahun jadi isu ini. Sistem masih manual, lambat, dan tak telus,” katanya pada AATV Media.

Bagaimanapun, menerusi video yang dikongsikan AATV Media, rata-rata netizen menyifatkan sikap wanita itu sebagai tidak bersyukur serta meminta perkara yang tidak diperlukan.

Sementara itu, MAIWP tampil memberi penjelasan dalam satu kenyataan di Facebook berhubung dakwaan yang tersebar di media sosial kononnya wujud kartel dalam pengurusan bantuan kepada golongan asnaf.

No Image Caption



Mereka menegaskan bahawa, segala pembekalan barangan dan peralatan bantuan dilakukan secara telus menerusi proses perolehan tender terbuka yang sah.

“Pembekal dilantik mengikut zon yang ditetapkan bagi memastikan ketelusan dalam pembekalan yang dilaksanakan,” kata MAIWP dalam kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, MAIWP memaklumkan pihaknya bersedia membuat semakan semula sekiranya terdapat keperluan khas yang memerlukan perubahan terhadap spesifikasi pembekalan yang telah diluluskan.

“Untuk rekod, atas keprihatinan MAIWP, pelbagai jenis bantuan telah disalurkan sejak tahun 2018 kepada keluarga ini.

“Antaranya bantuan kewangan bulanan, bantuan menyelesaikan hutang, bantuan khas kanak-kanak orang kurang upaya, bantuan perubatan am, bantuan sewa rumah bulanan, bantuan perniagaan dan bimbingan keusahawanan serta lain-lain bantuan yang disediakan oleh MAIWP,” tambah kenyataan itu.

Sepanjang tahun 2024, MAIWP telah mengagihkan bantuan berjumlah RM47.69 juta kepada 6,398 asnaf menerusi Skim Bantuan Perubatan MAIWP di kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Untuk tahun 2025 pula, peruntukan sebanyak RM60.1 juta disediakan bagi skim yang sama. Bantuan ini merangkumi pemberian secara bulanan dan sekali beri (one-off), tertakluk kepada keperluan serta dokumen sokongan daripada pakar perubatan bertauliah.



Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang