'Gatal' tangan patahkan sayur, petani tanggung rugi. Pilih yang segar dengan perkongsian Dr ini!

No Image Caption
A
A
A

SETIAP kali beli ke pasar, pasti anda akan jumpa dengan orang yang jenis 'gatal' tangan, suka hati nak patah-patahkan hujung sayur,kan!

Kononnya itulah cara mereka nak pastikan sayur yang dibeli segar atau tidak. Itu belum masuk lagi jenis yang picit-picit, tekan-tekan tetapi penghujungnya tak beli pun.

Dalam hal ini, paling rugi siapa? Semestinya petani! Menurut Dr Kamarul Ariffin, apabila pekebun menghantar sayur ke pasar, kebiasaannya mereka tidak dibayar serta-merta. Bila sampai hujung hari, barulah penjual akan bayar mana yang terjual sahaja.

"Apabila kalian dah picit-picit, sayur, ia akan mula jadi lebam. Jika seorang yang picit, tak apa lagi. Jika semua pelanggan nak picit? Tentulah sayuran akan rosak teruk. Itu belum yang suka patahkan.

"Ada petani mengadu, hantar sayur yang elok, tapi bila habis hari, peniaga ambil gambar, sayur dah lebam dan patah-patah. Dikatanya petani tu hantar yang rosak, maka tak mahu bayar penuh.

"Kasihan para petani. Sayuran tu hasil penat-lelah petani, sumber rezeki mereka, jadi kita cubalah sedaya upaya untuk elakkan menjadi punca perkara-perkara seperti ini berlaku.

"Kalau inginkan sayur yang segar, datanglah ke pasaraya atau pasar basah di awal pagi. Tak usahlah dah jam 11.00 pagi baru nak bangkit. Sudah pasti, dapat sayur layu," tulisnya.

No Image Caption



Oleh itu, cara mudah untuk memilih sayur yang segar mengikut jenisnya seperti :-

1. Tomato

Pilih buah yang mempunyai warna paling terang.

Permukaannya pula haruslah licin dan berkilat.

Pilih tomato dengan daun yang masih lagi berwarna hijau dan belum layu. Ini menandakan tomato tersebut sudah masak.

Anda juga boleh menekan permukaan buah tomato tersebut. Kalau lembut sangat, itu tandanya ia sudah terlalu masak. Tapi, jangan picit secara keterlaluan pula, orang lain pun nak makan juga!

2. Sayur-sayuran hijau

Pilih sayur yang nampak segar, belum layu dan tidak mempunyai daun yang kekuning-kuningan.

3. Sayur bendi

Antara tip yang paling popular untuk pilih bendi yang segar adalah dengan mematahkan hujung bendi.

Kalau senang patah, maksudnya bendi tersebut masih muda dan segar. Tapi, tak eloklah la kalau semua bendi kita nak patah-patahkan.

Ada satu lagi tip yang mungkin orang tak tahu. Caranya adalah dengan melihat lubang pada tangkai bendi. Kalau tangkai tidak berlubang, itu tandanya bendi muda.

No Image Caption



4. Timun

Timun yang bersaiz kecil selalunya lebih manis. Pilih yang berwarna hijau gelap dan lurus. Jika hujungnya dah berwarna kuning atau putih, itu bermaksud timun itu sudah tua.

5. Lobak merah

Pilih lobak merah yang bersaiz sederhana, lurus dan berwarna oren terang. Jangan beli lobak yang ada kesan-kesan torehan. Selalunya, ia tidak tahan lama.

6. Bawang merah dan putih

Pilih bawang yang mempunyai kulit yang belum longgar. Jangan beli bayang yang dah kecut, bertompok-tompok atau dah bercambah.

Bawang boleh disimpan di luar, asalkan ia ditempatkan di kawasan yang kering.

Bawang putih pula lebih baik diasingkan dari makanan lain dan disimpan di kawasan yang gelap dan sejuk.

7. Kentang

Beli kentang yang masih lagi keras, tidak lebam dan tidak berlubang.

Kalau boleh, elakkan membeli kentang yang sudah tumbuh ‘mata’ atau dah berwarna hijau. Kentang hijau sudah tidak boleh dimakan!

Kentang juga boleh disimpan di luar. Jadi, ia tidak perlu disimpan di dalam peti ais. Sebelum makan, buang dulu bahagian yang hijau dan sudah bertunas.

8. Terung

Sama seperti sayuran lain, pilih terung yang berwarna sekata dan tidak bertompok. Jaga-jaga, terung yang berlubang selalunya ada ulat!

Dengan panduan di atas, kami berharap agar anda dapat membeli sayur-sayuran dengan bijak!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang