Hamil baru 2 bulan, wajah jadi tua dan berjerawat. Wanita Ini hampir tak kenal diri sendiri. 'Suami beri semangat, puji cantik...'

LUMRAH bagi wanita hamil mengalami simptom dan alahan yang sukar dijangka, sehingga adakala diri sendiri juga tidak memahami apa yang ibu mengandung perlu lalui.
Namun, tidak ramai yang tahu jika ibu hamil yang berdepan perubahan ketara pada wajah hingga kulit menjadi kusam, timbul garis halus dan raut tampak lebih berusia hingga timbul rasa malu pada diri sendiri.
Perkara sama turut dirasai wanita bernama Ayyitslala yang terbuka berkongsi pengalaman kehamilan sulungnya yang sangat-sangat menguji keyakinan diri.
Menerusi ciapan di laman X, Ayyitslala memuat naik beberapa keping foto sebelum dan semasa hamil dengan memperlihatkan perubahan ketara pada wajah yang dialaminya sepanjang kehamilan
Jika dahulu rautnya berseri dan segar, kini kulit wajah kelihatan meradang, dipenuhi jerawat, kemerahan seperti terbakar, hidung membengkak dan kedutan yang menyerupai wajah orang lebih berusia.
Menurutnya, perubahan pada wajah itu mula dirasai sejak kandungannya memasuki usia dua bulan.
Ketika itu, jerawat mula timbul namun semakin lama semakin sukar dikawal walaupun pelbagai produk telah dicuba tetapi masalah kulit yang dialami langsung tidak menunjukkan tanda-tanda untuk surut.
“Muka saya mula berubah sejak usia kandungan dua bulan. Saya perasan, walaupun pakai macam-macam produk skincare, jerawat jenis pustule naik setiap hari dan muka rasa macam terbakar. Lepas tu, hidung pula membengkak teruk.
“Kemudian, garis senyum pun semakin dalam, wajah makin nampak seperti orang tua. Saya juga perasan ada garis di atas kening yang semakin jelas dan bertambah banyak. Semakin dekat dengan tarikh due, keadaan makin teruk," luahnya di media sosial.
Ayyitslala mengakui dia tidak terlalu bersedih dengan apa yang dialami, tetapi rasa kurang yakin pada diri tetap ada, apatah lagi bila melihat rakan-rakan dan pempengaruh media sosial yang melalui kehamilan tanpa sebarang tanda alahan seperti dirinya.
Namun, rasa kurang yakin itu perlahan-lahan hilang apabila hadir suami yang sentiasa memberi semangat, meyakinkan bahawa alahan ini hanya sementara sambil memuji isterinya tetap cantik di matanya.
"Saya tak rasa sedih, tapi rasa kurang yakin diri tu memang ada. Tapi suami saya selalu cakap yang semua ini hanya sementara dengan memberi semangat.
"Dia cakap, saya masih lagi cantik dekat mata dia dan tidak patut berfikir bukan-bukan. Tanpa dia, saya mungkin jadi gila sebab menangis sepanjang mengandung," ujarnya.
Wanita ini sempat menitipkan pesanan bahawa kehamilan bukanlah sesuatu yang mudah, kerana setiap individu melalui pengalaman yang berbeza. Terutamanya buat mereka yang menganggap suntikan epidural sebagai ‘cheatcode’ kepada wanita mengandung.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang