'Hanya Axia putih dalam sungai, isteri dedah sejarah serangan jantung ketika memandu.' Influencer Ija Nizaruddin dikhuatiri lemas
KEHILANGAN pempengaruh permotoran dikenali sebagai Ija Nizaruddin masih menjadi tanda tanya.
Memiliki 53,000 pengikut di Facebook, Ija atau nama penuhnya Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin dikhuatiri lemas selepas kereta Perodua Axia yang dinaikinya ditemui terbabas ke dalam Sungai Kampung Tui, Bukit Kepong, Muar, Johor.
Berikut butiran lanjut berkaitan kehilangan pempengaruh berusia 38 tahun itu:
1-Ija dilaporkan keluar dari rumahnya di Jalan Setia Indah, Johor Bahru pada tengah hari Isnin lalu untuk ke bengkel rakannya di Parit Jawa.
2-Menurut rakannya, Muhammad Nazmi Mohd Zainal, kereta milik mangsa berwarna putih ditemui sudah terjunam di dalam sungai tersebut, namun Ija masih belum dapat dikesan.

3-Buat masa ini, pihak bomba dan penyelamat sedang melakukan pencarian ke dalam sungai dan sekitarnya bagi mengesan mangsa.
4-Rakannya memaklumkan isteri Ija memberitahu sebelum ini pempengaruh itu pernah mengalami serangan jantung ketika memandu.
5-Keluarga mangsa turut melakukan pencarian di sekitar Lenga, Bukit Kepong dan pekan Muar pada pagi Selasa namun masih belum menemukan sebarang petunjuk.

6-Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Pegawai Bomba Kanan I (PBKI) Nor Alfatah Omar berkata, setibanya di lokasi pada jam jam 3.51 petang Selasa, terdapat sebuah kereta Perodua Axia terjunam pada kedalaman dua meter di Sungai Kampung Tui.
7-Daripada maklumat awal daripada pihak polis, kemungkinan berlaku kemalangan pada Isnin dan terdapat mangsa iaitu lelaki hilang dipercayai pemandu kereta.
8-Kerja-kerja pencarian mangsa sedang giat dijalankan sehingga kini.
9-Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan sebuah kereta berwarna putih di dalam sungai berhampiran kawasan kebun kelapa sawit kira-kira jam 3 petang.
10-Siasatan awal mendapati kereta tersebut milik Ija yang kali terakhir dilihat ketika keluar rumah untuk membaiki kenderaan.
11-Selain operasi mengeluarkan kenderaan oleh Balai Bomba dan Penyelamat Pagoh serta Muar, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia turut giat menjalankan pencarian di sekitar lokasi kejadian.
12-Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Muar di talian 06-9564800 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Raiz Mukhliz turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam.
Sama-sama kita doakan agar Ija Nizaruddin ditemui segera dalam keadaan selamat.
Sumber: Sinar Harian 1, 2
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

