'Harraz Noah sudah biru...' Suami isteri reda, anak 6 bulan maut lemas dalam selimut
HANYA enam bulan sempat mencurahkan kasih sayang, Nazrul Nizam Mohd Tahar, 29, dan isteri Ainol Izzah Raslan, 25, terpaksa menerima kenyataan permata hati tunggal, Harraz Noah pergi selamanya dalam didakwa lemas dalam selimut.
“Pengasuh maklumkan dekat saya bibir Harraz Noah sudah biru... pengasuh cerita sebelum kejadian, dia beri susu dekat anak dan sendawakan anak.
"Kemudian, dia cuba tidurkan di dalam buai, tetapi anak tidak mahu ... dia (anak) nak tidur di atas tilam.
"Selepas anak tidur, pengasuh ke dapur buat kerja ... ketika hendak tengok anak, dia lihat anak dah tertutup dengan selimut.
"Pengasuh kemudian telefon isteri yang terus pergi ke rumah pengasuh,” kata Nazrul Nizam.
Berikut adalah ringkasan kronologi kejadian yang menimpa si kecil Harraz Noah:
1-Situasi cemas si kecil di rumah pengasuhnya di Merlimau hanya diketahui Nazrul Nizam setelah dihubungi isteri kira-kira 11.40 pagi.
2-Bapa, Nazrul Nizam menghubungi ibunya dan wanita itu terus bergegas ke rumah pengasuh kira-kira 20 minit kemudian mendapati bibir Harraz kebiruan.
3-Pengasuh mendakwa muka Harraz Noah telah tertutup dengan selimut ketika dia sedang sibuk melakukan tugas lain.
4-Ibunya terus membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Merlimau sebelum dirujuk ke Hospital Melaka.
5-Namun apabila tiba di hospital doktor memaklumkan Noah Harraz sudah tiada.
"Siapa yang tak sedih namun kami suami isteri reda dan tidak menyalahkan sesiapa"- Bapa
6-Nazrul memaklumkan beliau mula mengenali pengasuh yang merupakan ibu kepada dua orang anak itu menerusi media sosial, Facebook sebelum membuat keputusan untuk menghantar anaknya itu kepada wanita terbabit sejak empat bulan lalu.
7-Pemergian Noah Harraz membuatkan membuatkan Nazrul dan isteri terkilan dan sedih kerana mereka suami isteri baharu membeli pelbagai makanan termasuk buah-buahan memandangkan anaknya itu telah mula diajar makan seperti kebiasaan bayi berusia enam bulan.
8-Ainol Izzah pula berkata, hasrat untuk membawa anaknya pulang ke kampungnya di Manjung, Perak pada minggu ini tidak kesampaian.
9-Beliau dan suami berpuas hati dengan layanan pengasuh terhadap Noah Harraz dan menganggap kematian anaknya itu sebagai asbab.
"... kami tidak salahkan dia (pengasuh), sudah takdir ... ia mungkin jadi asbab, kami reda. ALLAH lebih sayangkan anak saya, biarpun sedih namun saya harap terus kuat lebih-lebih lagi ini anak sulung kami" - Ibu
10-Dakwa ibu muda itu, pengasuh berusia 27 tahun itu menyayangi Harraz seperti anaknya sendiri. Malah pengasuh berkenaan juga pernah keguguran.
11-Jelasnya, selepas diambil daripada pengasuh, tiada lebam-lebam (pada badan) anaknya.
12-Jenazah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Merlimau selepas selesai proses bedah siasat.
TIADA UNSUR DERA - POLIS
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, pemeriksaan yang dilakukan terhadap bayi terbabit tidak menemukan sebarang unsur penderaan atau kecederaan fizikal ditemui pada tubuh mangsa.
Menurutnya, bagaimanapun pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian mangsa.
"Setakat ini, pengasuh tidak direman namun bergantung kepada laporan kimia dan hasil bedah siasat yang akan diperoleh nanti,"
Sumber: Sinar Harian, 2
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang