Hilangkan dengkur tak semudah tampal pita mulut. Doktor ini pesan dapatkan rawatan elak risiko OSA
BERDENGKUR ketika tidur merupakan satu fenomena biasa berlaku pada seseorang. Malah, kadangkala ada individu tidak tahu mereka sebenarnya berdengkur.
Dengkur boleh dianggap satu perkara normal, tetapi ada masanya ia boleh menunjukkan masalah kesihatan yang serius dan boleh menjadi semakin teruk seiring dengan pertambahan usia.
Malahan, masalah itu juga boleh mengganggu pasangan anda.
Menurut Dr Kamarul Ariffin, mereka yang berdengkur dengan teruk, lebih baik berjumpa dengan doktor kerana ada risiko terkena Obstructive Sleep Apnea(OSA).
OSA adalah sejenis gangguan tidur yang mana saluran pernafasan tersumbat atau terhalang sebahagian atau sepenuhnya semasa tidur.
"Ini menyebabkan nafas terhenti seketika (apnea) berulang kali sepanjang malam, dan mengakibatkan kualiti tidur terjejas serta mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan.
"Halangan dalam salur pernafasan semasa OSA biasanya berlaku apabila otot-otot lembut di bahagian belakang tekak kendur semasa tidur.
"Kekenduran ini menyebabkan salur pernafasan sempit atau terhalang sepenuhnya, mengakibatkan gangguan aliran udara," tulisnya dalam satu perkongsian di laman Facebook miliknya.
Perkongsian yang dibuat ini berikutan pita mulut yang dijumpainya di sebuah kedai sesuai untuk kegunaan individu yang berdepan dengan masalah dengkur. Namun, beliau sempat nasihatkan bagi mereka yang berdengkur dnegan teruk perlu dapatkan nasihat doktor.
Dalam pada itu, beliau juga berkongsi faktor-faktor yang boleh menyumbang kepada kekenduran otot. Antaranya:
1. Struktur Anatomi: leher pendek, tonsil besar, atau lidah yang besar boleh menyebabkan ruang lebih sempit dalam tekak.
2. Berat Badan Berlebihan: Lemak yang terkumpul di sekitar leher boleh menekan dan menyempitkan salur pernafasan.
3. Usia: Otot di dalam tekak menjadi lebih kendur dengan bertambahnya usia. Ini menyebabkan ia menutup laluan udara.
4. Posisi Tidur: Tidur terlentang boleh menyebabkan graviti menarik otot tekak ke bawah dan menyempitkan salur pernafasan.
5. Merokok: Ia menyebabkan keradangan dan pengumpulan lendir dalam salur pernafasan lalu menyempitkan ruang ini.
"Gejala-gejala OSA termasuk berdengkur kuat, kerap terjaga di malam hari, rasa mengantuk yang melampau pada waktu siang, dan rasa keletihan walaupun sudah tidur mencukupi.
"Rawatan OSA mungkin melibatkan penggunaan mesin Continuous Positive Airway Pressure (CPAP), pembedahan, atau perubahan gaya hidup seperti penurunan berat badan dan berhenti merokok.
Kalau ada anda masalah tidur berdengkur, jumpalah dengan doktor dahulu untuk pemeriksaan. Itu lebih selamat," pesan beliau.
Bagi individu yang ada masalah dengkur tu boleh la dapatkan rawatan dengan berjumpa dengan doktor ya.
Bukan sahaja untuk kesihatan, tetapi kesian orang sebelah takut tidur tak lena dek kerana dengkuran kita.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang