Ibu pengsan terima berita dua anak dan dua cucu maut kemalangan. ‘Arwah penghubung eratkan hubungan keluarga’

No Image Caption
A
A
A

IBU  mana yang mampu menerima pemergian empat insan tersayang dalam sekelip mata? Namun itulah yang menimpa Shahima Hamid apabila dia hampir rebah dan pengsan empat kali selepas dimaklumkan bahawa dua anak dan dua cucunya terkorban dalam kemalangan ngeri membabitkan sebuah kereta dan sebuah treler di Kilometer 33, Jalan Gua Musang–Kuala Krai.

Wanita berusia 54 tahun itu tidak dapat menahan sebak dan rasa kehilangan apabila dimaklumkan bahawa anak keduanya, Muhammad Faiz Nor Amran, 32; anak kelima keluarga, Nor Aina Imra, 21; serta dua cucu tercinta, Muhammad Aryan Fattah Abdul Qayyum, 5, dan Muhammad Aydan Fattah, 4, telah pergi buat selama-lamanya.

No Image Caption

Menantunya, Tuan Nor Syuhada Mohd Zain, 23, yang memandu kereta tersebut, pula mengalami kecederaan parah dan kini sedang menerima rawatan.

Menurut suami Shahima, Nor Amran Mat Nor, 58, anak keduanya itu bukan sahaja menjadi abang dalam keluarga, malah tempat bergantung adik-beradik lain.

“Muhammad Faiz seorang yang penyayang dan sentiasa ada bila kami perlukan. Walaupun sudah berkeluarga, dia selalu bawa adik-adik keluar jalan-jalan dan menjadi penghubung yang eratkan hubungan kami sekeluarga.

“Kita hanya mampu reda dengan ketentuan ALLAH. Saya percaya ada hikmah di sebalik semua ini walaupun sukar diterima,” katanya sambil menahan sebak di Bilik Mayat Hospital Gua Musang.

No Image Caption

KENANGAN TERAKHIR

Memetik laporan Sinar Harian, keluarga itu dalam perjalanan pulang ke Pasir Mas selepas menghadiri Himpunan Pemilik Kereta Honda di Sepang, Selangor dan menziarahi ibu saudara di Kuala Lumpur Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi Isnin, keempat-empat mangsa maut di lokasi selepas kereta yang mereka naiki terbabas dan bertembung dengan sebuah treler.

No Image Caption

Sementara itu, adik arwah, Muhammad Fakris Nor Amran, 23, yang sedang bercuti semester tahun kedua pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), berkongsi kenangan terakhir bersama kakaknya, Nor Aina Imra, yang juga pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tiga hari sebelum kejadian, dia mengajak arwah yang sedang bercuti semester untuk makan mi celup, tetapi perasan kakaknya tidak berselera dan hanya memesan mi segera bersama telur rebus.

Pada pagi hari kejadian, Muhammad Fakris sempat menghubungi kakaknya kira-kira jam 7.40 pagi.

No Image Caption

“Selepas itu, ibu pula bercakap dengan abang melalui telefon. Dalam setengah jam kemudian, kami dapat berita mereka mengalami kemalangan,” katanya.

Hasrat mereka untuk bermain badminton bersama pada malam Jumaat terpaksa dibatalkan kerana Nor Aina mahu mengikuti abangnya ke Kuala Lumpur.

Jenazah keempat-empat mangsa dijangka dibawa pulang ke kampung halaman mereka di Pasir Mas dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Tok La selepas selesai bedah siasat.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang