Impian bertunang tak sampai, wanita & kekasih maut ditikam, 2 anak hilang ibu. 'Minta tunggu rumah siap dulu'


HASRAT wanita untuk melangsungkan pertunangan tidak kesampaian apabila maut dalam kejadian tikaman tragis bersama bakal tunangnya Taman Nona, Guar Chempedak pada malam Khamis.
Ketua Polis Daerah Yan, Superintendan Mohd Hamizi Abdullah berkata alam kejadian tersebut, seorang wanita ditemui meninggal dunia di dalam sebuah kereta Proton Wira yang diparkir di hadapan sebuah rumah.
Sementara itu, seorang lelaki pula ditemui terbaring di atas jalan di kawasan taman perumahan yang sama, dengan beberapa kesan tikaman pada tubuhnya.
Menurut kenyataan awal polis, kecederaan yang dialami kedua-dua mangsa dipercayai akibat tikaman menggunakan objek tajam.
“Kami juga menyiasat ke mana mereka hendak pergi ketika itu dan punca kejadian berlaku. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Setakat ini tiada tangkapan dilakukan,” katanya.

Mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat.
Mohd Hamizi berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan mengenai hubungan kedua-dua mangsa selain motif kejadian
Sementara itu, bapa mangsa, Khamis Abdul Rahim, 55, berkata Ku Asyraf pernah meminta izin untuk masuk meminang.
Menurut Khamis, beliau merestui hubungan anaknya dengan Ku Asyraf dan mereka merancang untuk bertunang dalam masa terdekat.
“Arwah pernah cakap nak bertunang secepat mungkin. Tapi saya minta mereka tunggu dulu sehingga rumah di Selama, Perak siap dibina,” katanya.
Imbas kembali, bapa berkenaan mendedahkan beliau menerima berita mengejutkan itu kira-kira jam 2 pagi.

“Saya terkejut bila polis beritahu anak saya dah meninggal dunia. Tak sangka langsung perkara macam ini boleh berlaku,” katanya penuh sayu.
Menurut ahli keluarga, Nurul Nur Syamira yang merupakan ibu kepada dua anak lelaki telah bercerai lebih setahun lalu.
Dimaklumkam hubungan dengan bekas suami masih terjalin demi memastikan kebajikan anak-anak tidak terjejas.
Dalam pada itu, Khamis yang turut memberi reaksi terhadap kejadian tersebut menyifatkan tindakan suspek sebagai amat kejam dan langsung tidak berperikemanusiaan, apatah lagi melibatkan nyawa dua individu yang tidak bersenjata.
Terdahulu, media melaporkan penemuan mayat seorang wanita di dalam sebuah kereta Proton Wira yang diparkir di hadapan sebuah rumah, manakala seorang lelaki ditemukan terbaring di atas jalan berhampiran, kedua-duanya dengan kesan tikaman di beberapa bahagian badan.
Sumber: Sinar Harian
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
