'Jenazahnya cukup sempurna, sangat menjaga adik-adik.' Solat jenazah pendaki maut terjatuh gunung diimamkan anak sendiri, Riezman kongsi perjalanan terakhir

PELAKON Riezman Khuzaimi memuat naik video perjalanan akhir arwah abang iparnya, Rennie Abdul Ghani, 57, yang maut selepas terjatuh di laluan Torean, Gunung Rinjani, Lombok, Indonesia pada Sabtu lalu.
"Tidak pernah ada yang kebetulan di dunia ini. Semua yang datang adalah takdir Tuhan. Yang baik melatih kita bersyukur, yang buruk mengajarkan kita untuk belajar.
"Bahagia itu bukan sahaja segala keinginan kita terwujud, tapi saat kita mengerti semua kehendak Tuhan adalah yang terbaik,
"Perjalanan terakhir abang Rennie, al-Fatihah," kongsinya.
Selamat tiba di tanah air pada jam jam 11 malam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dari Lombok, Indonesia dan dibawa pulang ke rumahnya di D’Sierra Ville, Pasir Gudang kira-kira pukul 3 pagi.

"Alhamdulillah, apabila jenazah tiba dan kami bawa balik ke rumah. Isteri arwah memang nak tengok sangat, kafan pada bahagian muka kami buka.
"Wajahnya nampak seperti sedang tidur, saya lihat sangat tenang. Semua pun rasa lega kerana kami menunggu sejak Sabtu iaitu semenjak menerima beritanya terjatuh pada tengah hari.
"Hari ini baru (jenazah arwah) sampai. Alhamdulillah, jenazahnya cukup sempurna," kongsi Riezman kepada Sinar Harian.
Mengenang kembali kenangan bersama Allahyarham Rennie, pelakon Takluk: Lahad Datu dan Tanda Putera itu kelihatan sebak.

"Dia terlalu baik. Arwah adalah abang ipar saya. Isteri saya, Datuk Azie memang terpisah sejak kecil dengan arwah dan baharu dijumpai enam tahun lalu. Ketika itu saya dan isteri sudah berkahwin.
"Arwah memang seorang Abang Long yang amat menjaga adik-adiknya. 51 tahun tidak pernah berjumpa dengan adik-beradiknya dan apabila sudah jumpa, arwah memang jaga sangat mereka.
"Saya merupakan rakan mendaki arwah dan cuma kali ini sahaja saya tidak mengikutinya kerana kekangan kerja. Arwah memang suka menolong orang terutama kawan-kawan mendaki. Itu kebaikan arwah," ujarnya.

Jenazah Allahyarham Rennie selamat tiba di tanah air pada jam jam 11 malam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dari Lombok, Indonesia dan dibawa pulang ke rumahnya di D’Sierra Ville, Pasir Gudang kira-kira pukul 3 pagi.
Jenazah kemudiannya dikebumikan jam 7.20 pagi tadi selepas disolatkan di Surau Raudhatul Jannah, Sierra Perdana, yang diimamkan anak sulungnya, Mohamad Akashah, 29.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Mastura Tawap, 53, dan tiga orang anak iaitu seorang lelaki serta dua perempuan iaitu Syafaatul Amirah, 28, dan Anisa Sofea, 20.
Artikel berkaitan:
- Terpisah daripada penjaga, remaja hilang di Bukit Broga ditemukan meninggal dunia, berikut kronologinya
- Kecoh tukang jahit Jepun pakai sut daki Kinabalu, wanita Malaysia dah berkebaya di Annapurna Base Camp 4,130 meter 6 tahun lalu
- 'Aku takkan tinggalkan kau...' Peluk jenazah sahabat 2 hari, makan ais untuk hidup, kisah pendaki Malaysia terkandas di Gunung Denali meruntun hati
- Pendaki gunung sesak nafas meninggal dunia, sempat masak stok lauk untuk keluarga. 10 info anda perlu tahu elak kematian ketika mendaki
KRONOLOGI KEJADIAN

1-Allahyarham Rennie memulakan pendakian ke Gunung Rinjani bersama sekumpulan 23 warga Malaysia yang menggunakan khidmat pengendali pelancongan tempatan, Juan Adventure, diiringi empat pemandu arah dan sembilan porter mendaki gunung itu.
2-Mereka berlepas dari Segara Anak pada 8 pagi waktu tempatan menuju ke basecamp Torean dan sebaik tiba di tebing Banyu Urip sekitar 11 pagi, kumpulan itu berhenti untuk mengambil air serta berehat seketika.
3-Mangsa dilaporkan meneruskan perjalanan tanpa berehat walaupun telah ditegur dan diekori oleh ketua kumpulan.

4-Ketika tiba di kawasan tali keselamatan di laluan Banyu Urip, ketua kumpulan sempat menawarkan bantuan kepada Allahyarham untuk melintasi kawasan itu, namun beliau menolak.
5-Difahamkan, Allahyarham melepaskan pegangan pada tali keselamatan sebelum tergelincir semasa menuruni laluan curam, menyebabkan beliau hilang imbangan lalu terjatuh ke bahagian kanan laluan mendaki dan terjatuh ke dalam jurang sedalam kira-kira 100 meter di laluan Torean.
GUNUNG RINJANI BARU DIBUKA 3 APRIL

Sekadar info, Laluan Torean dibuka secara rasmi pada 2020. Ia salah satu trek pendakian paling mencabar dan indah di Gunung Rinjani kurang dikenali berbanding laluan Sembalun atau Senaru.
Laluan itu sepanjang kira-kira 24 kilometer dan pendakian bermula dari Kampung Torean pada ketinggian 585 meter dan boleh mencapai sehingga 2,641 meter di Pelawangan Senaru atau terus ke Tasik Segara Anak, bergantung kepada jadual pendakian.
Laluan berkenaan dikategorikan sebagai sederhana ke mencabar dengan beberapa bahagian yang curam dan memerlukan ketahanan fizikal, kecergasan pendaki serta mental yang tinggi.
Sejak pembukaan semula aktiviti mendaki Gunung Rinjani pada 3 April lalu, beberapa insiden membabitkan pendaki dilaporkan berlaku.
Terdahulu, pada 27 April 2025, seorang lagi pendaki Malaysia dikenali dengan nama ringkas CUC turut mengalami kemalangan ketika melalui laluan Sembalun menuju Danau Segara Anak. Mangsa tergelincir kira-kira 200 meter di bawah kawasan Pelawangan dan mengalami patah kaki.
Sementara itu, pada 14 April, seorang pendaki tempatan dari Bojonegoro, Jawa Timur, RBA, 22, juga tergelincir ketika cuba mengambil tongkat yang terjatuh di laluan curam berhampiran puncak Rinjani, namun bernasib baik tidak mengalami kecederaan serius.
Sumber: Instagram,Sinar Harian, TikTok Sinar Harian
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang