'Kami sedih & mohon maaf’ – Guru ambil tanggungjawab selepas kes pelajar 16 tahun maut ditikam, luahan rasa undang sebak!

No Image Caption
A
A
A

SATU  tragedi memilukan melanda dunia pendidikan apabila seorang pelajar perempuan tingkatan tiga maut ditikam oleh pelajar lelaki tingkatan satu di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor, minggu ini.

Kejadian tragis itu dipercayai berlaku di tandas sekolah ketika waktu rehat, di mana suspek dikatakan menikam mangsa bertubi-tubi menggunakan dua senjata tajam. 

Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian leher dan dada.

Polis mengesahkan tiada unsur buli dikesan setakat ini, dan siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada emosi atau dendam peribadi. Suspek berusia 14 tahun kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagi warga sekolah, tragedi ini bukan sahaja meninggalkan trauma kepada rakan-rakan mangsa, tetapi juga beban emosi besar kepada para guru yang selama ini menjadi tulang belakang kepada ratusan anak didik.

Tular sepotong video di laman Thread yang dikongsikan oleh arif_ayob. Dalam perkongsian tersebut, seorang guru yang mewakili pihak sekolah tampil dengan luahan hati yang meruntun jiwa, antara rasa sedih, bersalah dan kecewa terhadap apa yang berlaku.

“Kami amat sedih dengan apa yang berlaku, namun, tanggungjawab tetap perlu dilaksanakan.

"Bagi pihak sekolah, saya ingin memohon maaf atas kejadian yang berlaku ini,” katanya dalam nada sebak.

Guru itu menambah, tiada siapa di pihak sekolah yang menjangka insiden seberat itu boleh berlaku di kawasan yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat buat pelajar.

“Tiada siapa menyangka perkara sebegini akan berlaku. Namun ia sudah pun berlaku. Kami ambil tanggungjawab sepenuhnya.

"Kalau ibu bapa masih ada cadangan atau ingin memberi ruang kepada kami untuk bertindak dengan cara yang wajar, kami akan buat,” katanya lagi.

Ramai yang mungkin tidak menyedari bahawa di sebalik setiap kejadian tragis di sekolah, guru juga melalui detik sukar. Mereka bukan sekadar penyampai ilmu, tetapi juga penjaga emosi dan keselamatan pelajar setiap hari.

No Image Caption

“Kami hanya mahu pastikan anak-anak ini belajar dalam keadaan selesa dan selamat.

"Saya amat menghargai setiap sokongan ibu bapa terhadap perkhidmatan kami.

"Kami tahu bukan mudah untuk mentadbir sebuah sekolah dengan 1,197 orang murid, namun kami sahut cabaran dan buat yang terbaik,” ujarnya lagi.

Kata-kata itu menggambarkan tekanan sebenar yang dirasai oleh tenaga pengajar,  mereka yang sering berdiri di tengah-tengah antara tanggungjawab, kasih, dan harapan ibu bapa.

Tragedi ini bukan sekadar kes jenayah sekolah. Ia menyentuh soal kesejahteraan mental pelajar, persekitaran pembelajaran yang selamat, serta hubungan emosi antara murid dan pendidik.

Ibu mangsa sebelum ini meluahkan rasa sedih apabila mendakwa anaknya mengalami lebih 200 kesan tikaman, bukan 50 seperti yang dilaporkan awal.

No Image Caption

Betapa dalamnya luka seorang ibu dan betapa beratnya ujian yang ditanggung oleh seluruh warga sekolah.

Menutup bicara, guru berkenaan menitipkan harapan agar masyarakat lebih memahami cabaran sebenar dunia pendidikan hari ini.

“Kami tahu cabarannya besar, tapi akan cuba buat yang terbaik. 

"Mohon sangat faham kami. Kami bukan sempurna, tapi kami ikhlas," ujarnya lagi.

Tragedi ini mengingatkan kita bahawa tugas mendidik tidak pernah mudah. Guru bukan malaikat, tetapi setiap hari mereka cuba menjadi pelindung, walau dalam dunia yang semakin mencabar.

Moga tragedi ini membuka mata semua pihak — bahawa keselamatan, kasih sayang dan empati bukan sekadar slogan sekolah, tetapi keperluan yang mesti dipelihara.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang