'Karat ni bos, mahu bunuh orang ke' - Pelanggan trauma jumpa paku dalam nasi lemak
MAKANAN yang sepatutnya dinikmati dengan tenang dan selamat berubah menjadi pengalaman menakutkan apabila seorang lelaki menemui sebatang paku berkarat yang tersembunyi dalam hidangan nasi lemak ayam yang dipesannya di sebuah restoran di Wangsa Maju, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kejadian tersebut tular di media sosial selepas pengguna TikTok, @akingdraws memuat naik video rakaman insiden berkenaan.

Dalam video berdurasi kurang daripada seminit itu, lelaki tersebut dilihat terhenti daripada meneruskan suapan selepas menemui sesuatu yang mencurigakan dalam makanannya iaitu sebatang paku berbentuk L yang masih tertanam dalam isi ayam goreng.
"Apa ni? Ada paku dalam ayam, karat tu bos. Mahu bunuh orang ke?" soalnya sambil menunjukkan objek berbahaya itu kepada pekerja restoran yang dipercayai 'mamak' dalam nada kecewa dan terkejut.

Lebih mengecewakan apabila respons yang diterima daripada pihak restoran tidak langsung mencerminkan rasa tanggungjawab atau keprihatinan terhadap keselamatan pelanggan.
Dalam satu komen susulan di TikTok, pengguna berkenaan mendakwa pihak restoran hanya menggantikan nasi lemak tersebut tanpa sebarang permohonan maaf yang jelas atau usaha untuk menyiasat lanjut punca kejadian.

"Ya manager buat-buat tak nampak. Dia kasi nasi lemak baru je," katanya dalam satu balasan kepada komen netizen.
Video tersebut kini telah menerima ribuan tontotan dan telah dikongsikan oleh beberapa pengguna lain di media sosial.
Susulan itu, rata-rata netizen meluahkan kebimbangan serta rasa marah terhadap sikap sambil lewa pihak restoran terbabit dan menggesa tindakan tegas diambil bagi mengelakkan insiden yang lebih serius di masa hadapan.

"Kalau complain, dia kata bos campak dalam, saja kasi pedajal kan," tulis pengguna TikTok, @rexomexo.
Selain itu, beberapa pengguna lain turut berkongsi pengalaman mereka menemui objek asing dalam makanan seperti klip besi, dawai, dan serpihan plastik, sekali gus membangkitkan persoalan tentang tahap kawalan kualiti dan kebersihan yang diamalkan oleh segelintir pengusaha restoran.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
