Kejam! Motif pembunuhan Sabari didedah, dicampak ke sungai dengan tangan terikat kerana cam wajah. Suspek ketagih judi
PEMBUNUHAN kejam warga emas, Sabari Baharom menyayat hati seluruh rakyat Malaysia.
Hilang tanpa jejak sejak 4 September, penangkapan dua suspek berusia 26 dan 38 tahun merungkai jenayah yang dilakukan ke atasnya.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata pembunuhan Sabari adalah bermotifkan samun.
“Motif pembunuhan Sabari yang hilang dari rumahnya di Baling selepas soal siasat ke atas dua lelaki yang ditahan, mengaku niat awal mereka ingin menyamun," katanya.
Dalam pada itu, Fisol juga mendedahkan soal siasat terhadap dua suspek itu mengaku mengikat tangan dan menutup mulut Sabari dengan pita pelekat sebelum dicampakkan ke dalam Sungai Padang Terap di Kampung Empa, Derang di Kubang Pasu pada 4 September lalu bagi melupuskan bukti.
Menurutnya, operasi pencarian jasad pesara kewangan FELCRA iu dihentikan pada petang Rabu selepas tiga hari polis gagal menemui sebarang petunjuk.
"Siasatan yang dilakukan berkaitan kes orang hilang yang membabitkan mangsa dilanjutkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu bunuh," katanya.
SUSPEK KETAGIH JUDI
Sementara itu, Berita Harian melaporkan, menurut sumber dua suspek mempunyai pertalian sebagai bapa saudara dan anak saudara.
Kedua-dua mereka ke Batam, Indonesia selepas dipercayai membunuh Sabari dan mengeluarkan wang simpanan warga emas itu berjumlah RM16,000.
Menurutnya, suspek juga didapati mengalami masalah ketagihan judi dan sering keluar negara bagi melakukan kegiatan berkenaan.
"Suspek dipercayai membunuh Sabari pada 4 September lalu, sebelum bertindak ke Batam untuk berjudi. Dia dikatakan mengalami ketagihan judi dan turut bermain judi dalam talian.
"Suspek dipercayai menghabiskan wang yang disamunnya dari mangsa di sebuah kasino sebelum pulang ke tanah air," katanya.
Difahamkan suspek dan anak saudaranya ditahan polis di kawasan sempadan di selatan tanah air pada Jumaat lalu, selepas tidak menyedari polis berjaya mengenal pasti identiti mereka.
Sabari dilaporkan hilang sejak 4 September lalu dan gagal dikesan sehingga kini.
Imbas kembali, kehilangan arwah menjadi tanda tanya ahli keluarga apabila kereta Proton Wajanya ditemui dibakar di kawasan pembuangan sampah di gaung Hutan Gubir, Sik, namun beliau dilaporkan tiada di tempat kejadian.
Susulan itu, ahli keluarga mengesyaki Sabari dilarikan individu tidak dikenali dan dipukau berikutan berlaku beberapa transaksi pemindahan wang dalam jumlah yang besar dari akaun Tabung Hajinya ke akaun bank individu lain dalam tempoh dua hari selepas kehilangan.
Pelbagai usaha mencari dilakukan oleh ahli keluarga namun bapa kepada tiga cahaya mata itu masih gagal dikesan.
Sumber: Sinar Harian, Berita Harian
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang