Sayunya! Isteri pasrah Sabari belum ditemukan, pencarian tamat selepas 3 hari. 'Selagi jasad belum ditemui, saya anggap tempat ini pusara suami'
PENCARIAN warga emas yang menjadi mangsa pembunuhan, Sabari Baharom ditamatkan oleh selepas tiga hari operasi pencarian digerakkan dan menemui jalan buntu.
Sabari yang dicampakkan ke Sungai Sungai Padang Terap di Kampung Empa, Wang Tepus, Jitra dalam keadaan kaki dan tangan terikat dengan pita mengundang rasa sebak dan sayu seluruh rakyat Malaysia.
Susulan keputusan itu, isteri Sabari, Shubiah Roslina Shahibi, 57, pasrah bahawa cinta hatinya sudah tiada dan dengan ketentuan ALLAH.
Dalam pada itu, beliau dan keluarga turut berpuas hati dengan usaha pasukan penyelamat.
"Saya berpuas hati dengan usaha mereka (pasukan penyelamat) atas kemampuan mereka dalam operasi mencari suami.
"Pihak polis pun memaklumkan tahu perkara ini sudah lewat kerana kejadian berlaku pada 4 September lalu dan terus buat operasi ini selepas menahan dua suspek," katanya.
Shubiah Roslina berkata, keluarga dapat menerima bahawa Sabari sudah tiada.
"Jika jasadnya ditemukan, Alhamdulillah, tetapi jika tidak, tidak mengapa, itu semua ketentuan ALLAH.
"Saya mengucapkan terima kasih atas usaha pihak berkuasa dalam usaha mengesan jasad suami," katanya.
Shubiah Roslina berkata, pihak berkuasa sudah menjelaskan bahawa kemungkinan jasad suaminya ditemukan adalah sesuatu adalah tipis.
"Sebelum ini, banjir besar berlaku di kawasan itu selama kira-kira seminggu, diikuti banjir lain selama empat hari.
"Arus deras boleh menyebabkan pelbagai kemungkinan," katanya.
Dalam pada itu, Shubiah berkata walaupun tidak ditemukan di Sungai Padang Terap, beliau akan menganggap Jambatan Kampung Empa sebagai pusara suaminya.
Subhiah berkata, jika ada kelapangan, dia akan mengunjungi Jambatan Kampung Empa kerana itu merupakan lokasi suaminya dicampak ke sungai.
"Selagi jasad suaminya belum ditemui, saya anggap tempat inilah pusara suami. Hari ini sebelum saya pulang ke Kuala Lumpur, saya melawat sekali lagi lokasi suami saya dicampak.
"Saya juga difahamkan ketika itu suami nak buang air kecil, mereka buka pintu kereta dan terus campak dia ke sungai," katanya.
Dalam pada itu, menurut Shubiah selepas operasi mencari jasad suami menemui jalan buntu, pihaknya akan mengadakan solat ghaib.
"Biro Agama Felcra dekat surau buat solat ghaib. Saya kata buat sahajalah mana yang baik. Pencarian dah diberhentikan, bermakna kita kena terima.
"Kalau ada keajaiban tu (jasad dijumpai) lain ceritalah. Kita buat apa yang patut pada waktu sekarang," katanya.
Menurut Shubiah, pihak polis juga memaklumkan kawasan berkenaan terdapat air pusar yang menjadikan misi pencarian berisiko. Beliau menambah bahawa tidak menolak sekiranya ada orang kampung yang berhasrat meneruskan pencarian jasad suaminya dengan cara tradisional.
"Buat saja lah, selagi benda itu baik, kita tak halang," katanya yang kelihatan tenang.
Operasi pencarian Sabari dilaksanakan oleh pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Polis Marin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)
Ia digerakkan selepas polis menahan dua suspek lelaki berumur 26 dan 38 tahun, Jumaat lepas, bagi membantu siasatan kes kehilangan warga emas itu.
Difahamkan, operasi selama tiga hari yang bermula pada Isnin lalu meliputi radius 13 kilometer Sungai Padang Terap tidak menemukan sebarang petunjuk sehingga pencarian dihentikan pada petang semalam.
Terdahulu, SinarPlus melaporkan bahawa Sabari hilang sejak 4 September lepas, dan kereta Proton Waja yang dinaikinya ditemukan hangus dan 'total lost' di kawasan pembuangan sampah di gaung Hutan Gubir, Sik.
Berikutan itu, ahli keluarga mangsa mengesyaki pesara pegawai kanan kerajaan itu dilarikan individu tidak dikenali berikutan berlaku beberapa transaksi pemindahan wang dari akaun Tabung Haji lelaki itu ke akaun bank orang lain dalam tempoh dua hari selepas kehilangannya.
Sumber: Sinar Harian, Harian Metro
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang