Kerap bersin dan hidung tersumbat, ibu ini tak sangka ada nasal polyps dalam hidung anak

No Image Caption
A
A
A

ANAK kecil yang kerap bersin dan berdengkur ketika tidur bukanlah petanda yang normal. Ada ibu bapa yang tidak kisah selagi anak mereka masih sihat seperti biasa.

Menurut perkongsian seorang ibu, Aminah Hussain, anak keduanya, Muhammad Ikhwan, 12, memang sudah biasa akan bersin pada waktu pagi, mata gatal dan selalu berhingus. Perkara ini bukanlah sesuatu yang pelik. Pada awalnya, dia hanya menyangka itu disebabkan oleh alahan habuk.

Namun, lama-kelamaan, simptom tersebut makin kerap dan anak kelihatan makin tak selesa.

“Kami ambil keputusan untuk buat allergy test. Dari keputusan itu, doktor sahkan anak kami ada resdung (sinusitis) dan alergi terhadap makanan laut, khususnya ketam dan udang. Sejak itu, kami hentikan terus segala jenis makanan laut dalam diet dia dan mulakan rawatan, ubat makan dan sinus rinse setiap hari.

“Alhamdulillah, ianya berkesan. Selepas tiga bulan, doktor beri lampu hijau untuk hentikan ubat buat sementara waktu untuk tengok sama ada simptom tu betul-betul hilang atau tidak.

“Malangnya, tak sampai tiga hari, simptom kembali menyerang. Dia mula bersin setiap pagi, hidung tersumbat, dan mata gatal. Kami tahu ini bukan sekadar selesema biasa sebab perubahan dia sangat ketara. Doktor sarankan untuk jumpa pakar telinga, hidung dan tekak (ENT)” ujarnya melalui perkongsian peribadi di akaun Facebook miliknya.

Di klinik ENT, doktor buat prosedur endoskopi, masukkan kamera kecil ke dalam hidung untuk lihat keadaan dalaman. Belum sempat masuk jauh, doktor terus berhenti. Rupanya, ada nasal polyps yang besar di kedua-dua belah hidung, hampir menutup sepenuhnya saluran pernafasan.

“Ketika doktor menunjukkan video dari kamera, terus rasa sebak dan sesak dada. Sebagai mak ayah, bila nampak anak kita susah nak bernafas, perasaan dia tak terungkap. Polyps tu dah terlalu besar dan ruang dalam hidung tinggal sikit sahaja untuk pernafasan.

“Syukur bahagian yang lebih dalam tiada masalah. Buat masa ini, doktor bagi ubat untuk kecutkan bengkak dahulu. Jika tiada perubahan selepas tiga minggu, anak kami mungkin kena jalani pembedahan kecil untuk buang polyps tersebut” katanya lagi yang tidak menyangka masalah kesihatan yang dianggap ‘perkara biasa’ ini rupanya berbahaya.

Menurut doktor, nasal polyps ni terbentuk akibat daripada resdung yang tak dirawat atau berlarutan terlalu lama. Selama ini Aminah dan suaminya hanya fikir anak mereka cuma selesema biasa sahaja. Tidak diubati sejak dari kecil. Tak sangka rupanya masalah tersebut menjadi serius.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang