Kes Zara Qairina buka mata: Apa itu Mahkamah Kanak-Kanak & bagaimana ia lindungi hak mangsa dan pelaku?
20 Ogos 2025 menjadi detik bersejarah apabila lima remaja perempuan bawah umur dijangka didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak berhubung kes buli melibatkan adik Zara Qairina Mahathir, 13 tahun, yang menggemparkan negara.
Kesemua remaja terbabit tiba di pekarangan mahkamah menaiki sebuah van diiringi polis sekitar jam 9.05 pagi. Remaja perempuan yang berusia bawah 18 tahun itu akan dituduh di bawah Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan, iaitu berkaitan kesalahan menggunakan atau membuat sebarang perkataan atau komunikasi berbentuk ancaman, kesat atau penghinaan.
Menurut kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC), pihaknya telah meneliti kertas siasatan yang dirujuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan memutuskan untuk mendakwa beberapa suspek berdasarkan keterangan yang ada. Namun begitu, prosiding inkues tetap akan dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian Zara Qairina.

Tragedi ini bukan sahaja menyedarkan masyarakat tentang seriusnya isu buli dalam kalangan remaja, tetapi turut membuka mata orang ramai mengenai bagaimana undang-undang negara menangani pelaku yang masih bawah umur. Maka di sinilah wujudnya keperluan memahami peranan Mahkamah Kanak-Kanak.
SinarPlus secara eksklusif sempat menemu bual Peguambela dan Peguamcara, Nur Shuhadah Mahzan menerusi alam maya bagi mendapatkan pandangan lanjut akan peranan dan fungsi Mahkamah Kanak-kanak.
Sekadar makluman, Mahkamah Kanak-Kanak di Malaysia diwujudkan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611). Ia berfungsi membicarakan kes melibatkan mereka yang berumur bawah 18 tahun, sama ada sebagai pelaku atau mangsa.
Tidak seperti mahkamah biasa, perbicaraan di sini lebih mesra dan mengambil kira masa depan kanak-kanak. Malah, identiti kanak-kanak dilarang didedahkan bagi mengelakkan stigma yang boleh menjejaskan kehidupan mereka kelak.
Struktur perbicaraan juga unik. Seorang majistret mengetuai prosiding, manakala dua penasihat, seorang lelaki dan seorang wanita, membantu memberi pandangan tentang kebajikan kanak-kanak.
"Seorang pegawai kebajikan masyarakat pula menilai latar belakang serta keadaan keluarga dan mencadangkan bentuk pemulihan. Ibu bapa atau penjaga turut diwajibkan hadir agar mereka sama-sama bertanggungjawab terhadap anak-anak.

"Selain itu, prosiding di Mahkamah Kanak-Kanak juga memberi perhatian khusus apabila melibatkan saksi kanak-kanak. Mereka dibenarkan memberi keterangan menggunakan penghadang atau melalui kamera dari bilik berasingan, supaya tidak berdepan terus dengan tertuduh, peguam, pendakwa raya atau hakim. Langkah ini dibuat bagi mewujudkan suasana yang lebih selesa dan mengurangkan rasa gemuruh atau trauma," ujarnya.
Suasana perbicaraan juga tidak terlalu formal. Hakim, peguam atau pendakwa raya boleh menanggalkan blazer ketika prosiding untuk mewujudkan persekitaran yang lebih mesra kanak-kanak.
"Jika saksi kanak-kanak berasa penat, sedih atau tidak bersedia, mahkamah boleh menangguhkan prosiding sehingga mereka benar-benar mampu meneruskan keterangan.
"Dalam kes jenayah seksual misalnya, saksi kanak-kanak juga dibenarkan menggunakan patung anatomi untuk menunjukkan perlakuan atau perbuatan tertuduh terhadap mereka, bagi mengelakkan mereka perlu menyebut secara terperinci yang boleh menimbulkan trauma.

"Bidang kuasa Mahkamah Kanak-Kanak merangkumi pelbagai kesalahan. Ia boleh membicarakan jenayah ringan hingga sederhana seperti mencuri, merosakkan harta benda atau memandu tanpa lesen," kongsi Nur Shuhadah.
Mahkamah ini juga berfungsi dalam kes penderaan, pengabaian, eksploitasi kanak-kanak serta isu jagaan. Namun, bagi kesalahan berat seperti pembunuhan, perbicaraan tetap diadakan di Mahkamah Tinggi, dengan prosedur khas untuk melindungi pelaku bawah umur.
Keunikan lain mahkamah ini ialah pendekatan terhadap hukuman. Kanak-kanak tidak boleh dihukum mati atau dipenjara bersama banduan dewasa.
Sebaliknya, mereka boleh dikenakan denda, diberi amaran, diarahkan menjalani khidmat masyarakat atau ditempatkan di bawah pengawasan pegawai kebajikan.

"Untuk kes lebih berat, mereka boleh dihantar ke institusi pemulihan khas seperti Sekolah Henry Gurney atau Sekolah Tunas Bakti. Semua ini bertujuan mendidik dan memulihkan, bukan merosakkan masa depan," ungkap beliau lagi.
Kes Zara Qairina menjadi contoh nyata mengapa masyarakat perlu memahami peranan Mahkamah Kanak-Kanak. Walaupun masyarakat menuntut keadilan yang keras, undang-undang tetap menekankan bahawa pelaku bawah umur wajar diberi ruang untuk dipulihkan.
Mahkamah ini bukan sekadar tempat menghukum, tetapi medan untuk melindungi, mendidik dan membina semula kehidupan anak muda yang tersasar.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
