Khairul Aming tunai tradisi tahunan, belanja staf baju raya, keperluan & duit raya. 'Sewa lori bawa barang dapur pekerja...'

APABILA menyebut nama Khairul Aming (KA), bukan sahaja terbayang akan Sambal Nyet, tetapi juga sikapnya yang tidak pernah lupa menghargai pekerja yang bertungkus lumus bersamanya.
Seperti tahun-tahun sebelum ini, usahawan dan pempengaruh terkenal itu sekali lagi membuktikan dirinya sebagai majikan berhati mulia dengan meraikan staf sempena Aidilfitri yang bakal menjelang.
Menerusi video yang dimuat naik di Instagram, KA berkongsi momen istimewa bersama hampir 100 staf di bawah seliaannya dengan membawa mereka membeli-belah kelengkapan raya dari hujung rambut hingga hujung kaki.
"Macam biasa, setiap tahun pilih sahaja nak warna apa, corak apa pun tidak kisah. Yang penting, lelaki dapat set lengkap baju dengan samping, manakala perempuan pula dapat baju kurung dengan kain tudung," katanya.
Tidak cukup dengan baju raya, pemilik nama Khairul Amin Kamarulzaman turut bermurah hati membelanjakan barang dapur untuk setiap staf.
"Disebabkan tahun ini pembelian barang lebih banyak daripada tahun lepas, aku sewakan lori untuk mereka. Senang, letak sahaja barang dapur itu atas lori, tidak perlu pening untuk bawa balik," luahnya.
Lebih menarik dan dinanti-nantikan semua, Khairul Aming tetap meneruskan tradisi berkongsi rezeki dengan memberikan duit raya yang penuh dengan wang berwarna ungu.
"Tambahan, kita beri mereka kuih raya juga tahun ini," tambahnya.
Bukan itu sahaja, Ramadan kali ini lebih bermakna buat staf KA apabila mereka turut dijamu dengan juadah bufet eksklusif di hotel mewah.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen kagum dengan kemurahan hatinya yang sentiasa menghargai staf.
Malah, ada yang berseloroh mahu menjadi sebahagian daripada pasukannya kerana layanan istimewa seperti ini bukan sesuatu yang biasa dinikmati oleh pekerja di tempat lain.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang