‘Kubur arwah perlu digali semula, saya mahu tahu punca kematian’ - Ibu Zara Qairina akan buat bedah siasat

No Image Caption
A
A
A

IBU kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir nekad untuk menggali semula kubur anaknya bagi tujuan bedah siasat untuk mendapatkan kepastian berhubung punca sebenar kematian remaja berusia 13 tahun itu.

Memetik laporan Berita Harian, Noraidah Lamat, 45, memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat berikutan masih dibelenggu dengan pelbagai persoalan yang masih belum terjawab setelah 14 hari pemergian anak tunggalnya itu.

“Saya mahu persoalan yang berlegar di kepala mengenai punca sebenar kematian anak saya sejak 14 hari lalu bernoktah.

“Jadi, demi mendapat jawapan itu dan keadilan untuknya, saya mengarahkan dua peguam menguruskan proses bagi membolehkan kubur anak digali semula untuk melakukan bedah siasat terhadap jenazah,” katanya.

Noraidah yang menetap di Sipitang berkata, pengebumian jenazah anaknya pada malam 17 Julai lalu dilakukan tanpa sebarang proses bedah siasat berikutan tiada pihak yang mencadangkan perkara tersebut kepadanya pada waktu itu.

No Image Caption

Menurutnya, kematian tragis anaknya itu membuat dia berasa sedih dan terkejut selain hanya mahu Zara Qairina dikebumikan segera tanpa memikirkan mengenai keperluan bedah siasat.

Bagaimanapun, ujarnya, mereka sekeluarga mula menyedari kewujudan faktor tertentu yang mencurigakan pada keesokan hari selepas jenazah telah dikebumikan.

Susulan itu, katanya, dia mahu polis melakukan siasatan telus berhubung kes berkenaan dan pada masa sama, bedah siasat yang pertama tehadap jenazah perlu dibuat bagi memperincikan punca kecederaan dan kematian.

“Pelbagai cerita disebarkan dan ia mengguris hati saya. Ia bukan keluar daripada mulut saya, jadi saya mahu semua pihak hentikan spekulasi itu.

“Saya akui kesedihan akibat tragedi ini tak akan padam dan banyak persoalan timbul. Saya mahu tahu punca sebenar kematiannya, jadi proses bedah siasat perlu dilakukan dan kuburnya perlu digali semula.

No Image Caption

“Apa pun keputusan yang keluar hasil bedah siasat itu kelak dan siasatan polis, saya terima dengan reda kerana ia menjawab segala persoalan yang masih tiada jawapan sehingga kini,” katanya lagi.

Untuk rekod, Zara Qairina ditemui pada kira-kira jam 3 pagi pada 16 Julai lalu, dalam keadaan parah di bawah bangunan asrama sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE I), Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, pelajar tingkatan satu dari salah sebuah sekolah di Papar, Sabah itu meninggal dunia di hospital berkenaan keesokan harinya dengan laporan awal mengatakan dia terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah.

Dilaporkan, polis juga tidak menolak kemungkinan wujud unsur buli dalam kes terbabit.

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang