KWDIG perkukuh agenda pembangunan wanita, anjur Anugerah Cemerlang Madani 2025 bagi mengiktiraf pejuang komuniti & keusahawanan

DALAM meriahnya suasana Syawal, Majlis Hari Raya & Anugerah Wanita Cemerlang Madani 2025 anjuran Komuniti Wanita DIG (KWDIG) tampil bukan sekadar sebagai sambutan Hari Raya biasa.
Ia merupakan satu platform luar biasa yang mengangkat peranan wanita dalam dunia keusahawanan, memperkukuh jaringan komuniti, dan memberikan pengiktirafan kepada mereka yang telah mencipta perubahan sebenar.
Majlis yang berlangsung dengan penuh glamor di UTM Hotel & Residence, Kuala Lumpur ini menghimpunkan lebih 300 wanita daripada pelbagai latar belakang.
Kehadiran pemimpin NGO, usahawan, ahli korporat serta personaliti ternama dalam suasana bertemakan “Raya Meletop” menjadikan majlis ini bukan sahaja indah dipandang, tetapi juga kaya dengan nilai inspirasi.

Tema ini melambangkan semangat wanita hari ini yang berani mengekspresikan diri, penuh keyakinan dan kekal anggun dalam perjuangan hidup masing-masing.
Antara detik paling bermakna dalam acara ini ialah penganugerahan Anugerah Wanita Cemerlang Madani 2025 kepada dua figura luar biasa iaitu Rosdziah Mohd Zainudin dari D.Alam Academy dan Zawani Mohd Yusoff dari Wanis Shielout.
Kedua-duanya telah membuktikan bahawa wanita mampu mengemudi empayar perniagaan sambil memberi impak besar kepada komuniti.
Kejayaan mereka bukan sahaja terletak pada angka dan pencapaian komersial, malah juga pada nilai kemanusiaan dan sokongan yang mereka berikan kepada wanita lain untuk turut sama bangkit.
Menurut Pengasas KWDIG, Datin Ira Ghani ketika ditemui berkata, majlis ini bukan sekadar untuk meraikan kejayaan, tetapi lebih kepada menyemai semangat dan memperkukuh jalinan dalam komuniti wanita.
“Tujuan utama penganjuran ini adalah untuk mengeratkan silaturahim serta memberikan pengiktirafan kepada wanita inspirasi yang berani melangkah jauh ke hadapan.
“Saya percaya kejayaan mereka mampu menjadi pencetus semangat untuk wanita lain agar terus bersinar dan percaya pada potensi diri sendiri,” ujarnya lagi.
Memperkasa wanita
Menariknya, walaupun ini merupakan perjumpaan rasmi kali ketujuh KWDIG sejak penubuhannya.
“Ia merupakan kali pertama penganugerahan khas seperti ini diadakan.
“Pada masa yang sama, ia menandakan fasa baharu dalam perjalanan KWDIG yang semakin matang dalam misi memperkasakan wanita Malaysia melalui pendekatan yang realistik dan menyentuh jiwa,” ungkap beliau lagi.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Datuk Seri Dr Hajah Zurainah Musa, yang juga merupakan Penasihat Komuniti Wanita DIG serta rakan strategik HAWA Malaysia dalam kluster keusahawanan dan ekonomi.
Kehadiran beliau jelas memperlihatkan sokongan padu terhadap usaha memartabatkan wanita dalam pelbagai sektor.
Dalam semangat yang sama, majlis ini turut menjadi pentas pelancaran projek khas DIG MediChome, satu inisiatif berimpak tinggi yang bakal memberikan manfaat kepada wanita dari segi kesihatan, ekonomi, kewangan dan kesejahteraan.

Bimbingan percuma
Apa yang menjadikan projek ini lebih menarik ialah tawaran bimbingan percuma daripada mentor keusahawanan berpengalaman lebih 27 tahun.
Ia merupakan langkah serius untuk membantu wanita dari semua peringkat agar mampu berdikari dan mencipta kejayaan masing-masing.

Kejayaan majlis ini tidak mungkin tercapai tanpa sokongan padu daripada pelbagai pihak.
Antara penaja strategik yang turut menyumbang termasuklah DIG Holding Sdn. Bhd., MZ Empire Resources, Mega Lux Auto, Oxwise, Aayana, DIG MediChome, Aura Seri, NRC Cosmetic, Impact Media Communication dan DITAC Academy.
Gabungan pelbagai entiti ini membuktikan betapa pentingnya kerjasama rentas industri dalam memacu agenda pembangunan wanita.
“KWDIG bukan nama asing dalam komuniti wanita. Melalui pelbagai tema perjumpaan seperti Love Yourself, I Am Power, dan Wanita Aspirasi, komuniti ini telah berjaya melahirkan ramai wanita yang lebih yakin, berdikari dan dihormati.
“Apa yang membezakan KWDIG ialah pendekatan mereka yang menyentuh emosi, membina keyakinan dan menyediakan ruang untuk berkembang secara seimbang, dari aspek kerjaya, keluarga, emosi dan spiritual,” ungkap Ira lagi.


Secara keseluruhannya, Majlis Hari Raya & Anugerah Wanita Cemerlang Madani 2025 adalah lebih daripada sekadar perayaan.
Ia merupakan satu simbol perjuangan, satu ruang apresiasi, dan satu gerakan senyap yang membina kekuatan wanita dari dalam ke luar.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
