'Lebih teruk daripada binatang' – Anak & cucu dikerat macam ayam, ibu tak akan maafkan perbuatan kejam menantu

No Image Caption
A
A
A

BUKAN  mudah untuknya menerima kenyataan bahawa anak dan cucu kesayangan diragut dengan cara paling kejam oleh menantu sendiri.

Wanita itu, Fatimah Latiff, 67, bukan sahaja berdepan kehilangan insan tersayang, bahkan terpaksa menanggung ingatan yang menghantui seumur hidup.

Baginya, luka itu tidak mungkin sembuh, dendam itu tidak mungkin padam.

“Saya reda dengan keputusan mahkamah, tetapi takkan maafkan dia (tertuduh) sampai mati. Dia kerat anak dan cucu macam seekor ayam…” luahnya dengan suara tersekat-sekat.

No Image Caption

Derita si ibu tua itu bukan sekadar kehilangan seorang anak perempuan, Allahyarham Norfazera Bidin, 27, bahkan cucu yang baru berusia 11 tahun.

Lebih memilukan, pemergian mereka bukan kerana sakit atau takdir biasa, tetapi akibat perbuatan kejam menantu sendiri.

Fatimah masih mengingati detik memandikan jenazah anaknya. Sehingga hari ini masih ada anggota badan arwah anak dan cucunya yang tidak ditemukan.

Lebih menyayat hati, kepala anak perempuannya ditemui disorokkan di siling rumah, seolah-olah nyawa seorang isteri tiada sebarang nilai.

“Apa yang dia lakukan jauh lebih teruk daripada binatang. Binatang pun tahu sayangkan keluarganya,” ujarnya dalam tangisan.

Memetik Kosmo, perbuatan kejam itu akhirnya mendapat pembalasan. Tertuduh, Shahrul Nizam Zuraimy, 36, seorang warga Singapura, akhirnya menerima hukuman.

No Image Caption

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis menjatuhkan hukuman penjara 72 tahun dan 24 sebatan selepas dia didapati bersalah membunuh isteri serta anak lelakinya, Muhammad Iman Ashraf Abdullah yang baru berusia 11 tahun, pada Oktober 2019.

Dalam penghakimannya, hakim menegaskan bahawa tindakan tertuduh mengerat tubuh mangsa serta menyembunyikan bahagian tubuh di lokasi berbeza jelas menunjukkan usaha untuk menghapuskan identiti mereka.

Perbuatan itu digambarkan sebagai sangat brutal, lebih-lebih lagi apabila kepala isterinya diletakkan di atas siling rumah.

Namun pindaan hukuman mati yang dilaksanakan kerajaan pada 2023 menyebabkan keputusan hukuman gantung tidak dapat diterapkan.

Justeru, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 36 tahun dan 12 sebatan bagi setiap pertuduhan. Mahkamah turut membenarkan permohonan agar kedua-dua hukuman berjalan secara berasingan bermula tarikh tangkapan pada 11 Oktober 2019.

No Image Caption

Tragedi berdarah itu pernah menggemparkan seluruh negara pada tahun 2019. Norfazera dan anak lelakinya dibunuh dengan kejam sebelum tubuh mereka dikerat sekurang-kurangnya lapan bahagian.

Bahagian tubuh itu kemudian dibuang di beberapa lokasi berbeza termasuk kawasan semak dan tong sampah. Rahsia pembunuhan terbongkar selepas kakak mangsa datang ke rumah kerana gagal menghubungi adiknya.

Beberapa bahagian tubuh akhirnya ditemui seorang pemotong rumput di Kampung Ladang, Krubong. Tidak lama kemudian, polis menahan tertuduh yang sepatutnya menjadi pelindung tetapi bertukar menjadi pemusnah. Motif dipercayai berpunca daripada perselisihan rumah tangga.

Biarpun reda dengan keputusan mahkamah, Fatimah dan keluarganya tetap menyatakan hasrat untuk membuat rayuan agar hukuman gantung sampai mati dipertimbangkan semula.

No Image Caption

Bagi seorang ibu, tiada hukuman dunia yang mampu mengubat luka kehilangan insan tersayang. Anak dan cucu yang pergi tidak akan pernah kembali.

Namun suara Fatimah tetap tegas, penuh dengan dendam yang tidak akan padam sampai bila-bila.

“Saya tidak akan maafkan dia… sampai mati," ungkapnya lagi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang