'Lukisan ubat rindu...' Pelukis dipuji gembirakan hati keluarga ibu tunggal, abadikan wajah arwah suami pada kereta
RINDU kepada insan tersayang yang sudah pergi memang menusuk jiwa. Tiada yang dapat mengubatinya kecuali dengan kiriman doa. Menyedari pilunya hati insan yang dipisahkan dengan kematian, pelukis Rozamil atau Zameer Paintbrush cuba menggembirakan sebuah keluarga yang kematian ketua keluarga.
Pemergian Md Norhashim Md Nasir tiga tahun lalu akibat barah pankreas memberikan kesan mendalam buat isteri, Barkis Azeme, 46 yang meminta jasa baik Zameer melukis gambar Allahyarham pada kereta peninggalannya.
Paling istimewa, hal berkenaan dilakukan atas ihsannya tanpa mengenakan sebarang bayaran.
"Setakat ini sahajalah yang dapat kami berikan untuk menggembirakan mereka sekeluarga," kongsi Zameer pada Facebook yang memuat video memaparkan proses berkenaan yang kemudiannya tular.

Menyingkap kembali, hal berkenaan adalah bertitik tolak daripada permintaan diutarakan Barkis pada ruangan komen TikTok Zameer.
Komen Barkis yang mahu mengumpul duit dengan anak-anaknya untuk mengupah Zameer menghasilkan lukisan 'air brush' berkenaan menyentuh hatinya hingga terdetik rasa untuk menunaikan hajat wanita berkenaan tanpa mengambil sebarang bayaran.
Baru-baru ini hajat berkenaan akhirnya ditunaikan walaupun kedatangannya ke rumah Barkis tidak dirancang.
"Kak Kis (Barkis) pun terkejut bila saya hubungi dan beritahu niat untuk datang ke rumah bagi menunaikan hajatnya.

"Dua jam juga saya ambil masa untuk siapkan lukisan itu berpandukan gambar arwah suaminya yang diberi waktu itu.
"Walaupun tiada kaitan, saya sebak waktu menghasilkan lukisan itu dan nampak Kak Kis macam hilang kata-kata," katanya.
"Bakat yang dianugerahkan membawa kepada kebaikan dan pahala. Bukan semua org ada bakat seperti abang. Salute sama brader."
"Menggembirakan orang lain yang sedang susah hati, semoga berlipat kali ganda rezeki dan pahala Zameer."
"Sebak apabila tengok gambar itu siap. Saya tumpang gembira, semoga roh arwah dicucuri rahmat."
"Setiap kali tengok kisah seperti ini saya 'hujan'. Besar nilai bagi keluarga mereka, hadiah tak ternilai."

"Mata masuk habuk. Terima kasih kerana memberi senyuman kepada insan yang terpilih. Terbaik abang."
Membahagiakan orang lain amalan yang mulia yang patut dicontohi. Sekadar ingatan buat semua, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
“Sesungguhnya antara amalan yang paling disukai ALLAH ialah memasukkan kegembiraan ke dalam hati mukmin, iaitu melepaskan dia daripada kesedihan, atau menyelesaikan hutang yang ditanggunginya, atau memberinya makan ketika dia kelaparan.”
(Hadis riwayat Imam al-Baihaqi)
Sumber: Facebook Zameer Paintbrush
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
