Kejam! Disangka demam biasa, rupanya dianiaya teman lelaki ibu. 'Hempedu pecah, lilit tuala hingga leher patah...'
APABILA seorang lelaki memilih untuk menyayangi seorang ibu tunggal, dia seharusnya bersedia menerima segala aspek dalam hidup wanita yang dicintai termasuk anak-anaknya tanpa pilih kasih.
Namun, siapa sangka ada juga yang bertindak sebaliknya apabila seorang lelaki di Kota Medan, Sumatera Utara sanggup bertindak kejam terhadap bakal anak tirinya yang baru berusia tiga tahun.
Kejadian tragis itu bermula apabila kanak-kanak perempuan yang dikenali sebagai AYP diserahkan kepada teman lelaki ibunya, Zul Iqbal untuk dijaga selama tiga hari dari 22 hingga 24 Mac lalu.
Namun, ketika si ibu datang untuk menjemput, wanita itu mendapati anaknya dalam keadaan tidak sihat dengan suhu badannya yang tinggi serta kesan lebam yang mencurigakan pada tubuh si kecil itu.
Bagaimanapun, lelaki berusia 38 tahun itu tidak mendedahkan perkara sebenar sebaliknya Zul hanya memberi alasan kononnya kanak-kanak malang itu hanya sakit biasa.
Percaya dengan kata-kata teman lelakinya, si ibu tidak mengesyaki apa-apa dan beranggapan anaknya hanya sakit biasa, tanpa mengetahui hakikat di sebaliknya.
Keadaan anak perempuannya semakin teruk dan diberikan ubat yang dibeli di farmasi tanpa mendapatkan nasihat doktor hingga akhirnya si kecil itu meninggal dunia pada keesokannya.
Susulan itu, proses pengebumian dijalankan dan si kecil itu telah selamat dikebumikan.
Tidak berhenti di situ, ahli keluarga lain yang merasa curiga dengan kejadian tragis tersebut mula melaporkan kejadian berkenaan dan memaksa pihak berkuasa menggali semula kanak-kanak tersebut bagi siasatan lanjut.
Lebih mengejutkan, hasil bedah siasat mendapati terdapat bekas luka akibat penderaan di tubuh mangsa.
Bukan itu sahaja, organ dalaman seperti empedu juga pecah serta terdapat tanda-tanda kekerasan di bahagian kerongkong si kecil itu.
Setelah disoal siasat, Zul akhirnya mengaku bersalah atas perbuatan kejamnya memukul dan menendang perut mangsa serta mengangkat tubuh kanak-kanak itu menggunakan tuala yang dililit di leher sehingga menyebabkan lehernya patah.
"Hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan lebam pada beberapa bahagian tubuh mangsa termasuk dahi kiri, kelopak mata, bibir, lengan, ibu jari kanan dan kiri serta bahagian dada. Selain itu, empedu mangsa turut pecah dan terdapat tanda-tanda kekerasan pada bahagian tenggorokan.
"Pada awalnya, suspek enggan mengaku. Namun selepas dikemukakan bukti-bukti saintifik, dia akhirnya mengaku telah menggunakan tuala untuk mengangkat mangsa. Mangsa digantung menggunakan tuala dari bilik mandi sehingga kakinya terangkat, menyebabkan tulang lehernya patah," dedah pihak berkuasa.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
